SEPERTI biasa, hampir tiap-tiap malam, saya akan berada di lokasi yang sama. Sudah menjadi rutin untuk ke situ. Saya pun tidak tahu sebenarnya apa yang istimewa sangat tempat itu.

Cuma terasa selesa sahaja. Mungkin orang lain pun begitu. Buktinya saya asyik juga bertemu dengan orang yang sama di situ.

Ada orang kata buang masa sahaja. Sebenarnya saya bukan buang masa. Cuma kadang-kadang cuba mencari idea.

Bukan keluar sia-sia. Ada perkara yang saya fikir. Sambil-sambil mencatat nota. Itu sahaja.

Sambil-sambil itu saya memesan Nescafe tarik. Kadang-kadang kalau lapar saya pesan roti canai. Ya, roti canai dan nescafe tarik menemani saya di situ.

Bila sudah berada di situ, di kedai mamak, banyak cerita yang saya dengar. Bukan sengaja hendak curi dengar, cuma suara-suara bercerita itu hinggap di telinga saya.

Bila ia menarik perhatian saya, saya cuba melebarkan daun telinga untuk mendengar dengan lebih jelas.  

Banyak cerita. Suka, duka, politik, kehidupan malah ada juga yang sedang berkasih sayang.

Kadang-kadang saya tersenyum sendiri sambil menyuapkan roti canai. Kadang-kadang ada juga yang menyentuh perasaan saya.

“Abang, bulan ini nak pakai duit banyak juga. Semua dah sekolah. Barang sekolah, kelengkapan anak. Banyak juga".

Maka si suami pun mengeluh.

Ada juga yang bercakap gah. Biasa tentang politik.

“Aku tak mengundi. Undi pun sama sahaja. Tak ada kesan pada aku. Aku pun senang sekarang. Tak perlu nak minta kepada siapa-siapa. Buat apa aku mengundi.”

Begitulah cerita yang terbit dari mulut mereka. Cuma yang tidak mengundi ini, mungkin sekarang tidak ada kesan padanya. Tidak perlu ambil tahu hal orang lain mungkin. Cuma, bila terkena pada batang hidung sendiri, agaknya dia ini yang paling bingit.

Ada juga yang memadu kasih. Berkasih sayang di tempat terbuka melontarkan kata-kata yang kadang-kadang saya hampir termuntah mendengarnya.

Nampak muda remaja. Entah ibu bapanya tahu ke tidak. Kasihan juga keluarganya. Bukan apa, kalau lelaki itu ambil kesempatan siapa yang menangis sesal. Huh, sesal kemudian tiada gunanya lagi.

Cerita-cerita begini dapat didengar dari meja sebelah. Di meja depan agak rapat juga dengan meja yang saya biasa duduk.

Memang meja itu menjadi pilihan saya. Ia agak selesa dan boleh memandang semua gelagat manusia yang duduk di meja depan.

Walaupun bising, masih terdengar keluh-kesah cerita-cerita mereka. Cuma bila ada siaran langsung bola, oh, saya akan kehilangan tempat duduk kegemaran saya. Lantas saya akan terus ke tempat lain yang agak selesa dan tidak bising.

Ada sekali itu sepasang suami isteri bersama lima orang anak duduk di meja sebelah saya.

Mereka meminta kerusi memandangkan saya hanya berseorangan. Saya melihat mereka memesan lima air teh o ais. Berkongsi-kongsi kata bapanya.

“Nanti adik minum tak habis, membazir. Kongsi-kongsi sahaja".

“Abah adik nak makan. Roti telur".

“Along nak juga".

“Angah pun".

Abahnya diam sahaja. Ibunya pula memandang ke arah lain.

Kemudian abahnya berkata, “Kita makan di rumah saja. Nanti ibu masak nasi telur dadar kuah kicap. Lagi pun gaji abah belum dapat".

Anak-anak mereka agak hampa. Tersentuh juga hati saya mendengarnya. Apakan daya bukan semua orang mampu. Walau nampak seperti mampu.

Banyak cerita, banyak kisah dan banyak ragam. Kisah rakyat memerah tenaga untuk menyuapkan nasi ke mulut-mulut.

Cuma adakah kita sedar atau tidak? Ini hanya secebis cerita yang berlegar di sekeliling roti canai dan nescafe tarik di tempat saya. Di tempat lain? Ada sesiapa yang mendengarnya? Ada? Kalau ada baguslah.

Kalau tiada? Mungkin yang terlampau kenyang sehingga buncit perut itu perlu menggunakan otak bukan perut sahaja.

Bila menggunakan perut sahaja, hati tidak sihat. Nafsu membuak-buak, lantas akal berada di tapak. Berfikirlah. Bukan hanya fikir perut sendiri sahaja.

Mungkin masih ramai lagi yang merana.

* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEPERTI biasa, hampir tiap-tiap malam, saya akan berada di lokasi yang sama. Sudah menjadi rutin untuk ke situ. Saya pun tidak tahu sebenarnya apa yang istimewa sangat tempat itu.
  • SAYA membesar pada waktu di mana kehidupan itu lebih mudah. Setiap malam Jumaat, ayah akan membawa saya dan adik lelaki ke surau di kejiranan kami. Ini adalah rutin kami sejak saya berumur enam tahun, selepas mempelajari cara menunaikan solat, dan mula mengenal huruf jawi.
  • SEBAIK menjejak kaki ke Lahad Datu baru-baru ini, ia menjentik kembali hati penulis selepas hampir lima tahun Ops Daulat dilancarkan gara-gara pencerobohan puak pemisah yang dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu.
  • MATLAMAT Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) merupakan gerakan global yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkumi 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara terlibat menjelang 2030.