BERIKUTAN keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat Rabu lalu yang memberi kemenangan ke atas calon parti Republikan, Donald J. Trump, ramai pihak terutamanya umat Islam yang merasakan diri mereka terancam kerana calon Republikan berkenaan tidak mesra terhadap masyarakat Islam.

Umum masih mengingati semasa proses pertandingan pilihan raya negara berkenaan, Trump pernah mengeluarkan pernyataan yang dilihat tidak mesra serta prejudis terhadap masyarakat Islam apabila menyatakan sempadan negara Amerika Syarikat akan ditutup terhadap orang Islam buat sementara waktu. 

Baru–baru ini juga, terdapat beberapa sumber yang menyatakan negara Islam Palestin akan menerima kesan negatif di bawah pentadbiran presiden baharu berkenaan. Persoalan kini timbul, kenapa umat Islam masih perlu bergantung harap terhadap negara berkenaan untuk jaminan keselamatan dan kesejahteraan umatnya?

Setiap kali ada proses pilihan raya presiden negara terbabit, maka umat Islam terpaksa memohon serta berdoa supaya seseorang calon bertanding yang dilihat mereka sedikit berlembut terhadap masyarakat Islam menang dan dipilih. Sampai bila umat Islam harus bergantung harap terhadap Amerika Syarikat bagi menyelesaikan banyak isu yang bangkit dalam kalangan umat Islam pada masa kini? 

Adakah Amerika Syarikat benar–benar ikhlas ingin membantu negara dan masyarakat Islam. Untuk makluman, konflik Palestin dan Israel sudah berlanjutan lebih setengah abad, sehingga kini tiada penyelesaian yang diperoleh.

Malah, jika dilihat dari tahun ke tahun semenjak konflik berkenaan wujud pada tahun 1948, nasib masyarakat Palestin menjadi lebih buruk sehingga kini. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa, mana–mana pihak yang menjadi presiden negara Amerika Syarikat tidak langsung membawa apa–apa manfaat kepada umat Islam. 

Oleh itu, sudah sampai masanya, umat Islam untuk bangkit dan menambahkan kekuatan terhadap diri mereka sendiri serta bangkit mempertahankan maruah diri dan agama tanpa mengharapkan Amerika Syarikat. 

Umat Islam harus terus menjalinkan kerjasama dan mengetepikan segala perselisihan yang wujud sesama mereka. Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) yang telah ditubuhkan oleh umat Islam itu sendiri hampir setengah abad yang lalu perlu menjadi platform utama untuk semua umat Islam tampil bersatu tanpa mengira fahaman mazhab. 

Semua negara Islam harus bersatu dalam menghadapi segala cabaran yang bangkit dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri seperti masalah pengganas, pelarian, buta huruf dan lain–lain lagi tanpa perlu sentiasa bergantung harap pada negara bukan Islam, terutama Amerika Syarikat.

 

* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORNOGRAFI semakin hari semakin bermaharajalela dikalangan masyarakat Malaysia. Masih lagi memandang enteng terhadap virus pornografi ini. Hal ini kerana, kita tidak mengerti dan mengenal siapakah musuh kita.
  • SEMUA pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.