Islam merupakan agama yang bersifat progresif dan dinamik yang sesuai bagi setiap keadaan manusia. Al-Quran dan as-Sunnah pula merupakan pelengkap kepada agama ini menjadikan Islam semakin indah.

Pelbagai kisah yang disebutkan dalam al-Quran perlu menjadi rutin harian untuk diteliti dan difahami oleh setiap manusia bagi menghadapi dunia global akhir zaman.

“ Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa.

(Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). “ ( Al-Qasas : 76 )

ALLAH SWT telah menyebut perihal Qarun di dalam Kitab-Nya untuk menjadi cermin buat penguasa yang memegang tampuk kerajaan. Qarun merupakan umat di zaman Musa Alaihissalam yang telah dianugerahkan ALLAH oleh harta dan ilmu yang banyak.

Namun malang baginya apabila gagal untuk menguruskan nafsu mengumpul harta dan membiarkan masyarakat sekelilingnya hidup melarat. Realiti hari ini telah menunjukkan bahawa kelahiran Qarun di negara kita, Malaysia.

Pemimpin yang dianugerahkan pelbagai kuasa dan harta namun bersikap sombong terhadap nikmat yang diberi. Rakyat bawahan pula hidup semakin ditindas akibat kenaikan harga yang melampau oleh pihak kerajaan. Malah lebih mengecewakan apabila mereka meminta rakyat untuk terus reda dan bersabar atas kezaliman tangan mereka sendiri.

Para menteri Kabinet beranggapan bahawa kenaikan harga merupakan satu usaha untuk mengimbangi masalah ekonomi dan defisit yang melanda.

Namun mereka harus sedar bahawa masalah yang berlaku adalah hasil tidak cermat dalam menguruskan perbelanjaan negara dan pembaziran yang tidak munasabah.

Laporan audit yang ditunjukkan saban tahun sepanjang pemerintahan kerajaan BN telah terbukti bahawa masalah yang dihadapi adalah berakar dari kerajaan sendiri.

Kelemahan pihak kerajaan pula telah mengheret rakyat dengan bebanan kenaikan harga dan cukai yang bakal dijalankan tahun depan.

Kos hidup yang semakin tinggi terutama di kawasan bandar menyebabkan rakyat sudah tidak mampu untuk bertahan. Peningkatan kes jenayah pula dilihat seiring dengan peningkatan harga barang keperluan asas. Kes curi,rompak dan bunuh yang berlaku tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan.

Hal ini bersangkut paut dengan rakyat yang tidak mampu untuk membeli barang keperluan asas dan menyebabkan mereka bertindak untuk  mengambil tanpa membayar adalah jalan pintas bagi mengatasi desakan untuk hidup.

Kerajaan sama sekali tidak boleh menyalahkan serta menuding jari kepada jenayah yang sedang berleluasa kerana ia adalah hasil kelemahan kerajaan memberikan cara hidup yang terbaik kepada rakyat.

Subsidi dan pemberian BR1M bukanlah satu solusi bijak buat jangka masa panjang. Kemelut ekonomi dan kenaikan harga ini akan berterusan jika dari pihak kerajaan sendiri tidak membanteras pembaziran dan salah guna wang yang berlaku dalam Kementerian Kabinet serta Badan-badan kerajaan.
 

5 tuntutan syariat Islam

Islam telah memberi jalan keluar terbaik untuk mengatasi segala masalah adalah dengan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Manual kehidupan yang akan terus memberi petunjuk kepada umat manusia untuk mengecapi keadilan yang mutlak.

Kepentingan Syariat Islam yang memelihara lima asas hidup iaitu, agama, akal, nyawa, harta dan keturunan adalah penyelesaian yang percuma yang diberi ALLAH bagi setiap manusia untuk diaplikasi serta dihayati dari segenap lapisan masyrakat dan bangsa.

“ Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.

Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). “ (Al-Maidah : 48 )

Pihak kerajaan seharusnya yakin akan syariat Islam yang bertindak sebagai Badan Penyelesaian kepada segala punca masalah yang semakin membarah. Keperluan utama untuk memelihara lima tuntutan ini menjadi pemudah cara bagi setiap penguasa di dunia untuk terus memerintah dan mewujudkan masyarakat yang adil serta sejahtera.

Bukti terpampang di depan mata apabila negara jiran, Brunei sudah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah dan terbukti bahawa hikmah-Nya yang tidak terduga dengan penemuan lombong minyak. Maka, pihak kerajaan tidak boleh menunggu dan berfikir lama untuk mengambil solusi yang tersedia dalam memastikan Malaysia menjadi negara yang baik serta sentiasa mendapat pengampunan dari ALLAH SWT.


Ulul Albab pembunuh Taghut

“ ALLAH memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. “ ( Al-Baqarah : 269 )

Ulul Albab merupakan golongan manusia yang telah dipilih ALLAH dan diberi Ilmu yang selayaknya untuk memakmurkan bumi. Golongan ulama, akademik, mahasiswa seharusnya menyedari bahawa tugas mereka yang berat dalam menjadi neraca penimbang bagi pemerintah. Ulul Albab perlu menjadi rakyat seperti dalam kisah Qarun yang menegur kesombongan Qarun dalam menguruskan harta.

 Isu kenaikan harga serta kesusahan rakyat marhaen yang melanda ini harus menjadi fokus utama  para ulul albab. Mereka seharusnya lantang menegur jua memberi solusi kepada para pemerintah supaya tangkas dalam mengatasi masalah rakyat.

Para Ulul Albab tidak boleh bersikap membodek atau menjaga periuk nasi andai melihat kekurangan pemerintah yang terang-terangan  dipaparkan mutakhir ini. Sikap berdiam diri dan tidak bersama rakyat membuatkan rakyat bertindak melakukan kerosakan kerana tidak dipandu oleh mursyid dalam mengatur kehidupan.

Justeru itu, saya menyeru kepada para Ulul Albab untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berlaku dengan menggunakan jalur akademik masing-masing dan bersama-sama merasai kesusahan rakyat marhaen. Kerana ulul albab juga seorang rakyat.

Dan saya sebagai mahasiswa melihat Gerakan Turun Kos Sara Hidup – Turun adalah satu platform yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku.

Membantah korupsi jua memecahkan monopoli menjadi agenda penting untuk bersama-sama rakyat berhimpun di Dataran Merdeka pada 31 Disember 2013.Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kita bersama rakyat untuk kemaslahatan bersama.

Moga usaha ini menunjukkan para ulul albab dekat dan cakna akan masalah yang dihadapi oleh rakyat marhaen. Keluar dari kelambu kesenangan dan lontarkan segala kebijaksaan untuk menyelesaikan masalah rakyat!


Selamat tahun baru 2014, jumpa di Dataran Merdeka.
 

Saiyidatus-Sakinah Mohd Aizan,

Penuntut Fakulti Al-Quran As-Sunnah,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HUBUNGAN manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.
  • PERTUBUHAN kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.
  • TAHUN 1989 menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin dan faham komunis yang dilambangkannya. Ini disusuli dengan kemunculan satu orde dunia baharu yang disebut sebagai market-place society atau masyarakat pepasar.
  • DALAM tahun 2013, bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Zaman Khan pernah menyatakan kegusarannya kepada pihak media bahawa rasuah terbesar negara adalah melibatkan kebanjiran pendatang asing yang masuk ke Malaysia secara haram.
  • DALAM satu kenyataan, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad, secara terbuka menyatakan bahawa rasuah perlu diisytiharkan sebagai 'musuh nombor satu negara'.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.