FITNAH adalah sesuatu yang umum sedia memahami ertikatanya kerana sudah wujud sejak zaman berzaman dalam sejarah manusia.

Tetapi dengan rahmat agama dan kesedaran manusia sejagat tentang musibah dan keburukannya, gejala ini sepatutnya akan menjadi lebih terkawal.

Fitnah mengikut pandangan Islam

Agama mengajar kita bahawa fitnah mengundang dosa yang lebih berat dan lebih besar daripada membunuh. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.  (Al-Hujurat: Ayat 6)

Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kita diajar untuk mengambil iktibar daripada fitnah yang dilakukan Zulaikha kononnya Nabi Yusuf cuba mencabul kehormatannya; Saiditina Aisha RA dituduh bermukkah dengan Safwan Sullami dan fitnah politik ekoran Saidina Ali berseteru dengan Muawiyah sehingga berlaku peperangan yang menyebabkan Saidina Ali terbunuh. Kesan peperangan ini menghasilkan teologi seperti syiah, murijah, khawarij dan ahlus sunnah.

Pun begitu, fitnah masih dan sering direka-cipta serta disebarkan oleh manusia-manusia yang tidak berprinsip dan bermoral. Berita palsu juga sering disebarkan oleh manusia-manusia yang tidak bertanggung-jawab termasuk menularkan berita-berita berkenaan tanpa menyiasat dan memastikan kebenarannya terlebih dahulu.

Dunia baharu dipacu internet

Dunia baharu sekarang banyak dipacu oleh internet. Teknologi komputer dan telekomunikasi telah mempengaruhi kehidupan harian manusia dengan begitu dominan sekali. Hidup manusia sekarang bagaikan bergantung kepada internet untuk mencari makna dan hala tuju mereka.

Internet dan media sosial ibarat pedang dua mata, boleh membawa kepada banyak kebaikan dan boleh juga membawa kepada kemudaratan.  Kita jua sebagai penggunanya yang berkewajipan untuk memastikan ia diguna dengan penuh bertanggung-jawab dan kebijaksanaan.

Hakikatnya Tuhan memberi kita akal fikiran untuk membuat pilihan sama ada memilih yang maaruf atau yang mungkar. Malah agama kita yang syumul dan suci sekalipun jika dinodai oleh nawaitu yang tidak betul, diguna sebagai barang dagangan yang murah untuk mengejar impian politik yang sempit dan sebaginya, akan membawa kepada kemudaratan kepada manusia.

Begitu juga media sosial yang sewajarnya berperanan sebagai medan ilmu dan alat komunikasi yang amat berkesan sekali untuk kebaikan kita. Namun ia juga mampu menjadi saluran dan medan tempat membuat, mencipta dan menyebar fitnah, berita palsu dan dakyah yang merosakkan kita.

Itulah yang sedang berlaku dan terjadi dengan pesat dan berleluasanya sekarang. Sehingga ianya sudah menjadi satu budaya baru di dunia dan era baru ini.

Fitnah dan penyebaran berita palsu sekarang begitu ketara berlaku di dalam hubungan sosial kemasyarakatan, perniagaan, politik dan juga agama.

Fitnah tentang hal atau skandal peribadi khususnya artis atau orang-orang ternama dan tersohor sering dihebohkan. Berita-berita buruk tentang perniagaan juga menjadi tumpuan penfitnah. Tetapi yang jelas paling ketara ialah fitnah di medan politik dan juga hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Seolah-olah manusia sudah tidak kisah atau peduli lagi bahawa ianya bertentangan dengan hukum-hakam agama, undang-undang dan tatasusila kita sebagai masyarakat yang berbudaya tinggi.

Fitnah dalam apa bentuk dan disampaikan dengan apa cara sekalipun sering membawa masalah dan musibah yang besar kepada mangsa, merosakkan hubungan dalam masyarakat dan dalam keadaan tertentu boleh mengancam keamanan negara.

Manusia mencipta dan mereka fitnah atas pelbagai sebab. Ada yang didorong oleh niat jahat untuk memenuhi agenda peribadi, perniagaan, politik mereka atau sebagainya.  Ada pula yang menjadi askar upahan kepada taukeh-taukeh mereka untuk mencipta dan mereka fitnah dan kemudian disebar kepada masyarakat umum.

Dan ada juga media massa, tradisional ataupun eletronik yang ikut bersekongkol dengan sumber dan pencetus fitnah tersebut. Kumpulan-kumpulan ini sukar untuk ditarbiyah agar kembali ke jalan yang benar. Kerana mereka membuat pilihan dalam penuh kesedaran untuk membuat fitnah dengan niat jahat.

Yang membuat kita banyak terkilan ialah pengguna-pengguna media sosial atau netizen yang ikut sama menyebar berita-berita palsu atau berunsur fitnah tanpa terlebih dahulu menyiasat kebenaran atau kesahihannya.

Kadang-kadang diviralkan oleh tanpa niat jahat. Tapi didorong oleh sentimen atau sekadar hendak membawang sahaja. Dalam perhitungan agama, itu juga mengundang dosa kering. Orang kampung bila tak pasal-pasal mencari dan membuat dosa. Dari segi undang-undang juga, mereka akan ditakrifkan sebagai bersubahat dalam jenayah fitnah tersebut.

