BENARKAH banyak kitab yang digunakan di pondok, surau dan masjid mengandungi hadis-hadis palsu? Menurut seorang pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Faisal Ahmad Shah, banyak hadis palsu terdapat dalam kitab-kitab agama berbahasa Arab yang telah dibawa atau dikarang para pendakwah Islam yang diguna secara meluas oleh pusat pengajian pondok, surau dan madrasah seluruh negara.

Berdasarkan kajian takhrij yang dijalankan di peringkat sarjana dan PhD, didapati kitab-kitab berbahasa Arab yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu mengandungi banyak nas yang bercampur antara hadis sahih dan palsu.

Begitu juga kitab jawi yang masih dijadikan bahan pengajaran di pondok dan masjid, serta kitab karangan ulama tempatan. Kitab-kitab ini mengandungi hadis berstatus palsu, daif, amat daif atau yang tiada asalnya (la asla lahu).

Antara kitab-kitab yang dimaksudkan ialah Durrah al-Nasihin oleh al-Hindi; Irshad al-‘Ibad ‘ila Sabil al-Rasyad oleh Sheikh Zayn al-Din al-Malabari; kitab Matla’ al-Badrayn dan kitab al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbihat al-Qulub oleh Sheikh Ali Abd al-Rahman al-Kelantani. Malah Ihya Ulum al-Din karya Imam al-Ghazali, sebuah kitab popular dan menjadi rujukan pengamal tasauf, didapati mengandungi 265 hadis yang dikategorikan sebagai hadis maudu’ oleh al-Hafiz al-Iraqi Abd al-Rahim bin Husayn bin Abd al-Rahman (m.806H) yang mentakhrij dan menilai kitab ini. (Hadis maudu’ maksudnya hadis yang direka tapi kemudiannya disandarkan ke atas Nabi SAW secara sengaja atau salah).

Menurut Dr Faisal, para penceramah, pendakwah dan imam juga didapati sering merujuk kepada kitab bukan hadis semasa mengajar, berceramah atau bertazkirah. Pensyarah di kelas formal termasuk sekolah, kolej, hatta institusi pengajian tinggi juga mengambil jalan mudah dengan menukil hadis yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada kitab-kitab hadis dan muktabar.

Di Timur Tengah, aspek kajian sanad berkembang pesat dengan penghasilan pelbagai karya berkaitan ilmu rijal, tapi di Malaysia ia jarang dilakukan.

“Kebanyakan hadis yang tersebar dikemukakan terjemahannya dalam bahasa Melayu tanpa matannya dalam bahasa Arab. Kadangkala terjemahan tersebut mengandungi banyak kesilapan dari sudut terjemahan maknanya.

"Terdapat juga beberapa hadis yang dikemukakan secara ringkas tanpa awalan hadis atau keseluruhan hadis. Terdapat beberapa hadis yang merupakan kata-kata dan pendapat sahabat, tabiin dan imam mujtahid yang disandarkan kepada Nabi SAW,” kata beliau. (Baca Penyebaran Hadith Palsu dalam Media Massa dan Sosial: Realiti dan Cabaran dalam Jurnal Hadis Bil 11 Tahun 6, Jun 2016 Kuis Bangi Selangor)

Berkaitan soal ini, ulama sependapat bahawa perawi yang tidak mengetahui kepalsuan sesuatu hadis yang diriwayat atau dinukilnya, maka tidak berdosa walaupun dianggap kurang berusaha untuk mencari kepastian atau kejahilan.

Tapi bagi yang mengetahui keadaannya, sama ada berkaitan akidah, hukum-hakam, fadail dan sebagainya, maka hukumnya haram. Kecuali tujuannya ialah untuk menerangkan kepalsuan hadis yang diriwayatkan.

Al-Khatib pernah menjelaskan bahawa wajib bagi ulama hadis untuk tidak meriwayatkan sesuatu pun daripada berita palsu dan hadis batil. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat dosa yang terang dan termasuk di bawah kategori pendusta sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.

Guru pondok, para penceramah dan pendakwah perlu meningkatkan usaha dan lebih terperinci ketika meriwayatkan hadis. Mereka perlu berasa bertanggungjawab untuk membuat rujukan daripada kitab-kitab hadis yang muktabar. Elak daripada menyebar kisah-kisah pelik yang tiada sumber dengan tujuan menarik perhatian jemaah atau pendengar.

Muslimin harus diberi kefahaman bahawa hadis sahih dan hasan telah mencukupi, maka tiada keperluan untuk merujuk kepada hadis yang daif atau palsu.

* Penulis ialah CEO dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.