BN Selangor telah mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU14 nanti. 57 calon baharu dengan 14 orang membabitkan Parlimen dan 43 muka baharu bagi Dun.

Perkembangan ini sangat menarik kerana BN Selangor merasakan perlu kepada transformasi dalam menawan semula Selangor.

Namun, perlu dirasakan bahawa strategi calon muda dan calon payung terjun bukanlah suatu formula yang mudah untuk menawan Selangor.

Sebagai contoh, calon Dun Morib, Rozana  Kamarulzaman. Tidak dinafikan bahawa beliau adalah orang tempatan.

Begitu juga dengan calon parlimen di Kuala Langat yang jelas bukan orang setempat. Tetapi, bukankah ada calon yang lebih baik daripada dua calon di atas?0

Sekiranya barisan kepimpinan mengambil kira pandangan pemimpin local, pastinya nama calon lain yang menjadi pilihan.

Dalam satu kajian dalam kalangan belia Kuala Langat pada 2017 mendapati ciri-ciri pemimpin belia yang disenangi dan selayaknya menjadi calon ialah mereka yang bersama dengan penduduk tempatan tidak kira lapisan masyarakat mahupun daripada kumpulan etnik.

Kajian berkaitan toleransi politik dalam kalangan belia di Kuala Langat yang melibatkan seramai 315 mendapati 79% responden menyatakan pemimpin yang mahukan ialah pemimpin yang mempunyai daya toleransi dan mampu menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Kuala Langat.

Dapatan di atas juga merujuk kepada sikap-sikap kesukarelawanan, mempunyai hubungan yang baik dengan kumpulan etnik yang ada di Kuala Langat serta memahami kehendak belia Kuala Langat.

Bukankah ini antara kualiti calon yang perlu bagi tugas besar menawan semula Selangor?

Bukan sahaja berdasarkan trek rekod calon, tetapi ciri sosiologikal calon juga harus dilihat.

Sebagai contoh, calon yang sememangnya duduk di kawasan yang bakal ditandingi merupakan ciri penting dalam usaha mendapatkan undi.

Logiknya, calon dilihat lebih memahami isu masyarakat setempat. Ini adalah selaras dengan kajian berkaitan pilihanraya pada 2015 di Johor Bahru.

Dapatan kajian ini menyatakan calon tempatan dan isu lokal lebih utama berbanding calon parti.

Dalam satu kajian pilihan raya mendapati 84 peratus pengundi sebenarnya memilih calon sebagai perkiraan dalam membuang undi, berbanding 76 peratus memilih parti, 68 peratus menitikberatkan sentimen ataupun isu semasa dan hanya 65 peratus menjadikan manifesto pilihanraya sebagai panduan.

Maka, di mana perkiraan BN Selangor dalam meletakkan cadangan calon-calon ini.

Umum mengetahui kawasan Kuala Langat, masyarakat Melayunya terdiri daripada sub etnik Jawa.

Maka, pengetahuan, amalan dan juga bahasa memainkan peranan yang besar dalam mendapatkan undi.

Perlu diingat, masyarakat urban dan suburban telah melepasi proses psikologikal, dan mula melalui proses rasionaliti.

Maka, dalam perkiraan rasional, apakah persamaan yang wujud bagi calon-calon ini? Apakah kekuatan yang mereka miliki selain daripada kekuatan politik?

BN Selangor perlu memikirkan semula senarai calon mereka jika benar berhasrat menawan Selangor.

Dengan Pakatan Harapan mempunyai 30 kerusi, Pas 13 dan 1 wakil rakyat bebas, apakah perkiraan calon muda dan calon payung terjun mampu direalisasikan oleh BN Selangor dalam menawan semula Selangor daripada parti lawan?

Walau apa pun motivasinya, jika tewas pada PRU14, BN Selangor bakal mencipta hatrik.      

***Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah merupakan Pengarah, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)