PENYATAAN demi penyataan yang mengelirukan muncul. Semuanya atas slogan Malaysia baharu, seolah-olah selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu, Malaysia perlu melalui proses dekonstriksi dalam membina negara.

Terkini, kenyataan Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff yang mendakwa Islam sebagai endemik yang menyelubungi sama ada dalam aspek legislatif, judisiari mahupun eksekutif. Islam juga dilihat sebagai penyakit yang mempengaruhi pendidikan, ekonomi dan juga sosial masyarakat.

Telahan oleh individu tersebut memperlihatkan betapa cetek pengetahuan dan tuli terhadap citra Malaysia ini. Mungkin kerana pengaruh pendidikan luar, ataupun pengalaman lampau beliau yang menjadi nadi kepada komitmennya itu.

Walau apa pun pandangan tersebut, ia membawa konotasi negatif dan berniat jahat. Agenda sekularisme yang dicanangkan ini juga mendedahkan bahawa Shareena masih dalam pemikiran kolonial yang jelas bertentangan dengan norma Islam dan Melayu.

Sekularisme muncul kerana bentakan Renaissance mahupun Enlightenment kerana pengaruh total institusi gereja di Eropah. Tetapi di Malaysia, kedaulatan dan kehebatan watan Melayu lebih awal daripada humanisme Barat.

Makanya, sekularisme itulah yang sebenarnya endemik dan menjadi epidemik kepada masyarakat Malaysia. Islam bukan sahaja sebagai fahaman dan pegangan dalam beragama, tetapi ia adalah cara hidup.

Dalam isu ini, Shareena seolah-olah melihat Islam sebagai beban. Jika itulah paradigma yang dipunyai oleh Shareena, maka silakan. Tetapi janganlah menggeneralisasikan pandangan tersebut. Shareena tidak bertoleransi dengan kepelbagaian yang ada.

Manakala etnik itu merupakan pengenalan sama ada untuk pembinaan polisi mahupun identifikasi sesebuah kawasan mahupun negara. Seharusnya sebagai ahli dalam sebuah suruhanjaya mahupun syarikat, Shareena seharusnya lebih cakna tentang perlembagaan dan agenda besar Perlembagaan Malaysia.

William Petersen (1997) menyatakan, kepelbagaian inilah yang akan mewujudkan masyarakat plural berbudaya yang harmoni. Jadi, setelah merdeka selama 61 tahun ini, kepelbagaian inilah yang menjadi nadi kepada kewujudan Malaysia.

Jelas, sekularisme dan liberalisme yang merangkak masuk dalam citra Melayu Islam Malaysia telah mula berjalan dengan lagak, sehingga cuba menolak kepentingan majoriti.

Memetik tulisan Dr Yusuf al-Qaradawi, sekularisme bukan dicipta untuk Muslim, dan bukan untuk menyelesai masalah Muslim. Begitu juga yang berlaku dalam forum tersebut.     

*Penulis ialah Pengarah, Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia