TERDAPAT pelbagai takrifan dan tafsiran ilmu yang dikemukakan oleh para ilmuwan sejak beribu tahun dahulu. Namun begitu belum ada ilmu dihasilkan manusia yang dapat menghuraikan atau menghalang fenomena bencana alam seperti tanah runtuh, bangunan runtuh dan banjir, lebih-lebih lagi yang berisiko tinggi seperti gempa bumi dan tsunami yang sering melanda dunia, khususnya bumi Asia seperti yang berlaku di Aceh dan Palu Indonesia baru-baru ini.

Sementara gejala-gejala lain seperti wabak penyakit selesema burung, HIV, H1N1 dan seumpamanya yang berlaku dan merebak di seluruh dunia pada hari ini, sedikit sebanyak, telah dapat dibendung  menerusi teknologi perubatan moden. Kenapa demikian terjadi? Apakah kerana masalah penyakit yang terdapat pada manusia lebih senang dan lebih mudah diketahui berbanding bencana alam?

Mungkin ada yang berkata, penyakit berada pada diri manusia sendiri dengan sebab itu ia lebih mudah ditangani berbanding bencana alam yang berlaku di luar alam kemanusiaan. Akan tetapi menurut pakar-pakar perubatan, organisma manusia lebih kompleks sifatnya, khususnya organisma otak yang mengandungi sel-sel yang dari segi jumlah dan fungsinya belum dapat diketahui kesemuanya. Namun begitu, pakar-pakar perubatan terus berusaha dan berjaya menemui punca-punca penyakit, termasuk penyakit otak dan cara-cara merawatnya.

Berbeza dengan bencana alam. Walaupun para saintis telah berusaha mengkaji  alam semesta dari paras tertinggi iaitu galaksi kepada sistem solar, bumi, ekosistem sehingga kepada organisma, tisu-tisu, sel-sel, protoplasma dan molekul-molekul (atom) yang paling kecil, tetapi mereka masih belum berjaya menemui punca sebenar bencana alam. Adakah kerana usaha dan tumpuan yang mereka berikan itu masih belum mencukupi atau kerana ilmu yang mereka miliki belum sampai ke tahap yang diperlukan atau ada sebab-sebab lain yang mereka sendiri tidak mengetahuinya?

Mengenai keterbatasan ilmu manusia, termasuk sains fizik dan sains bumi, ekologi, ekosistem dan geologi yang mempunyai kaitan langsung dengan kejadian bencana alam telah dijelaskan dalam al-Quran. Firman  ALLAH: bermaksud, “Tidaklah kamu diberikan ilmu melainkan sedikit” (Surah al-Isra’: 85).         

Apa yang dimaksudkan dengan “ilmu yang sedikit” itu ialah ilmu yang berkaitan dengan  kedua-dua alam, iaitu  alam nyata dan alam ghaib. Pernyataan  dalam ayat tersebut juga merupakan suatu peringatan ALLAH supaya manusia (dengan ilmu yang sedikit) tunduk kepada ilmu dan hukum ALLAH (yang luas). Perkara kedua, ALLAH mengingatkan dalam sambungan ayat sebelumnya bahawa  alam ghaib atau roh adalah ketentuan ilmu ALLAH semata, sepertimana firmanNya, bermaksud,  “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh katakanlah:“roh itu adalah urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberikan ilmu, melainkan sedikit”  (Surah al-Isra’: 85).  

Ayat ini memberi maksud, selain daripada roh dan alam ghaib, manusia diizinkan mempelajari dan memahami ilmu menerusi akal, pancaindera dan deria. Rahsia ilmu terselindung di sebalik  hukum dan peraturan alam semesta ciptaan ALLAH. Bagi memahami hukum dan peraturan alam semesta tidak ada cara lain kecuali belajar, menyelidik serta mendekatkan diri, berbaik-baik dan bermesra dengan alam.

Pendekatan ini lebih  dikenali sebagai  “mesra alam” (eco-friendly), yakni tidak melakukan kemusnahan terhadap alam tabii seperti menebang pokok dan menarah bukit dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira risikonya kerana setiap ciptaan ALLAH di muka bumi ini ada hukum dan peraturannya yang mesti dipatuhi.

Bagi menjelaskan persoalan hukum dan peraturan alam semesta terdapat dua perspektif yang berbeza. Pertama, dari perspektif metafizik dan teologi dan kedua dari perspektif sains fizik dan teknologi; kedua-duanya terangkum dalam ilmu umran.

* Prof Dr Mahayudin Yahaya & Dr Shereeza Mohamed Saniff dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam