SABAN tahun umat Islam menyambut peristiwa ber-sejarah dan agung - Israk wal Mikraj. Israk merujuk perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil al-Aqsa manakala Mikraj ialah naik Rasulullah ke setiap lapisan langit sehinggalah ke Sidratul Muntaha menghadap Rabbul Jalil yang Maha Esa.

Peristiwa ini berlaku dalam satu malam seperti firman ALLAH SWT dalam permulaan Surah Isra. Para penulis sejarah Islam berbeza pendapat dalam penentuan tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Namun yang penting di sini ialah sejauh manakah umat Islam dapat mengambil ibrah dan panduan daripada peristiwa agung ini.

Syeikh Muhammad Said Rama-dhan al-Buti dalam kitab sirahnya Fiqh Serah mengungkapkan ia sebagai Mukjizat Israk dan Mikraj. Peristiwa ini berlaku pada saat dakwah menghadapi tentangan hebat daripada golongan al-mala’ (pembesar) Quraisy.

Dakwah ketika itu berada di kemuncak penindasan dan penyeksaan serta komplot jahat pemulauan dan sekatan ekonomi terhadap jemaah Muslimin. Di tengah–tengah senario itu, terjadinya kematian isteri baginda SAW Khadijah al-Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak memberikan perlindungan kepada perjuangan Baginda SAW.

Ahli Sejarah menamakannya ‘Am al-Huzni’ – Tahun Kesedihan. Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan impak yang mendalam kepada jiwa Baginda, tekanan emosi dan psikologi kepada perjuangan besar ini. Ditambah pula penolakan total daripada penduduk Taif terhadap seruan Baginda sehingga Baginda dibaling batu oleh kanak-kanak Taif.

Namun tarbiah dan didikan ALLAH berterusan dan merentas sempadan masa. Ada hikmah dan ibrah yang perlu dihayati dan dimengerti khususnya buat para pejuang Islam sejati. Jalan ini sukar dan payah, tidak dihampar permaidani merah, tidak dikalungi dengan jambangan bunga dan ditaburi dengan kesenangan dan keselesaan.

Lantaran itu, ALLAH mahu membangkitkan semangat dan motivasi Ar-Rasul SAW selaku pemimpin dakwah dan harakah bersama para pengikutnya yang sentiasa taat dan iltizam dengan prinsip perjuangan agar terus memiliki momentum dan energi dakwah di sebalik suka duka, asam garam, manis pahit dan harga termahal perjuangan yang berkesinambungan ini. Mukjizat Israk dan Mikraj adalah hadiah ALLAH kepada Baginda.

Apa yang boleh kita gali dari makna-makna dakwah dan entri-entri perjuangan menerusi mukjizat Israk dan Mikraj ini ialah:  

1. Rehlah Israk dan Mikraj merupakan satu uslub dan wasilah tarbiah ALLAH kepada Baginda Rasulullah SAW bagi menyegar dan membugar perjuangan dakwah.

2. Pemimpin dakwah, para murabbi hendaklah meniupkan api perjuangan, menggugah perasaan dan membina zon proaktif agar tenaga du’at sentiasa berkekalan dan meningkat.  

3. Dakwah ini adalah taurith (pewarisan) sebagaimana Rasulullah bertemu dengan para nabi terdahulu, mengambil semangat daripada mereka serta memimpin jemaah solat mereka.  

4. Rehlah dan jaulah ini adalah satu tajdid keazaman dan himmah selepas melewati pelbagai cabaran dan hambatan di jalan dakwah. Kesantaian dan keseronokan dalam pengembaraan ini mengembalikan kekuatan serta menghilangkan kekusutan di fikiran Baginda SAW.  

5. Tazkiyah an-nafs (penyucian jiwa) penting dalam proses tarbiah. Untuk bertemu dan menghadap ALLAH, maka para dai perlu memiliki jiwa yang bersih dan suci kerana perjalanan ini adalah perjalanan hati menuju kepada ALLAH.

6. Isu Palestin merupakan utama dan teras dalam perjuangan dakwah. Para dai perlu menguasai topik ini, mendalami perjuangan Palestin, menguar-uarkannya kepada umat Islam dan menjadikannya sebagai agenda penting dakwah. Ini kerana cabaran terbesar dan musuh utama dakwah ini ialah Yahudi yang melakukan makar kepada umat Islam.   

7. Dalam perjalanan dakwah ini, kita amat-amat memerlukan bekalan dan bimbingan daripada ALLAH. Nabi SAW sentiasa dibimbing dan dididik biar apa jua kesulitan menimpa dan kesenangan yang diterima.

8. Dalam tarbiah dan dakwah, kita mesti melihat masa depan dengan penuh optimistik. Kejayaan awal setelah berlaku mukjizat ini ialah peluang dakwah kepada penduduk Yathrib meskipun orang-orang kafir Quraisy menolak untuk mempercayainya.

9. Teknologi dakwah perlu dikembangkan dan diinovasikan sebagaimana ALLAH menghubungkan peristiwa ini dengan cakerawala, merentas langit, galaksi dan sains angkasa lepas.

Ini menunjukkan dakwah kita perlu memanfaatkan teknologi siber dan ICT, mewujudkan web, akses internet sesuai dengan kepesatan teknologi satelit dan pengaruh globalisasi. Moga kafilah dakwah terus berjalan menuju mikraj rabbani. 

* Penulis ialah Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru)