NEGARA diisytihar merdeka dan bebas daripada belenggu penjajahan British pada 31 Ogos 1957.

Sejak itu pada setiap 31 Ogos kita akan meraikan hari kemerdekaan dengan pelbagai acara dan tema.

Tahun ini merupakan kali ke-61 kita meraikan hari merdeka. Bermakna sudah 61 tahun negara kita merdeka.

Apakah pada tahun ini perayaan kemerdekaan membawa erti yang berbeza kepada negara dan rakyat berbanding tahun-tahun yang lepas?

Menelusuri erti kemerdekaan

Di bawah era Tunku Abdul Rahman, kemerdekaan membuka peluang kepada kerajaan untuk kali pertamanya menyusun semula hala tuju negara mengikut wawasan dan aspirasi rakyat berbanding dengan apa yang telah ditetapkan oleh penjajah.

Pada era Tun Abdul Razak, kerajaan telah memberi tumpuan yang lebih khusus kepada pembangunan negara.

Tun Abdul Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula struktur ekonomi masyarakat ekoran peristiwa hitam 13 Mei.

Tun Abdul Razak juga dikenang kerana menghasilkan Laporan Razak yang kemudiannya menjadi asas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan; mengilham dan menubuhkan Felda, Risda, MAS, Petronas, Mara, Pernas, UDA; mengubal Dasar Pembangunan Luar Bandar dan melancarkan Rukun Negara.

Zaman Tun Hussein Onn pula terlalu singkat untuk kita membuat penilaian yang bermakna.

Kemudian ketika era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, beliau telah berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baru dan mengangkat negara ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga digelar 'Harimau Ekonomi Asia'.

Banyak projek berprofil tinggi yang berjaya dibangunkan. Kejayaan Dr Mahathir membawa Malaysia keluar dari krisis kewangan Asia pada 1997 dengan menolak formula IMF tetapi memilih pendekatan sendiri, telah melonjakkannya sebagai negarawan yang unggul di Asia.

Tidak kurang pentingnya ialah kejayaan Dr Mahathir untuk menyemai dan menanam sifat jati diri, harga diri dan keyakinan diri dalam kerangka pemikiran dan minda rakyat Malaysia, membuat mereka percaya bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat negara maju dan mampu bersaing di medan yang terbuka tanpa dihimpit oleh perasaan 'inferiority complex'.

Sifat dan sikap sedemikian memberi makna besar kepada kemerdekaan kerana melaluinya, negara dan rakyat mempunyai keyakinan dan iltizam yang lebih tinggi untuk terus maju ke depan.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pula tidak membawa impak dan makna yang memberangsangkan kerana kepimpinannya yang dianggap tidak dinamik.

Era Datuk Seri Najib Razak adalah era yang paling mencabar kerana tercetus banyak isu kontroversi dan skandal berskala mega.

Berikut adalah antara isu-isu yang sering diungkit rakyat 'Typeface':

Negara terpalit dengan skandal besar seperti kapal selam Scorpene, pembunuhan Altantuya, penyelewengan 1MDB, SRC International, Felda-FGV, Tabung Haji, Sime Darby, Petronas, EPF, ECRL, HSRL, projek saluran paip gas, PFI, kapal mewah Equanimity, rantai berlian RM115 juta, Wolves of Wall Street, Speedy Gonzales dan lain-lain lagi.

Sistem pentadbiran yang dinodai dan dikompromikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk memenuhi agenda peribadi mereka.

Rasuah dan pecah amanah berlaku secara berleluasa yang melibatkan pemimpin-pemimpin atasan dan kuncu-kuncu mereka termasuk pegawai tadbir dan penguat-kuasa yang ikut sama bersekongkol. Banyak kes berskala besar melibatkan wang jutaan atau billion ringgit.

Pemimpin-pemimpin atasan bergerak di atas kepercayaan bahawa 'cash is king'. Berbekalkan wang yang banyak daripada hasil mencurigakakan, pemimpin menjadi angkuh, rakus dan tidak lagi sensitif dengan rungutan rakyat kerana mereka percaya  wang boleh menyelesaikan masalah. Rakyat juga ikut dirasuah dengan pelbagai suapan dan dedak sehingga melemahkan pemikiran, jati diri dan daya saing mereka

Isu perkauman dicanang untuk memecah-belah dan menakut-nakutkan rakyat.

Agama digunakan sebagai bahan dagangan murahan dan dijadikan alat untuk agenda politik serta mengekalkan hegemoni pemerintahan mereka.

Hutang negara yang  terlalu besar sehingga mencecah RM1 trilion, bukan RM600 bilion seperti yang dilaporkan oleh kerajaan terdahulu.