Sewajarnya dalam keadaan di mana kebenaran atau kesahihan berita tidak dapat dipasikan, paling banyak yang mereka lakukan adalah sekadar membaca sahaja apa yang mereka terima tanpa memanjangkan kepada sesiapa pun.

Kebebasan bersuara dan dosa fitnah

Agama Islam dan undang-undang sekular kita memberi pengiktirafan kepada hak asasi manusia termasuk hak untuk bebas bersuara tertakluk kepada batasan kepentingan masyarakat dan negara yang lebih besar.

Islam menganjur dan memberi kebebasan kepada kita untuk memberi nasihat, berunding dan bermesyuarat, membuat ijtihad, mengkritik orang lain di atas kepentingan umum, memberi pendapat, berpersatuan dan akhir sekali kebebasan untuk beragama.

Tapi kebebasan tersebut tidak memberi hak atau lesen kepada mana-mana pihak untuk mencipta dan mereka fitnah keatas pihak lain dan juga kepada mana-mana untuk menyebar fitnah atau berita palsu.

Dalam undang-undang sekular kita, perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan  bahawa setiap warganegara bebas untuk bercakap dan bersuara. Kebebasan ini telah banyak membantu melindungi hak asasi manusia dan masyarakat awam.

Pun begitu, umum semua tahu bahawa kebebasan tersebut bukanlah sesuatu yang mutlak atau tak ada batasannya. Hak tersebut tertakluk kepada batasan kepentingan keselamatan Persekutuan, kententeraman awam, keharmonian masyarakat, larangan untuk membuat fitnah, menghasut untuk melaku sesuatu kesalahan dan hak Parlimen untuk menggubal undang-undang untuk menggariskan batasan kepada hak tersebut.

Menangani masalah

Jika tidak ditangani dan dibendung secara tegas dan berkesan,  ancaman, bahaya dan kemudaratan  fitnah dalam dunia alam maya tanpa sempadan ini; ianya mampu menganggu-gugat keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.

Tanggung-jawap utama perlulah dipikul oleh pihak kerajaan yang berkewajipan untuk mengurus tadbir negara dengan sebaik mungkin.

Kita memahami tekanan keatas kerajaan hari ini untuk mengambil sikap yang lebih terbuka dan liberal dalam menangangi isu-isu berkaitan hak asasi manusia termasuk kebebasan untuk bersuara.

Tapi masyarakat dan rakyat jelata memahami bahawa perlu ada had dan batasan yang munasabah keatas hak tersebut dan ianya tidak sama sekali boleh mengatasi kepentingan awam.

Kepentingan awam dalam hal ini menuntut kerajaan agar bertindak dengan tegas dan berkesan untuk menangani gejala fitnah dan berita palsu yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Gunalah undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pemfitnah, askar-askar upahan dan ejen-ejen mereka agar mereka sedar dan insaf bahawa jenayah adalah tidak berbaloi (crime does not pay).

Tetapi kuat-kuasakan undang-undang dengan telus dan adil tak kira pihak lawan atau kawan dan bukan sebagai satu senjata untuk menghancur, menewas atau menekan pihak lawan.

Hanya dengan cara itu rakyat akan menghurmati undang-undang sebagai sesuatu yang luhur dan perlaksanaannya pula sebagai sesuatu yang adil.

Kerajaan juga perlu mengguna segala sumber dan saluran yang ada pada mereka untuk memberi penjelasan dan pencerahan kepada rakyat tentang jihad untuk memerangi fitnah dan berita palsu. Media massa, radio, tv, jabatan penerangan dan badan-badan agama perlu dikerah untuk bersama-sama dalam usaha ini.

Pemimpin-pemimpin politik, masyarakat dan agama juga perlu diberi kesedaran dan diajak untuk bersama-sama menghasilkan agenda ini.

Akhir sekali, rakyat perlu sedar, insaf dan menerima hakikat bahawa mereka juga perlu memikul tanggung-jawab bersama untuk mempastikan kehidupan mereka dalam masyarakat dan negara sentiasa aman, damai dan harmonis. Dengan mengambil sikap memandang hina dan mencela pemfitnah, askar-askar upahan dan agen-agen mereka.

Sambil sentiasa berwaspada dan berhati-hati bila mendengar atau menerima berita, menyiasat dulu kebenaran dan kesahihanya. Jika tidak dapat disahkan atau terasa ragu-ragu dengan berita tersebut, ketepikan saja untuk dibawa angin lalu. Kita guna akal dan fikiran kita dengan kritis dan sebaik mungkin untuk menilai sesuatu yang dihidang kepada kita. Dan, membeza antara yang benar dan yang batil.

Dalam kerangka jenayah fitnah hari ini, ada beberapa peruntukkan undang-undang yang boleh diguna pakai iaitu;

* Akta Hasutan 1948;

* Akta Rahsia Rasmi 1972;

* Akta Fitnah 1957;

* Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948;

* Akta Universiti dan Kolej Universiti 1972;

* Akta Suruhjaya Komunikasi dan Multimedia 1998;

* Kanun Keseksaan;

* Akta Berita Palsu 2018 (telah dimansuhkan)

Wan Haron Wan Hassan

Penulis Kanan Sinar Harian