ENAM puluh tahun lalu; kemerdekaan itu bermaksud bebas dari penjajahan British. Orang Melayu menerima perkongsian kuasa dengan syarat dan harapan masa depan mereka terpelihara.

Dua belas tahun seterusnya; percubaan pertama membangun ekonomi negara menemui jalan buntu. Malaysia bertemu dengan konflik sosial – perkauman terburuk dalam sejarah negara. Asas kegagalan ini bukan semata-mata perbezaan politik atau sentimen perkauman namun juga adalah ekonomi.

Pada 1970; kepentingan asing dalam ekuiti korporat di Malaysia menguasai 63.3% pegangan ekuiti, masyarakat Cina menyusul dengan penguasaan 30% ekuiti dan masyarakat Melayu terkebelakang dengan hanya 2.4% pegangan ekuiti.

Masyarakat ketika itu merasa resah apabila majoriti tidak punya apa-apa pegangan dalam ekonomi negara yang menyebabkan sentimen menguasai rasional.

Menyusul dari itu; lahirlah satu pemikiran politik ekonomi yang pertama di negara ini dengan terzahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Asas pemikiran ini berhasrat mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum.

Kemiskinan yang menguasai hampir 60% rakyat menjadi musuh utama dan pelbagai program seperti Rancangan Buku Hijau dan Rancangan Penempatan Felda digagaskan untuk menyusun semula ekonomi rakyat.

Dasar politik ekonomi membanteras kemiskinan dan membangun upaya daya rakyat telah disusuli oleh pemikiran politik ekonomi kedua Malaysia yang digagaskan oleh Dr Mahathir Mohammed yang merencana negara dari pertanian ke perindustrian dan ke arah pemodenan Malaysia. Tiga puluh tahun selepas itu; Malaysia telah keluar dari kancah kemiskinan dan bersaing sebagai harimau Asia.

Saya kurang pasti untuk mendefinisikan jika ada pemikiran politik ekonomi negara dalam zaman Najib Tun Razak dengan pelbagai retorik diberikan sebagai Najibnomics atau sindiran kangkungnomics; atau semuanya hanya satu kebetulan. Namun nyatanya; arah tuju ekonomi pada ketika itu lebih tertumpu kepada proses liberalisasi ekonomi dan pelbagai data yang dibentangkan dirasakan seperti dimanipulasi untuk memberikan gambaran semuanya enak-enak belaka.

Era 90-an, ekuiti asing telah turun ke tahap 34% namun pada akhir era Najib Tun Razak ia telah berkembang kembali pada hampir 45%. Pembukaan ekuiti asing tidak semestinya 100% buruk, namun apabila penguasaan ekuiti tidak memberi ruang untuk partisipasi syarikat tempatan, tidak membantu pertukaran teknologi luar ke Malaysia dan pengembangan bakat-bakat negara untuk mengisi ruang-ruang pengurusan dan profesional syarikat ini, maka nilai-nilai GDP yang bertambah tidak memberi apa-apa nilai kepada bangsa.

Persoalannya adalah di mana Melayu ketika itu, jika mahu dibandingkan pada ketika ini. Adakah Melayu pada ketika itu kehidupannya lebih buruk sehingga kepimpinan politik Melayu pada hari ini telah dinyahkan.

Menjadi satu ketakutan kepada sebahagian orang Melayu pada hari ini bahawa mereka akan terus kehilangan kek ekonomi. Bagai api yang membakar dituang dengan minyak gasolin, sentimen ini dihangatkan lagi dengan pelbagai isu bahasa, bangsa dan agama. Dalam waktu yang sama, sebahagian lagi populasi rakyat Malaysia merasakan persoalan ras dan kaum harus ditinggalkan dalam agenda ekonomi dan negara secara seluruhnya.

