ISU penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta. Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion.

Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.

Berbangkitnya isu PTPTN oleh anak-anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi bank dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.

Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, sama ada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun.

Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh (isu pelajar Unisel) telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen. Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.

Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah opsyen di samping biasiswa negeri dan JPA.

Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai 1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun. Tapi lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka:

a) Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Jabatan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

b) Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011 kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)

c) Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperoleh, maka seramai 132,801 pelajar telah disenaraihitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.


Kurangkan beban rakyat

Justeru telah menjadi satu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur.

Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai 'good governence'.

Kerajaan selayaknya menjadi payung rakyat bukan menjadi 'Along Negara' yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah ALLAH kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni.

Sebelum ini, sejarah  Kerajaan Umno dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk 'bailout' dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah:

a) MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM1.2 bilion. Bagaimana syarikat MAS mampu 'survive' jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini? Persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba-tiba mengalami kerugian berskala besar pula?

b) Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjana kuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji jana kuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c) Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik Umno, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce.

d) Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta

e)  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom

f)  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g) Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang

h) Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM1.8 bilion

i) Pengambilalihan syarikat Umno, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta

j) Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80 peratus saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation

k) Memaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain

l) Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian

Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UmnoO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh (wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini)

Realitinya, sejumlah RM28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009. Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM28 bilion dan untung Petronas RM90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

 

Bagaimana PTPTN boleh mansuh

Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai.

Jika Pakatan Rakyat benar-benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minimum dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.



Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi

Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat. Negara Libya (era Gaddafi) pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang. Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah Sweden, Norway, Finland, Arab Saudi, Kuwait, Cuba dan Sri Lanka. Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.



*  Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Petang ini terasa serba tak kena. Badan macam demam pula keletihan mengejar kepadatan program.
  • SEJAK tahun 2004 lagi, cadangan menempatkan pegawai polis di sekolah-sekolah untuk menangani masalah disiplin serta gansterisme dikalangan para pelajar telah dilakukan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.