PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016 sudah pun berakhir. Donald Trump sudah pun dinobatkan sebagai Presiden AS yang akan menggantikan Obama pada 20 Januari nanti.

Apa-apa pun yang diperkatakan tentang Trump, rakyat AS sudah membuat keputusan. Adat resam pertandingan mesti ada yang kalah dan sebaliknya.

Di sebalik keributan dan ‘kejam’nya serangan kempen dilancarkan oleh kedua-dua calon - Trump dan Clinton - masing-masing tidak putus melontarkan komen-komen negatif menyerang peribadi pihak lawan, penghujungnya kedua-dua pihak mempamerkan aspek kematangan politik AS luar biasa yang telah menjadi tradisi sejak sekian lamanya.

Dilihat secara mendalam, banyak aspek tradisi kematangan politik AS ini sukar dilihat dalam kebanyakan negara membangun, termasuk Malaysia.

Apabila tamat pilihan raya dan pihak yang menang dikenal pasti, sudah menjadi tradisi untuk pihak yang kalah menghubungi pihak yang menang untuk mengucapkan tahniah. Walau setinggi mana pun permusuhan mereka di arena politik, mereka masih bertindak profesional.

“Saya baru sahaja menerima panggilan daripada Setiausaha Clinton. Beliau ucapkan tahniah kepada kita - ia tentang kita - pada kemenangan kita dan saya ucapkan tahniah kepada beliau dan keluarganya di atas kesungguhan kempen  diperjuangkan. Maksud saya, beliau benar-benar berusaha bersungguh-sungguh.” - Trump

“Malam tadi saya telah ucapkan tahniah kepada Trump dan menawarkan diri saya  bekerja dengannya untuk negara. Saya berharap beliau menjadi presiden  berjaya untuk seluruh rakyat Amerika.” – Clinton

Walaupun Obama tidak bertanding kali ini, beliau tidak ketinggalan menyerang Trump bagi membantu calon partinya, Clinton memenangi pilihan raya. Ada pada waktunya, Obama turut menyerang peribadi Trump dengan agresif, termasuk melabelkan Trump sebagai tidak layak menjadi presiden, seorang yang pentingkan diri serta secara sinis mendakwa Trump tidak berupaya mengawal pengurusan kod nuklear presiden kerana beliau sendiri tidak mampu mengawal akaun Twitternya.

Trump sebelumnya tidak kurang hebat serangannya terhadap Obama sebelum ini. Beliau pernah mempertikaikan kesahihan sijil kelahiran Obama, sekali gus mempertikaikan kerakyatan Obama.

Namun, semuanya berubah setelah Trump memenangi pilihan raya penuh dramatik ini. Obama dalam sidang media pertamanya selepas kemenangan Trump telah menyatakan pendiriannya untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan beliau turut mengucapkan tahniah kepada Trump.

Walaupun Trump dan Obama berlainan parti politik, namun semangat patriotik mereka untuk melihat segalanya yang terbaik untuk negara patut dipuji.

Mereka meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi mahupun parti politik yang mereka wakili. Dalam pertemuan pertama mereka di White House, dalam keadaan santai dan mesra Obama telah mengungkapkan kata-kata ini:

“Paling penting, saya ingin menekankan kepada anda, Tuan Presiden yang baru dipilih, bahawasanya kita akan melakukan segala yang perlu untuk membantu anda berjaya kerana jika anda berjaya, negara ini akan turut berjaya.”

Dalam temu ramah pertama Trump di televisyen selepas pilihan raya bersama CBS News melalui rancangan 60 Minutes, beliau menunjukkan satu lagi sikap matang berpolitik apabila dengan jujur memuji pihak lawan mengenai elemen positif yang ada pada mereka dan perkara-perkara baik yang telah dilakukan.

Beliau memuji Clinton sebagai seorang yang kuat dan bijak. Beliau turut menyatakan kekesalan di atas keterlanjuran serangan peribadi terhadap Clinton. Tentang Obama pula, Trump melihatnya sebagai seorang yang sangat bijak, baik dan pandai berjenaka dalam menyentuh isu-isu besar dan subjek berat.

Perkara sebeginilah yang perlu ada dalam sistem demokrasi negara ini dalam kita bergerak ke arah mencapai negara maju. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik tetapi apabila tamatnya pilihan raya, pihak yang kalah perlu menerima kekalahan dengan hati terbuka dan memberikan sokongan kepada pihak yang telah meraih mandat rakyat untuk memerintah.

* Penulis ialah Penganalisis Kanan, Institut Darul Ridzuan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ADALAH penting untuk menjamin faktor nilai lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu dijadikan atau ditetapkan sebagai faktor keberhasilan. Ini sangat penting untuk mengelakkan walau proses ijtihad dan istinbat itu bebas dari kerencatan, maqasid syariah itu sendiri adalah menolak mafsadah atau kejahatan.
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • SAYA ingin mengulas mengenai langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.
  • ISLAM adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Ini adalah persepsi umum di Malaysia, baik oleh orang Melayu mahu pun yang berbangsa Tionghoa atau Cina.
  • HARI ini tamat Menteri menjawab Perbahasan Belanjawan 2018 di Peringkat Dasar. Setelah dibahaskan daripada 30 Oktober 2017 hingga 13 November 2017. Petang ini hari untuk mengundi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.