APABILA Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) haram kerana ia berunsur rasuah, ramai mengangkat kening. Ada yang terima, ada yang tolak.

Ada menganggap, kalau BR1M berunsur rasuah, banyaklah lagi bantuan yang diberi kepada rakyat selama ini - untuk orang miskin, orang kurang upaya, orang tua, ibu tunggal, anak yatim berunsur rasuah juga, sedangkan bantuan-bantuan berkenaan sangat diperlukan.

Tapi apabila Dr Mahathir berkata, ramai daripada mereka yang menerima BR1M sebenarnya tidak layak, kita kena fikir dua kali untuk menafikannya.

Apakah tidak mustahil ada yang putar-belit maklumat atau apakah ada pihak pejam sebelah mata atas sebab-sebab tertentu? Wallahuaklam!

Perlu diketahui antara syarat melayakkan seseorang menerima BR1M adalah mereka yang pen­dapatan isi rumah RM4,000 ke bawah; warga emas (60 tahun dan ke atas) sebatang kara, berpendapatan RM4,000 sebulan dan ke bawah; bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Fikir sendirilah, apakah tidak ada orang yang isi rumah mereka melebihi RM4,000 tetapi menerima BR1M? Sebab itu saya tidak terkejut pun apabila bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilaporkan menyebut dua pertiga daripada lebih 7 juta penerima BR1M menerusi peruntukan RM8 bilion sebelum ini berada dalam kategori tidak seharusnya menerima  bantuan tersebut.

Saya bukan orang politik dan bukan juga penyokong kerajaan secara membuta-tuli, tapi benarkan saya ‘call a spade a spade’ atas perinsip mencari kebenaran.

Ada yang  mengecam kerajaan, dengan berkata, sebelum menang PRU, janji semua nak bagi ‘free’ tapi selepas menang, tiada yang ‘free’.

Saya kira, perkara begini subjektif dan perlu difikirkan.

Sekiranya, setelah menang PRU, kerajaan baharu dapat maklumat ada yang tidak kena, apakah janji itu wajib ditunaikan juga?

Saya bukan ustaz, tapi mereka yang kata setiap janji wajib ditunaikan walaupun didapati terdapat penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa selepas janji dibuat, bolehlah beri pencerahan.

Apa yang saya faham, rakyat mahu bantuan, tetapi bantuan mestilah diberi kepada yang memerlukan, bukan main tabur ikut suka, apa lagi untuk matlamat politik dan pancing undi, walaupun permohonan BR1M memerlukan maklumat tepat dan tidak mudah dimanipulasikan.

Saya setuju dengan Rais, bantuan hanya diberi kepada yang tidak berupaya bekerja kerana fakta kesihatan atau usia, dan yang bekerja tetapi pendapatan terlalu sedikit untuk sara hidup diri dan keluarga.

Mereka yang malas, yang hanya menanti untuk disuap semata-mata walaupun masih boleh mengguna tulang empat kerat tak perlu dibantu. Lainlah kalau negara kaya-raya hingga tidak tahu apa mahu dibuat dengan wang yang bertimbun-timbun.

Rais mencadangkan sebuah panel khas dibentuk bagi mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan di bawah apa yang dipanggil skim Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Ia cadangan yang baik, tetapi kalau ada ketirisan dan penyelewengan dalam proses pemberian bantuan, tiada makna juga.

Ia akan jadi sama sahaja seperti apa yang didakwa berlaku dalam proses pemberian bantuan lain. Tiada ertinya jika selepas kaji sini kaji sana, ubah sini ubah sana, akhirnya walhasil balik asal; dua kali lima.

Saya ingin mengulangi apa yang Dr Mahathir dilaporkan berkata. Menurutnya, kerajaan akan menilaikan pemberian tunai program BSHR kepada mereka yang layak.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menamatkan BR1M tapi membuat pe­nilaian sama ada bantuan perlu diberi kepada yang miskin sahaja atau kepada yang di luar kategori itu.

Hasrat kerajaan, katanya, adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, bukan memberi wang percuma. Apakah kita tidak setuju rakyat bekerja untuk mendapat gaji dan upah daripada menerima bantuan percuma walaupun mampu bekerja? Tepuk dada dan tanyalah selera masing-masing