SYAWAL lalu, saya dijemput menghadiri majlis raya sebuah syarikat korporat milik tokoh usahawan Muslim di Johor Bahru. Berbeza daripada majlis-majlis korporat lain, sesungguhnya ia  meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada saya dan para tetamu.

Pertamanya, majlis tersebut meletakkan ibu pemilik syarikat berkenaan sebagai tetamu utama, seterusnya merasmikan majlis mendahului VVIP lain.

Keduanya, agak menghairankan juga bila begitu ramai jemputan bukan Islam hadir dan dengan khusyuk mereka kelihatannya meraikan kisah kejayaan syarikat tersebut yang disampaikan melalui tayangan multi media sambil kemudiannya mendengar pula tazkirah disampaikan penceramah jemputan. Hari itu, barulah saya faham maksud umat Islam yang kuat lebih baik daripada umat Islam yang lemah.

Berdasarkan pengamatan, kerap sekali rujukan dibuat terhadap prinsip al-Quran dan kasih restu ibu sepanjang majlis berlangsung sebagai manifestasi penghormatan mereka terhadap dua faktor tersebut. Hadirin juga dimaklumkan bahawa menjadi peraturan syarikat, setiap warga kerjanya yang berkewajipan untuk menunaikan solat, diwajibkan bersolat apabila selesai azan di surau syarikat tanpa penangguhan.

Sebaik majlis melabuhkan tirainya, para tetamu termasuklah bukan Islam bersalaman sambil mengucapkan tahniah. Ketika bersalaman ada tetamu bukan Melayu ini merujuk pemilik syarikat tersebut sebagai 'Bos' dan 'Tuan', gelaran yang mudah sangat difahami maksudnya.  

Terus sahaja termaktub di minda saya bahawa untuk meletakkan agama Islam di tempat yang mulia dan dihormati semua orang, kita sebenarnya tiada banyak pilihan. Kita perlu berjaya menguasai sesuatu bidang kerana hanya dengan kejayaan itulah penghormatan manusia akan hadir dengan sendirinya.

Walaupun ucapan tahniah daripada wajah-wajah ceria tetamu bukan Islam itu bukanlah pengiktirafan mereka terhadap ajaran agama Islam tetapi sekurang-kurangnya mereka meninggalkan majlis tersebut dengan menyedari rapatnya hubung kait antara doa restu ibu, prinsip al-Quran dengan ahli korporat yang berjaya dan tidaklah orang Melayu dan agama Islam hanya relevan untuk orang miskin, layu dan malas.

Melihat latar sejarah dan senario semasa hari ini, kedudukan agama Islam dan orang Melayu masih lagi dipertahankan pemerintah melalui peruntukan perundangan. Bagaimanapun, perlu diakui berselindung di sebalik kuasa perundangan tidaklah selamanya boleh menjamin kelangsungan bangsa dan agama kita. Tanpa disedari, imuniti undang-undang akan menjadikan kita dilihat sebagai bangsa yang begitu lemah dan kurang upaya.

Kuasa undang-undang mungkin boleh menggaris panduan dan melindungi agama Islam dan orang Melayu hingga ke tahap tertentu sahaja.  Namun begitu sehingga tahap atau tempoh waktu tertentu, peruntukan perundangan pun tidak akan lagi mampu menangani pengaruh dan kesan cengkaman kuasa ekonomi yang tidak dimiliki orang Melayu.

Bukanlah sukar untuk melihat keadaan bilik-bilik solat di sesebuah pusat riadah atau beli-belah yang tidak lain hanya sekadar untuk mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Dalam senario yang lain, kita juga boleh meletakkan apa pun syarat perundangan berkaitan penjualan rumah kuota Bumiputera kepada para pemaju tetapi syarat tersebut boleh sahaja dimanipulasikan dengan mudah oleh pemaju dengan alasan tiada pembeli Bumiputera berminat.

Bukanlah mudah untuk kita meminta orang bukan Islam menghormati martabat agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya dengan penggubalan sesuatu akta atau enakmen jika kita sendiri tidak mampu memperlihatkan dalam kehidupan seharian ciri-ciri gemilang yang ada pada agama Islam.

Malahan masjid dan surau kita pun tidak punyai daya tarikan hingga terkadang begitu malap aktivitinya dengan pelbagai pantang larang ciptaan manusia yang akhirnya menjauhkan bukan sahaja orang bukan Islam tetapi anak-anak muda Islam sendiri untuk mengimarahkannya.

Di penghujung majlis syarikat tersebut, saya meminta diri untuk beredar dengan persepsi baru berkaitan keperluan meletakkan reda dan restu ibu bapa di tempat yang utama sehebat mana pun pencapaian kita dalam karier.

Sambil mengambil iktibar bahawa tanggungjawab untuk memperbaiki imej orang Melayu dan agama Islam bukan hanya tanggungjawab pemerintah tetapi patut dipikul kita semua. Sifirnya mudah, jika orang Melayu sifatnya maju dan gigih dalam kehidupan, maka Islam pun akan dipandang mulia orang bukan Islam, tetapi jika kita berterusan mundur dan tidak mampu melahirkan usahawan berjaya menguasai ekonomi, maka Islam juga yang akan menerima tempias buruknya.

*Penulis ialah Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Johor Bahru

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORNOGRAFI semakin hari semakin bermaharajalela dikalangan masyarakat Malaysia. Masih lagi memandang enteng terhadap virus pornografi ini. Hal ini kerana, kita tidak mengerti dan mengenal siapakah musuh kita.
  • SEMUA pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.