Paling mendukacitakan ialah kemerdekaan dan kedaulatan negara telah 'digadai' melalui projek-projek mega dan hutang  yang dipinjam untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin atasan sendiri.

Sekaligus mendedahkan negara kepada ancaman penaklukan dan penjajahan ekonomi oleh kuasa besar.

Akhirnya dunia mengenali dan memberi label yang sungguh menjengkelkan kepada Malaysia.

Amerika menggelarkan kita sebagai 'a kleptokracy at its worst' sementara New York Times memberi deskripsi sinis kepada Najib sebagai 'a man of steal' dan Times Magazine pula menyenaraikannya sebagai salah satu lima pemimpin yang paling dicemuh orang.

Apakah erti kemerdekaan bagi kita?

Mampukah kita berdiri megah dan bangga dengan kemerdekaan negara?

Kita akui bahawa bukan semuanya buruk di bawah pentadbiran Najib. Sudah pasti ada kebaikan dan sumbangan selama dua penggal menjadi PM.

Begitu juga pencapaian di bawah perdana menteri yang lain. Namun bukan semuanya indah belaka.

Sudah pasti ada kegagalan, kesilapan atau keterlanjuran.

Sekarang di bawah kepimpinan Dr Mahathir untuk kali keduanya, bersama gagasan baru PH dengan mantra Malaysia Baharu, apakah makna dan ertinya kemerdekaan untuk kita semua kali ini?

Perayaan kesyukuran tumbangkan BN

Mengikut hemat penulis, kemerdekaan tahun ini boleh ditakrif sebagai satu perayaan kesyukuran di atas kejayaan rakyat menumbangkan kerajaan Umno/BN pada PRU14 sekaligus memberi peluang dan ruang untuk kita merungkai dan menyelesaikan segala permasalahan yang telah ditinggalkan oleh rejim Najib dan mencari hala tuju baharu untuk memastikan masa depan negara dan rakyat yang lebih selamat lagi terjamin.

Kemenangan PH memberi peluang kepada kita untuk terus melindungi kemerdekaan negara kita daripada menjadi negara muflis dan kemudiannya terdedah kepada penjahahan ekonomi oleh kuasa besar.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2018, Dr Mahathir berkata, rakyat merayakan sambutan kali ini dengan perasaan lega setelah berasa tertekan di bawah pentadbiran lama.

"Sesungguhnya ini adalah kemerdekaan kedua bagi kita. Kita sudah bebas daripada belenggu pemerintahan kejam. Hidup kita lebih selesa," kata beliau.

Pengajaran dan iktibar untuk rakyat

Rakyat perlu mengatur syukur diatas rahmat besar ini. Sifat syukur itu perlu kita terjemahkan dengan tindakan-tindakan yang setimpal dan bermakna agar kita dan pihak kerajaan dapat bergerak seiring dan sejalan dengan satu tujuan.

Ini bermakna bukan sahaja rakyat wajar untuk terus memberi sokongan dan masa kepada kerajaan PH untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut dan juga untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka tetapi mereka juga berkewajipan untuk berganding bahu bersama pihak kerajaan dalam usaha-usaha penyelesaian masalah-masalah tersebut.

Rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan tipu helah, putar belit dan auta oleh pihak pembangkang dan 'askar-askar upahan' mereka.

Sudah pasti mereka akan meningkatkan usaha-usaha mereka melalui berbagai dakyah, propaganda dan fitnah untuk menanam rasa curiga, marah atau benci kepada kerajaan.

Di samping itu, rakyat juga perlu berwaspada dengan pemimpin-pemimpin dan para agamawan yang tak segan silu untuk menggunakan agama sebagai alat perniagaan atau bahan politik murahan.

Jangan biarkan mereka memperdayakan kita dengan kalimah-kalimah suci ALLAH. Kita guna akal fikiran kita dengan kritis untuk menilai kelakuan dan tindak-tanduk mereka daripada menerima bulat-bulat apa yang disampaikan mereka.

Pun begitu sokongan rakyat kepada kerajaan tentulah bersyarat. Ianya tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk mengurus tadbir negara dengan baik, telus dan amanah, dan menunaikan janji-janji mereka.

Rakyat menaruh harapan agar pihak kerajaan sentiasa sedar dan peka bahawa sokongan dan kesetiaan mereka adalah bersyarat. Jangan hampakan harapan mereka hingga memaksa mereka bangkit menentang kerajaan sepertimana mereka bangkit menentang Umno/BN semasa PRU14.

Ingat kepada pepatah Melayu bahawa 'kesetiaan itu bersyarat dan menderhaka itu pula bersebab'.

*Wan Haron Wan Hassan merupakan Penulis Kanan Sinar Harian