RAMAI bertanya bagaimana hendak berdakwah ke atas bukan Muslim, khususnya komuniti Cina bukan Muslim. Adakah kita perlu belajar sehingga universiti untuk berdakwah atau sekadar menjadi mualim. Pandangan saya mengatakan jadilah seorang murabbi dalam usaha dakwah. Fahami asas agama mereka dan sampaikan risalah Islam walaupun sepatah perkataan. 

Tugas pertama murabbi adalah memahami komuniti Cina bukan Muslim, di Malaysia ada tiga sisi agama. Pertama, Buddha Mahayana yang dianuti adalah sandaran utama berkaitan dengan agama Taoisma.

Kedua, agama Taoisma mempercayai konsep baik dan buruk, kayangan dan neraka, air dan daratan.

Ketiga, fahaman konfucius yang mempercayai roh nenek moyang tinggal di langit (Ti) dan diperintah oleh roh nenek moyang yang tinggi (Shang Ti). Ibadat (Li) yang dimaksudkan dalam konfucius iaitu susunan kesopanan yang tertib digelar ajaran moral menekan kepada “Jika ada kebenaran dalam hati, akan ada keindahan dalam watak“, "Jika ada keindahan dalam watak, akan ada keserasian dalam rumah tangga”,” Jika ada keserasian dalam rumah tangga, akan ada ketertiban dalam bangsa” “Jika ada ketertiban dalam bangsa, akan ada perdamaian di dunia”

Tugas kedua murabbi adalah menggunakan pendekatan berteraskan kepada prinsip keadilan Islam yang tidak merelakan perlakuan diskriminasi. Tujuan adalah mendapatkan penerimaan dan pengiktirafan Islam daripada golongan Cina bukan Muslim. Pengiktirafan ini membolehkan murabbi mendekati tiga golongan dalam komuniti etnik Cina bukan Muslim. 

Golongan pertama adalah yang terlibat dalam perekonomian dan perniagaan. Murabbi perlu mengetepikan perasan emosional bila berdakwah kepada golongan ini. Golongan peniaga lebih mudah mengadaptasikan diri dengan suasana persekitaran. Ceritakanlah konsep keamanan, keselamatan dunia dan akhirat perlu dikembangkan dalam konsep Zhi iaitu kebijaksanaan, kehikmahan dan kebenaran dalam golongan pertama. 

Golongan kedua adalah pendidik, kelas pekerja dan lain-lain. Di sini peranan murabbi adalah menjadi sahabat dan teman untuk mendengar pahit manis kehidupan mereka. Nasihati mereka dengan kesesuaian pemikiran mereka. Ambillah iktibar daripada kisah-kisah al-Quran sebagai panduan dalam nasihat urusan kehidupan mereka. 

Golongan ketiga adalah mereka yang terlibat dalam politik. Peranan murabbi di sini adalah memperbetulkan apa yang betul dalam urusan kehidupan dunia dan juga akhirat.

Tugas ketiga murabbi adalah mewujudkan satu aliran pendidikan Islam berteraskan sekolah swasta Cina seperti madrasah atau tahfiz Cina. Ini amat penting dalam melahirkan warna-warni mualim yang akan menjalankan dakwah ke atas kaumnya nanti. Itulah yang paling dekat dalam dakwah ke atas mereka. 

Tugas keempat murabbi adalah pembaikan urusan kehidupan mereka. Malah murabbi perlu mendengar keluhan resah mereka. Murabbi juga perlu menekan kepada aspek kehidupan abadi selepas kematian dalam konsep Islam. 

Akhir sekali banyak berfikir dan bermuhasabah bagaimana hendak memperbetulkan tanggapan dan kepercayaan komuniti tersebut. Murabbi perlu bijak dalam menggunakan ilmu, pengalaman dan kesetiakawanan dengan komuniti bukan Muslim, khususnya komuniti Cina. 

Tujuannya adalah menarik mereka ke jalan diredai ALLAH iaitu jalan yang perbatasan antara halal dan haram. Selain itu, tugas murabbi berdakwah melalui percakapan bersantai di kedai makan atau kedai kopi adalah lebih berkesan. 

Maka murabbi turut digalak menggunakan media-media sosial bagi tujuan itu. Berdakwah secara tidak formal adalah yang terbaik bagi seorang murabbi supaya tidak wujud prasangka terhadap Islam. Misalnya, mengadakan kelas-kelas tuisyen kepada pelajar sekolah secara percuma kerana ini juga cara kita menyebarkan ilmu melalui dakwah. 

Malahan mengambil pendekatan dengan mendengar segala kemusykilan tentang Islam yang dilontarkan oleh bukan Islam. Kita akan tahu apa yang mereka tidak faham dan bersedia dengan jawapan-jawapan atas persoalan-persoalan mereka.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.