Pendapat saya tentang debat dengan Kassim Ahmad

1. Ramai benar yang hendak berdebat dengan Kassim Ahmad, namun yang lebih afdhal bagi para agamawan saat ini ialah untuk menghampirinya lalu menasihatinya secara sulit, jauh dari kamera, jauh dari popular dan jauh dari kaca mata manusia. Moga-moga dalam usia yang sudah tua ini, dia mahu bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH di bawah petunjuk al-Quran dan al-sunnah serta menyedari kesilapannya.

Kassim Ahmad bukan orang sembarangan, dia orang yang pernah masuk ISA dan penjara kerana mempertahankan pegangannya. Sedang pak Ustaz, dan sang pendakwah ahli sunnah pun belum tentu mampu bertahan dengan penjara.

2. Kalau mahu berdebat dengan alasan penting untuk mendedahkan kepada umum tentang kesesatan fahaman anti-hadith ini maka lebih baik dibuat dialog dan forum atau diskusi soal-jawab terbuka yang dikendalikan oleh agamawan yang mahir. Mungkin Datuk Dr Asri adalah orang yang sesuai dan lain-lain tokoh.

Kalau mahu berdebat juga dengan Kassim Ahmad, maka saya rayu dan mencadangkan agar orang yang berdebat dengannya itu ialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Ini kerana beliau berupaya menangkis hujah Kassim Ahmad dari sudut sejarah, psikologi dan pemikiran di samping mengetengahkan jalan damai yang mampu memujuk Kassim Ahmad beralah secara sukarela dan memujuk hadirin yang menyebelahinya memahami hujah-hujah agama. Insya-ALLAH.

Hujah yang bertubi-tubi dengan dalil, tidak berkesan buat golongan ini yang cara berfikirnya berbeza.

3. Golongan seperti Kassim Ahmad terhasil dalam masyarakat akibat kelemahan institusi agama dan dakwah serta cara fikir agamawan yang suatu ketika dahulu amat kolot, jumud dan tertutup. Membaca buku-buku beliau akan menyebabkan kita memahami bahawa beliau bukan watak jahat atau pembelit yang sengaja mencari pasal tetapi seorang yang tersesat dalam mencari jalan kebenaran.

Jangan dilupa juga tentang hidayah ALLAH yang hanya menjadi milik-Nya, diberi kepada siapa yang Dia suka.

4. Doa saya, moga al-sunnah dan dakwah Islam ditegakkan dengan benar, tertib dan caranya memenuhi maqasid serta tujuan syarak yang mulia. Moga para pendakwah menyampaikan agama ini dengan ikhlas dan benar caranya.

Sekadar pendapat yang boleh diterima dan ditolak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RATA-RATA pemerhati politik melihat Felda sebagai deposit tetap BN sejak sekian lama kerana pengundi memilih parti pemerintah, ada dikaitkan dengan pembangunan tanah rancangan kerajaan Persekutuan itu memberikan sumber ekonomi kepada warganya.
  • SAYA sudah melihat banyak lukisan, termasuk yang dihasilkan pelukis-pelukis terkenal dunia, tetapi wajah dalam lukisan yang saya lihat di dinding sebuah pejabat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, baru-baru ini menimbulkan persoalan yang mendalam.
  • MEMANDANGKAN angka kemurungan dalam kalangan rakyat cukup tinggi, semua pihak wajib memikirkan semula satu soalan yang sejak dulu telah diajukan oleh ahli falsafah apa hidup yang baik itu?
  • PRU14 bakal tiba dan boleh diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa. Banyak pihak yang mengatakan pilihan raya pada kali ini adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan negara dan rakyat dari kemelut ekonomi...
  • SECARA umumnya, siapa yang tidak suka dipuji?. Walaupun demikian tidak semua individu yang mengharapkan pujian.