KAWALAN dan penetapan had ke atas jumlah perbelanjaan pilihan raya oleh parti-parti politik dan calon-calon yang bertanding di kebanyakan negara adalah bertujuan menggalakkan pilihan raya yang kompetitif.

Ia juga untuk mengelakkan kenaikan kos yang berlebihan terpaksa ditanggung parti politik, mengawal ketidaksamaan antara calon yang bertanding, dan mengawal perlakuan rasuah.

Jika dilihat dari segi sejarah, pengenalan terhadap penetapan had perbelanjaan semasa kempen (pilihan raya) adalah merupakan tindak balas kepada pelbagai salah laku pilihan raya.

Sebagai contoh, penggubalan the Corrupt and Illigal Practices Act 1883 merupakan satu langkah penting dalam pembangunan demokrasi di Britain.

Ciri utama akta tersebut adalah pengenalan had perbelanjaan pilihan raya yang dibenarkan bagi setiap kawasan pilihan raya, dan disokong oleh peraturan-peraturan yang kuat untuk memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan.

Sehingga kini, merujuk kepada International Institute for Democracy and Electoral Assistant (International IDEA), hanya 30 peratus dari 180 negara yang meletakkan had perbelanjaan pilihan raya ke atas parti-parti politik. Manakala, sebanyak 46.1 peratus pula meletakkan had perbelanjaan ke atas calon-calon yang bertanding.

Sebenarnya, pengenalan kepada had perbelanjaan pilihan raya bukanlah boleh dianggap sebagai mekanisme undang-undang yang terbaik kepada sesebuah negara.

Had perbelanjaan pilihan raya boleh menyumbang kepada pertembungan atau konflik antara dua prinsip asas demokrasi liberal moden (iaitu antara keperluan untuk menjamin kesaksamaan politik dan keperluan untuk menjamin kebebasan politik atau kebebasan untuk bersuara).

Kes Buckey v. Valeo (1976) merupakan satu contoh kes yang menarik apabila Mahkamah Agung di Amerika Syarikat membuat keputusan bahawa peruntukan terhadap had perbelanjaan sewaktu pilihan raya adalah tidak sah kerana ia bercanggah dengan hak kebebasan untuk bersuara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan.

Pada 30 September 2016, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) telah mencadangkan supaya had perbelanjaan ke atas parti dan calon digugurkan.

Cadangan ini jika dipersetujui kelak akan melibatkan pindaan terhadap Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang kini menyatakan bahawa had perbelanjaan berkempen untuk setiap calon adalah sebanyak RM200,000 bagi kerusi Parlimen, dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walau bagaimanapun, cadangan supaya tiada had yang diletakkan terhadap perbelanjaan semasa kempen pilihan raya oleh parti dan calon ini mendatangkan kritikan dan perbahasan pelbagai pihak.

Secara asasnya, kesemua 32 cadangan oleh JKNMPP adalah berdasarkan Transparency Model seperti yang dinyatakan oleh Karl-Heinz Nachmacher dalam Political Parties Finance Handbooks (2003).

Menurut model ini, pengenalan had sumbangan dan had perbelanjaan adalah tidak perlu selagi prinsip ketelusan dalam pelaporan dijadikan sebagai mekanisme penting dalam undang-undang yang berkaitan.

Sebagai contoh, jika seorang ahli politik atau calon yang ingin bertanding di peringkat Parlimen mendapat derma sebanyak RM3 juta pada tahun berkenaan hasil daripada kepercayaan masyarakat kepada beliau, maka adalah tidak wajar jika beliau hanya dibenarkan membelanjakan sebanyak RM200,000 sahaja.

Sebaliknya, adalah bagus jika beliau dibenarkan membelanjakannya tanpa sebarang had bagi manfaat pengundi dan penduduk di kawasan beliau, dan apa yang paling penting ialah penduduk tahu mengenai jumlah dan sumber sumbangan yang beliau peroleh, serta butiran perbelanjaannya.

Antara negara yang tiada mempunyai sebarang had sumbangan dan had perbelanjaan ialah Australia, Republik Czech, Denmark, Estonia, Jerman, Luxembourg, Netherlands, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, dan Turki.

Jika dikaji, kebanyakan negara yang meletakkan had perbelanjaan pilihan raya turut menyediakan peruntukan atau dana awam kepada parti-parti politik.

Sebagai contoh, Korea Selatan dan Mexico adalah antara negara yang memberi peruntukan kewangan tinggi kepada parti-parti politik, dan pada masa sama parti-parti politik serta calon-calon bertanding perlu mematuhi had perbelanjaan telah ditetapkan.

Berkaitan dengan ini juga, JKNMPP turut mengakui bahawa ramai barisan kepimpinan parti politik berpandangan had perbelanjaan semasa adalah terlalu rendah dan tidak realistik. Tambahan pula, Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 hanya terpakai kepada calon yang bertanding, dan bukannya turut meliputi parti-parti politik dan pihak ketiga.

Penulis percaya bahawa keputusan JKNMPP berkenaan had perbelanjaan ini dibuat adalah berdasar pelbagai faktor dan rasional tertentu, dan juga mengambil kira soal ketelusan dan kebertanggungjawaban.

* Penulis ialah Penyelaras Program Institusi Politik di Institut Integriti Malaysia merangkap Penyelaras Pusat Rujukan dan Rundingcara JKNMPP.