PERANAN agenda kesukarelaan dalam menentukan kemantapan masyarakat, kini merupakan suatu tanggungjawab yang diketengahkan oleh media. Peranan ini bukan bersifat baru dalam agenda pemikiran media. Media boleh dianggap sebagai penyumbang utama agenda kesukarelaan sosial dalam satu unit kemasyarakatan.

Sebagai suatu elemen saluran komunikasi yang paling efektif, media berperanan mengilham, menggerak dan mengetengah sebarang isu dalam perpaduan masyarakat yang diluahkan mengikut fikiran dan aspirasi sesebuah masyarakat dan negara.

Bidang kesukarelaan yang menjadi agenda penting media, merupakan suatu bentuk pendekatan penyaluran maklumat secara kritis kepada kerajaan atau pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk mengkaji tahap keberkesanan dasar-dasar sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada masyarakat.

Di Malaysia, agenda kesukarelaan yang ‘ditiupkan’ oleh media-media tempatan ataupun luar negara telah menghidupkan suatu keprihatinan masyarakat berdepan dengan isu-isu semasa yang melibatkan dasar dan kepentingan mereka.

Langkah stesen-stesen media cetak dan media penyiaran di negara ini yang boleh disifatkan sebagai penggerak kepada agenda kesukarelaan ini menerusi program-program yang dihidangkan kepada khalayak media boleh dijadikan sebagai suatu wadah mengaut keprihatinan masyarakat terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Isu-isu keprihatinan masyarakat semakin popular dan mendapat sokongan, bukan sahaja daripada golongan masyarakat, tetapi juga golongan korporat dan individu yang memikul rasa tanggungjawab yang serupa.

Penekanan kepada bidang kesukarelaan dalam mewujudkan persekitaran perpaduan masyarakat merupakan suatu pendekatan yang harus diberi perhatian. Bidang ini bukan sahaja dianggap klasik yang melengkapi keperluan pembangunan masyarakat, tetapi lebih daripada itu, bidang ini menjanjikan suatu persekitaran kehidupan prihatin yang menjuruskan kepada pembentukan masyarakat bertamadun.

Jika diperhatikan, bidang kesukarelaan ini bukan sekadar menyumbang kebajikan dalam membentuk nilai kehidupan bermasyarakat. Ia boleh diukur sebagai suatu gerakan reformis yang mencetuskan idea, pemikiran dan pendekatan perlakuan yang baru kepada masyarakat, berdasarkan kepada dasar dan falsafah kehidupan realiti.

Di Eropah, mahupun negara-negara Asia yang lain, agenda kesukarelaan dalam pembangunan masyarakat ini dianggap penting kerana ia menyumbang banyak pelaburan sosial terhadap tahap peningkatan kualiti dan nilai kehidupan sesebuah masyarakat yang bertamadun.

Oleh sebab itu, gerakan kesukarelaan ini bukan sahaja perlu dipertanggungjawabkan kepada pertubuhan-pertubuhan sukarela, tetapi juga pertubuhan politik dan media yang sama-sama memikul tanggungjawab sosial masyarakat.

Banyak negara maju telah pun mengamalkan konsep kesukarelawanan ini dipikul bersama di antara NGO-NGO dengan media sebagai suatu gandingan yang dapat menyalurkan matlamat perjuangan sosial menerusi penggunaan media yang lebih efektif dan berpengaruh. Dalam konteks negara-negara Asia pula, beberapa program sosial yang melibatkan gandingan kedua-dua entiti telah menjadi suatu kenyataan.

Negara India yang majoriti penduduknya menikmati taraf hidup yang rendah, telah berjaya mengusahakan satu sistem ‘E-Community’, hasil kolaborasi di antara kerajaan dan media di republik tersebut.

Di Singapura pula, program ‘E-Community’ di peringkat republik tersebut telah berjaya menarik minat para penduduk dan meletakkan ia di antara negara-negara rantau Asia yang memiliki peratusan celik komputer yang tertinggi.

Sementara itu di Malaysia, program ‘Internet Desa’ yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah meningkatkan tahap kecelikan IT dalam kalangan penduduk luar bandar menerusi jaringan jalur lebar yang lebih pantas.

Penyelarasan dan pembangunan teknologi seperti ini boleh dibantu oleh gerakan kesukarelaan dengan bantuan kerjasama daripada pihak-pihak tertentu supaya program bermanfaat ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam erti kata lain, NGO dan media berkongsi revolusi ini dan membentuk sebuah institusi masyarakat yang ‘terbuka’. Proses ini mengakibatkan berlakunya pendemokrasian dalam pengaliran dan penyebaran maklumat dengan lebih bertanggungjawab.

Peranan yang dimainkan oleh gerakan-gerakan kesukarelaan perlu dinilai dan diperkasa bagi menentukan hala tuju dan strategi komunikasi yang akan dilaksanakan untuk memantap dan memartabatkan tahap dan nilai perpaduan nasional yang dipikul bersama oleh setiap entiti sosial di negara ini.

* Penulis Pensyarah Kanan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM