Peranan dakwah amat penting dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman. Islam berkembang antara sebabnya ialah peranan pendakwah yang sentiasa menyampaikan kebenaran ilmu untuk kemaslahatan umat. Lebih penting ialah mengajak manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada ALLAH. Mengajak manusia dari kesesatan kepada bimbingan wahyu.

Dunia dakwah di negara kita kini berdepan dengan pelbagai rupa bentuknya yang mempunyai niat atau matlamat tersendiri. Ada daie iaitu pendakwah yang menjadikan kerja dakwah sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Ada daie yang berdakwah kerana minat, ada yang menjadi daie kerana ilmu, ada yang menjadi daie kerana berlakunya perubahan pada diri, bahkan ada yang bergelar daie kerana nak glamor, terkenal dan dihormati orang.

Fenomena artis berhijrah dari dunia lakonan dan nyanyian kepada dunia Islami yang mempamerkan watak sebagai mukmin, semakin mendapat perhatian. Ada yang menggelar mereka sebagai ustaz dan ustazah mi segera/maggie mi, ada yang digelar ustaz dan ustazah kangkung kerana cepat naik tapi kosong tanpa kekuatan ilmu... bahkan ada juga dikatakan berubah kerana sudah expired@tak laku dalam dunia lakonan dan nyanyian, maka beralihlah mencari makan dengan imej baru. Namun apa pun hakikatnya perubahan yang baik perlu disokong dan disertakan dengan niat ikhlas hanya mengharapkan reda ALLAH SWT.

Namun apabila pihak berkuasa agama Islam Selangor - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memanggil beberapa artis yang berhijrah itu untuk dinilai dan diberikan tauliah kepada mereka bagi membolehkan mereka menyampaikan kuliah dan ceramah di masjid serta surau di Selangor, menimbulkan sedikit keraguan, sama ada penilaian keilmuan yang diambil kira atau kerana faktor permintaan menjemput mereka kerana nama yang boleh menarik kehadiran jemaah ke masjid dan surau.

Jika persoalan ilmu yang diajukan, pastinya ada keraguan pada kebolehan keilmuan itu, sama ada secara bersijil akademik mahupun pengajian tidak formal. Agaknya sejauh mana keilmuan Islam yang dimiliki oleh mereka, adakah kerana hanya memakai tudung@kupiah dan serban layak bergelar ustazah dan ustaz?

Terbaru tindakan Jais memanggil sembilan artis untuk dinilai dan diberikan tauliah bagi membolehkan mereka bergerak aktif menyampaikan ceramah di masjid dan surau sekitar Selangor, menimbulkan persoalan sama ada ia disebabkan campur tangan politik bagi kepentingan pihak tertentu atau kerana ia suatu transformasi Jais dalam memberikan tauliah untuk para pendakwah. Adakah kerana disebabkan oleh permintaan yang banyak dari masjid surau yang menjemput mereka, maka Jais perlu memberikan tauliah.. atau kerana banyaknya aduan yang diterima oleh Jais tentang penglibatan mereka di masjid surau, untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang maka perlu diberikan tauliah kepada mereka.!!!!

Dulu Dr Maza bekas mufti Perlis pernah ditangkap dan didakwa kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah di Selangor. Dari sudut keilmuan memang tidak wajar dipertikaikan kelayakan beliau, namun atas nama undang-undang tindakan tetap dibuat.

Lebih mengecewakan jika pihak Jais memberikan tauliah kepada mereka dengan cara mudah, iaitu tidak melalui proses biasa yang dilalui oleh pemohon lain yang perlu menjawab ujian bertulis dan lisan bagi menilai tahap keilmuan. Jangan pula soalan dipermudahkan bagi memenuhi prosedur permohonan semata-mata supaya tidak dipertikaikan. Jais perlu telus dalam melaksanakan amanah ini kerana ia melibatkan penghayatan agama Islam yang perlu dipertahankan kesuciannya.

Agak mendukacitakan juga apabila para ilmuwan muda yang bergelar ulama muda dari parti Umno yang juga memohon tauliah mengajar dari Jais tetapi gagal dalam sesi temu duga. Adakah kegagalan itu kerana tidak boleh menjawab soalan berkaitan agama atau disebabkan oleh perbezaan ideologi politik? Adakah Jais bebas dari campur tangan politik? Hanya pihak pengurusan Jais yang dapat menentukannya. Sebagai warga Selangor, amat menyedihkan jika institusi masjid dan surau terus dibiarkan menjadi medan politik kepartian yang menyemai benih perpecahan dan kebencian sesama umat.

Jais perlu telus dalam tindakan.

* Penulis ialah Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS)