DALAM tempoh tidak sampai seminggu, seluruh 265 juta warga Indonesia menerima dua khabar gembira yang membanggakan mereka di seluruh dunia.

Jika pada 11 Februari Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati dinobatkan sebagai Menteri Terbaik di Dunia, pada 14 Februari pula Kementerian Pertahanan Indonesia sah menandatangani kontrak pembelian pesawat pejuang berprestij tinggi Generasi 4++ dari Rusia, iaitu Sukhoi Su-35.  

Mengapa kedua-dua perkem-bangan ini amat penting dalam situasi geopolitik dunia yang tidak menentu hari ini?

Jawapannya jelas.

Kejayaan Sri Mulyani melambangkan kebangkitan kuasa ekonomi Indonesia manakala pemeteraian kontrak Sukhoi Su-35 pula melambangkan kemaraan kuasa ketenteraan Indonesia.  

Kedua-dua kuasa ini cukup penting dalam arena geopolitik di mana sarjana John J. Mearsheimer dalam karya beliau The Tragedy of Great Power Politics menegaskan bahawa maruah dan kepentingan sesebuah negara sememangnya ditentukan oleh kuasa sosioekonomi (latent power) dan kuasa ketenteraan (military power).

Pemilihan Sri Mulyani – yang merupakan bekas Pengarah Urusan Bank Dunia – sebagai Menteri Terbaik di Dunia sewaktu Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai lalu adalah hasil daripada penilaian bebas oleh   gergasi firma perunding antarabangsa iaitu Ernst & Young.

Jawatankuasa penganugerahan menjelaskan bahawa Sri Mulyani berjaya memandu ekonomi Indo-nesia “mencapai hasil ketara dalam mengurangkan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, mengurangkan hutang awam dan meningkatkan ketelusan transaksi awam”.

Beliau seorang teknokrat yang tidak menyertai mana-mana parti politik dan dilantik ke Kabinet Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada 2016.  

Di bawah teraju beliau, ekonomi Indonesia berkembang ke tangga ke-3 dalam kalangan negara G-20, setanding dengan China dan India.

Pembelian 11 pesawat Sukhoi Su-35 – atau turut dikenali sebagai Flanker E – buatan Rusia lengkap dengan persenjataannya pula menunjukkan kebijaksanaan Jakarta memanfaatkan pergolakan geopolitik semasa demi kepentingan nasional mereka.  

Seperti mana menurut Kemen-terian Perdagangan Indonesia, sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) ke atas Rusia telah memaksa Rusia untuk memberi tawaran yang menarik kepada Indonesia.

Hasilnya, Rusia bersedia menjual pesawat Sukhoi Su-35 tersebut dengan sistem barter di mana Moscow akan membeli komoditi dari Indonesia seperti minyak sawit, kopi, teh, bahan makanan, dan sebagainya yang dijangka bernilai US$570 juta.

Pemeteraian kontrak bernilai US$1.14 bilion itu juga dilakukan dalam situasi persaingan antara AS dan China semakin meningkat hingga ke tahap Jakarta turut menerima tempiasnya.  

Sememangnya diketahui bahawa Washington pernah mengenakan embargo ke atas Indonesia atas sebab isu hak asasi manusia.

Hanya pada 2010 Presiden Obama meringankan sekatan ke atas Komando Pasukan Khusus (Kopassus) Tentara Nasional Indo-nesia (TNI).

Malah, pada Oktober 2017 Panglima Tentera Indonesia Jeneral Gatot Nurmantyo pernah dihalang memasuki AS.  

Ditambah dengan keadaan semasa AS yang menganjurkan sekatan ke atas Rusia, pengesahan pembelian pesawat Sukhoi Su-35 oleh Indonesia ini menunjukkan isyarat jelas bahawa Jakarta tidak lagi terkongkong dengan order Wa-shington.  

Pada sisi yang lain, pengesahan pembelian Sukhoi Su-35 ini juga memberi isyarat tegas kepada China.  

Perlu diketahui bahawa Indo-nesia cukup tidak selesa dengan sikap agresif Beijing di Laut China Selatan.

China sejak 2009 telah mengemukakan tuntutan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan – termasuklah wilayah zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara-negara Asia Tenggara yang lain.  

Malah, beberapa kali wilayah EEZ Indonesia dicerobohi nelayan China yang dilindungi pegawai pantai China yang lengkap bersenjata.

Akibatnya, Jakarta pada tahun 2017 telah menukar nama lautnya di Laut China Selatan kepada Laut Utara Natuna yang dibantah keras oleh China.

Sepertimana menurut Kepala Staf Angkatan Udara (KSAU) TNI, Yuyu Sutisna, keberadaan Sukhoi Su-35 ini yang bakal ditempatkan di Skadron 14 Madiun, Jawa Timur “akan meningkatkan efek gentar dan daya tangkal” (deterrence effect).

Kedua-dua kejayaan ini tentulah memberi laba politik yang besar kepada Presiden Jokowi menjelang Pemilihan Presiden 2019 (Pilpres 2019) kelak.

Ternyata, visi beliau menjadikan Indonesia ‘Poros Maritim Dunia’ tidak akan kurang hebatnya berbanding inisiatif Satu Jalur dan Satu Jalan (Obor) China yang semakin dominan hari ini.  

Maka benarlah sepertimana judul karya sarjana Amitav Acharya, iaitu Indonesia Matters.