PILIHAN RAYA Kecil Dun Balakong dan Dun Seri Setia yang diadakan serentak Sabtu lalu sudah pun diketahui keputusannya. Seperti dijangka, PH mengekalkan penguasaan di kedua-dua Dun tersebut dengan pencapaian cemerlang di Dun Balakong dengan undi meningkat sebanyak 77 peratus berbanding PRU14. Manakala di Seri Setia, walaupun menang tetapi undi majoriti menurun daripada 69 peratus pada PRU14 kepada 59 peratus.

Peratusan yang keluar mengundi juga sungguh mengecewakan. Di Dun Balakong hanya 43 peratus yang keluar mengundi sementara di Dun Seri Setia hanya mampu mencatat 44 peratus sahaja. Peratusan yang lebih rendah berbanding PRK Sungai Kandis iaitu 49 peratus.

Ada pendapat mengatakan rakyat sudah letih dan muak dengan politik kerana jangka masa PRK diadakan terlalu dekat dengan PRU14. Atau barangkali ada yang beranggapan PRK tidak akan membawa apa-apa makna kerana tidak mampu mengubah kerajaan negeri. Mungkin juga rakyat sudah boleh meramalkan parti yang mana akan menang, jadi sama ada mereka mengundi atau tidak mengundi tidak akan membawa apa-apa perbezaan.

Kita lihat perbandingan antara PRU14 dan PRK baru-baru ini.

Berdasarkan statistik di atas, kita dapat melihat pengundi di Balakong tidak berganjak dengan pendirian mereka. Peratusan yang mengundi DAP/PH makin meningkat daripada 77 peratus kepada 85 peratus. Apakah ini bermakna sebahagian besar pengundi yang sebelum ini mengundi Pas, memberikan undi kepada calon DAP/PH?

Pada PRU14, MCA/BN telah meraih 11 peratus daripada jumlah undi. Selain DAP/PH, mereka juga terpaksa berdepan dengan Pas yang memperolehi 11.5 peratus undi. Dengan keputusan Pas untuk tidak bertanding di Balakong dan memberi sokongan padu kepada calon MCA/BN, apakah undi yang diterima calon MCA/BN akan meningkat?

Hakikatnya MCA/BN hanya berjaya untuk mendapat 15% sahaja dari jumlah undi. Apakah ini bermakna hanya 4% daripada pengundi-pengindi Pas memilih untuk menyokong MCA/BN sementara baki 7.5% telah memilih untuk bersama DAP/PH? Atau sebahagian dari pengundi yang memilih MCA/BN semasa PRU14 sudah mula menyeberangi kepada DAP/PH?

Sekiranya andaian ini berasas, maka kerjasama antara Pas dan Umno/BN masih belum dapat diterima oleh pengundi-pengundi di Dun Balakong. Keputusan MCA untuk menggunakan lambang mereka sendiri daripada lambang BN seperti kebiasaan juga tidak menjadi. Isu-isu politik yang dimainkan oleh Umno/BN dan Pas juga tidak membawa apa-apa kesan kepada pengundi di Balakong.

Berbeza di Dun Balakong, PRK di Dun Seri Seria perlukan analisis yang khusus kerana kawasan ini majoriti pengundi adalah Melayu. Kita tahu Melayu sedang diasak dengan berbagai persoalan ketika ini. Malah, calon Pas, Dr Halimah Ali  seorang tokoh politik yang berwibawa tinggi. Kelayakan akademik, keluarga yang berjaya dan pengalaman sebagai Adun Selat Kelang,  Exco Selangor dan ahli kepimpinan Pas Pusat meletakkan dirinya sebagai calon yang  bukan calang-calang.

