BESAR sungguh dosa kita kepada lebih 200,000 pesawah di Malaysia. Beras yang kita makan (secara purata setiap rakyat Malaysia makan 120 gram nasi sehari) datang dari titik peluh mereka.

Padinya dituai datang dari tanah yang telah mereka warisi dan usahakan sejak zaman berzaman. Hakikatnya majoriti pesawah kini berusia dalam lingkungan 60 tahun.

Kalau bekerja di pejabat pada usia tersebut sudah boleh goyang kaki berehat dengan wang persaraan tetapi tidak bagi pesawah kerana sekiranya mereka bersara, kita semua akan mati kebuluran.  

Tapi kita tidak pernah menghargai, bahkan sanggup mengambil kesempatan pula.  Walaupun industri padi dan beras negara bernilai RM7 bilion setahun, pesawah merupakan golongan yang paling kurang mendapat manfaat dan termiskin dengan pendapatan RM500-RM600 sahaja sebulan.

Itu pun terpaksa bergantung kepada bantuan, kesuburan tanah, cuaca, sumber air, serangan penyakit dan pemusnah serta kadar pemotongan mutu padi yang berubah-ubah. Belum lagi ditolak hari tidak bekerja kerana sakit, demam.  

Pendapatan mereka rupanya jauh lebih rendah daripada pengusaha kelapa sawit, getah dan koko. Kita sedap makan nasi tiga kali sehari tanpa menyedari tangan yang menyuap hidup terseksa sekian lama. Isteri dan anak yang mereka tanggung juga azab dengan makan, pakai yang ala kadar sahaja.

Pada usia senja, kepada siapa mahu diwariskan sawah, bendang dan kepada siapa mahu diturunkan ilmu menanam padi tersebut? Mana mungkin ada anak-anak yang sanggup menjadi pesawah dengan pendapatan yang amat tidak setimpal dengan kudrat disumbangkan?

Penubuhan Majlis Industri Padi & Beras (MIPB) secara jujur walaupun agak terlewat masih perlu disambut dengan positif dan terbuka. Industri padi dan beras yang maha besar dan penting ini sudah sekian lama dirundung masalah dan MIPB seharusnya boleh membantu jika betul iktikadnya.  

Mungkin ada yang berpandangan selagi belum rosak jangan dibaiki, justeru tidak hairanlah cara kita menangani isu padi dan beras selama ini suam-suam kuku sahaja. Apatah lagi apabila menterinya kerap bertukar tangan. Menteri boleh bertukar 10 kali dalam tempoh 40 tahun, tetapi pesawahnya yang itulah juga, yang terpaksa bergelut dengan masalah sama saban hari.  

Jalan penyelesaian yang cuba digarap bijak pandai dan pakar industri sering terarah kepada penyelesaian kosmetik. Memang ada satu, dua idea yang ‘gargantuan’ sifatnya, tetapi memerlukan suntikan modal besar dan mengambil masa lama sebelum dapat dilihat hasilnya.

Idea-idea seperti memodenkan kaedah tanaman, membaik pulih sistem saliran ataupun menyediakan barisan pesawah pelapis sepatutnya sudah terlaksana 10-20 tahun dahulu, ketika petani masih muda, ketika tanah masih subur dan ekonomi kita masih sihat. Tetapi itulah, sekali menteri bertukar, sekali polisi berubah.  

Apa pun perlu diakui situasi ekonomi domestik dan sejagat yang cacamerba tidak mengizinkan kerajaan untuk terus memberikan subsidi yang mencecah 2.2 bilion setiap tahun.

Dengan 60 peratus sumber kewangan industri padi dan beras disokong oleh subsidi kerajaan dan pendapatan pesawah dan pengilang yang bergantung pada dana kerajaan, cubalah bayangkan rupa atau harga nasi yang kita makan apabila sistem sokongan tersebut dihentikan.  

Kini timbul pula persoalan di benak kita. Jika di sebelah sini kerajaan menanggung kerugian manakala di sebelah sana petani hidup di bawah garis kemiskinan, siapa pula yang dapat hasil jualan padi serta berbagai skim bantuan kerajaan yang banyak itu?

Sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri 100 peratus menjelang 2020 tidak kesampaian apabila kita memindanya kepada 80 peratus tahun ini (ia juga lebih rendah daripada sasaran 85 peratus yang ditetapkan oleh ETP di bawah Pemandu). Memang selama ini pun SSL kita berlegar di sekitar 70 peratus sahaja.

Memang banyak faktor yang perlu diperhalusi jika mahu mencapai SSL 100 peratus. Bukan hanya usia petani, bahkan tanah dan air khususnya di jelapang juga sudah tua dan perlu 'diremajakan' kembali.

Kita tak mahu tanah masam dan kering ini dijadikan alasan untuk menukar status bendang menjadi tanah perusahaan atau perumahan. Dan ia sebenarnya telah berlaku.

Kita juga perlukan jelapang padi baru sebanyak 400,000 hektar sekurang-kurangnya.  Kita pernah ada lebih 600,000 hektar, tetapi telah berkurang (bukan bertambah) kepada 500,000 hektar sahaja.

Kita masih terpaksa mengimport 30 peratus beras walaupun kita mampu hasilkan 100 peratus sendiri.  Ada yang berpandangan mengimport lebih menguntungkan pemborong.

Jika inilah semangatnya, maka tidak hairanlah berlakunya lambakan padi setiap kali musim menuai tiba. Tidak hairanlah apabila kuota beras import jauh melebihi 30% yang dibenarkan. Semuanya demi mengaut keuntungan tanpa mempedulikan nasib pesawah.  

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membela nasib pesawah dan tidak membiarkan mereka terkapai-kapai sendirian. Mungkin dengan memperbetulkan semula niat serta berbekalkan sedikit keberanian, dosa-dosa kita pada para pesawah akan dapat ditebus.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.