Lebih menakutkan, sebahagian orang Melayu yang merasakan bahawa perdebatan untuk meninggalkan isu perkauman atau ras itu datang daripada kepimpinan Pakatan Harapan dan NGO-NGO bukan Melayu. Malaysia baharu sebenarnya masih mencari-cari definisi berkenaan di mana letak dulu kaum dan Melayu dalam gagasan baharunya.

DEB telah menyelesaikan sebahagian tanggungjawabnya dengan menyelesaikan masalah kemiskinan, menaikkan taraf pendidikan, meningkatkan jumlah pengurus dan profesional Melayu dan meningkatkan penyertaan Melayu dalam ekonomi. Asasnya untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi. Pun begitu dalam persepsi yang lain, DEB tetap diperlihatkan sebagai satu polisi yang hanya menguntungkan orang Melayu.

Ini mengingatkan saya pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri; Tun Dr Ismail pasca konflik kaum 1969, berkenaan DEB. Beliau yang dengan gagah perkasa, segak bergaya melangkah masuk ke Dewan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1957 dengan sepersalinan baju Melayu, tengkolok dan keris di pinggang menampilkan keterampilan Melayu di persada antarabangsa. Berkenaan DEB beliau pernah menyebut:

“Bahawa persoalan [hak keistimewaan orang Melayu] hendaklah dibiarkan kepada orang Melayu sendiri, kerana saya rasa apabila orang Melayu lebih berpendidikan dan memiliki yakin diri, mereka sendiri akan membuang hak keistimewaan ini kerana dalam “hak keistimewaan” ini terkandung penghinaan kepada bangsa Melayu itu sendiri kepada kemampuan dan keupayaannya dan hanya boleh dipertimbangkan kerana ia adalah keperluan dalam langkah sementara untuk memastikan survival bangsa dalam persaingan dunia moden hari ini; dunia yang mana mereka di bandar sahaja mampu memahami cabaran dan keperluannya.”

Kata-kata ini adalah selaras dengan pesanan ALLAH pada kita “Bahawa ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kita sendiri yang merubahnya”.

Namun saya kira; DEB telah dikambinghitamkan bukan atas dasar bahawa ia membantu orang Melayu, namun kerana ia telah disalahgunakan khususnya oleh pemimpin politik atas nama “Melayu”.

Pada hari ini, adalah sangat penting untuk dipersetujui oleh pemimpin Pakatan Harapan bahawa peri masalahnya adalah pada “penyalahgunaan” DEB dan dasar-dasar afirmatif lain “atas nama Melayu” dan penyelewengannya untuk kepentingan sekelompok elit Melayu. Penyelewengan dan penyalahgunaan ini harus berhenti dan tidak lagi berlaku dalam Malaysia baharu ini demi untuk kepentingan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain yang memerlukan langkah afirmatif untuk penyelesaian masalah mereka.

Sebahagian pejuang Melayu masih memikirkan perlu kelahiran DEB 2.0. Ada dalam kalangan mereka mungkin berfikir dengan menyembunyikan namanya maka mereka boleh menyembunyikan niat untuk meneruskan dasar afimatif untuk orang Melayu.

Persoalan bagaimana namanya adalah perkara ke-2. Hakikatnya jurang pendapatan dan jurang kekayaan antara bangsa-bangsa Malaysia makin melebar. Jika tidak ditangani keresahan sosial dan kaum akan bertambah. Langkah afirmatif sememangnya diperlukan. Perspektif bahawa pimpinan PH meninggalkan agenda Melayu perlu diperbetulkan oleh PH sendiri.

Sebahagian pemimpin PH berfikiran bagi menangani keperluan afirmatif ini, pendekatan ekonomi “need base” atau bahasa Melayunya mungkin pendekatan “ekonomi keperluan” boleh menggantikan langkah afirmatif. Saya tidak bersetuju. Namun ini adalah perdebatan dalam ruang perbincangan yang seterusnya…

* Penulis mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) (2011 -2016). Belia juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung, DPMM