Kerjasama antara Pas dan Umno di Seri Setia juga lebih terbuka dan jelas untuk difahami pengundi berbanding ketika di Sungai Kandis. Umno/BN telah memilih untuk tidak bertanding kali ini dan memberi laluan kepada Pas untuk berdepan satu lawan satu dengan PKR/PH. Walaupun pada hakikatnya Umno/BN lebih berhak bertanding kerana undi yang mereka perolehi jauh lebih tinggi daripada Pas semasa PRU14.

Sepanjang kempen, Umno/BN dan Pas telah banyak membangkit dan memainkan isu-isu kontroversi yang menyentuh sensitiviti orang-orang Melayu, khususnya bersabit hak istimewa mereka, kedudukan Islam dan Bahasa Melayu serta institusi raja-raja Melayu. Umno/BN dan Pas mendakwa bahawa semua ini sedang diasak dan mengalami hakisan yang teruk di bawah kerajaan PH.

Namun  PH menjelaskan bahawa semua adalah dakyah, propaganda politik dan putar-belit Umno/BN dan Pas semata-mata untuk menanam kebencian dan kesangsian rakyat kepada PH.

Sama ada tuduhan-tuduhan tersebut berasas atau tidak,  penting untuk rakyat membuat penilaian. Tapi dalam arena politik, persepsi rakyat dan apa yang berlegar dalam pemikiran mereka sering menjadi lebih pentingnya daripada kebenaran. Retorik politik yang dimainkan jentera Umno/BN dan Pas telah membuat sebahagian orang Melayu menjadi resah dan gelisah.

Maka dalam keadaan yang sedemikian, tidak hairan calon Pas telah berjaya meraihkan peratusan undi yang lebih besar kali ini.

Jika kita membuat andaian bahawa peratusan yang rendah yang keluar mengundi di PRK ini membawa kesan yang sama rata kepada PKR/PH dan Pas/Umno/BN serta sikap pengundi masih kekal seperti semasa PRU14, maka kita akan membuat perkiraan bahawa sekurang-kurangnya 66 peratus, iaitu kurang lebih 15,500 undi akan berpihak kepada PKR/PH.

Hakikatnya PKR/PH hanya berjaya meraih 13,724 (59 peratus) sahaja daripada jumlah undi 23,400. Majoritinya mengecil kepada 4,207 undi. Ini bermakna PKR/PH telah kehilangan kurang lebih 1,800 undi asal mereka.

Semasa PRU14, gagasan Pas/Umno/BN telah berjaya meraih 33.4 peratus daripada jumlah undi. Jika keadaan kekal seperti biasa dengan sikap pengundi tidak berubah, maka kita membuat perkiraan bahawa Pas akan mendapat kurang lebih 7,800 undi. Hakikatnya Pas telah berjaya  meraih 9,700 undi iaitu 41 peratus daripada jumlah undi. Ini bermakna prestasi gagasan Pas/Umno/BN telah meningkat.

Mereka telah memperolehi kurang lebih 1,800 undi tambahan berbanding dengan apa yang mereka perolehi semasa PRU 14. Kita mungkin mempunyai asas yang kukuh untuk merumuskan bahawa undi ini telah datang daripada pengundi asal PKR/PH.

Bagi Pas dan Umno, mereka boleh mendabik dada dengan keputusan yang telah mereka capai di PRK Seri Setia. Mereka boleh mendakwa bahawa mereka telah 'berjaya dalam kalah' dan meraih kemenangan moral dengan peningkatan peratusan undi yang dicapai serta majoriti PKR/PH yang lebih mengecil walaupun mereka tidak berjaya untuk mendapat undi popular.

Bagi PH pula, mereka perlu bermuhasabah diri dan mengambil kira, antara lainnya, faktor keresahan dan kebimbangan masyarakat Melayu tentang isu-isu yang menyentuh sensitiviti atau hak mereka. Keresahan dan kegelisahan ini mungkin juga dirasai oleh Melayu di lain-lain tempat. Terima keputusan ini sebagai amaran awal daripada rakyat untuk lebih berhati-hati dalam mengurus tadbir negara dan menangani isu-isu semasa.