ARTIKEL ‘Membina kepimpinan berintegriti’ oleh Norizan Sharif (dalam kolum beliau pada siaran 19 Februari) menarik minat saya. Jika beliau menulis mengenai kepimpinan dalam konteks pemimpin atasan, mungkin saya cuba memberi pandangan melalui konsep tempat kerja, terutama di sektor awam.

Kita semua maklum budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020, iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti luhur.

Secara umum, etika adalah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion dan integriti ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi.

Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari. Integriti sering dilaungkan oleh mereka yang ‘memimpin pejabat atau mengetuai pentadbiran dan pengurusan di tempat kerja’.

Namun harus diingatkan ‘pemimpin’ seharusnya tidak memegang atau menggenggam kedudukan atau jawatan sebagai hak beliau, mereka juga harus memiliki dan menguasai kefahaman moral; apabila seseorang pemimpin gagal dalam penguasaan kefahaman moral, ia menyebabkan kegagalan dalam urusan perniagaan, ekonomi, kerajaan mahupun organisasi.

Halangan dan cabaran, keadaan yang tidak diduga, dan pengaruh negatif dikenal pasti sebagai faktor yang menguji keupayaan pemimpin untuk memimpin dengan berkesan.

Tempoh kesukaran ini semestinya akan mencabar kemahiran dan watak seseorang pemimpin.

Saya yakin tidak seorang pun daripada mana-mana pemimpin yang berkenaan akan melenting dan berkata: “Saya akan menghancurkan, melumpuhkan dan akan berbuat kerosakan terhadap organisasi saya”

Biasanya, para pemimpin akan bermula dengan niat yang terbaik. Jadi apa yang sebenar berlaku kepada mereka? Di manakah silap dan salah mereka?

Sesuatu yang dapat diperhatikan adalah kebanyakan pemimpin gagal untuk membina akauntabiliti diri atau peribadi. Ramai yang seakan terbabas dan terlupa diri dengan mengambil kesempatan atas kedudukan dan status untuk mencapai matlamat diri dari matlamat organisasi.

Ramai yang gagal dan terlupa pandangan rakan sekerja dan mendapatkan maklum balas yang baik; dan hanya mengikut ‘kepala dan hati’ atau membuat keputusan dan tindakan sendiri.

Ramai yang akan merendahkan dan menolak pandangan serta pendapat rakan sekerja dan sering mengeluarkan kenyataan “saya tidak fikir itu pemikiran yang baik” atau “adakah anda merupakan calon yang sesuai untuk mewakili kita?”.

Pemimpin seolah-olah bertindak salah apabila mereka gagal memberi maklum balas yang jelas dan mengekalkan sistem pemeriksaan dan keseimbangan peribadi.

Pemimpin yang bersikap buruk hanya mementingkan dan menjaga reputasi mereka sendiri, mereka tidak bersedia untuk mengakui kelemahan dan membuat keputusan yang lemah, tidak sedia berkongsi kebenaran, atau meneruskan jalan yang paling mulia.

Kebanyakan kita telah diajar dari usia muda, tidak kira betapa buruk dan menyakitkan, berlaku jujur adalah lebih baik daripada tidak. Namun, kebanyakan daripada mereka dengan sengaja memilih untuk menyembunyikan butiran, fakta, menyalahgunakan data, dan membuat keputusan yang tidak adil.

Mereka hanya mementingkan diri dengan niat untuk melindungi peribadi mereka dan/atau mencapai matlamat dan keinginan peribadi dengan memesongkan fakta dan menyalahkan orang lain.

Apa yang mungkin paling mengganggu adalah pemimpin terkesan ini yang menjelmakan sindrom ‘tidak akan berlaku kepada saya’.

Dalam tempoh perkhidmatan kita tentunya sering mendengar dan membaca tentang krisis kepimpinan yang dahsyat, memalukan dan jijik.

Tanpa mengira sama ada seorang pemimpin mempunyai kompetensi atau kecekapan, seorang pemimpin yang sombong akan pasti menjadikan sesuatu sistem atau organisasi itu menemui kegagalan dan kita hanya menunggu saat ia akan berlaku.

Pemimpin yang mengamalkan ketiga-tiga tingkah laku ini adalah liabiliti semata-mata yang mewujudkan situasi tidak ternilai bagi semua yang tinggal dalam pengaruh mereka.

Lebih buruk lagi, kemuncak ketidakcekapan mereka, dan kelakuan yang sering korup, biasanya tidak dikesan dan diambil tindakan walaupun ia berlaku sekian lama.

Pada pendapat saya, satu-satunya tindakan untuk mendedahkan kegagalan kepimpinan yang mengerikan itu adalah peluang untuk membetulkan keadaan dramatik.

Namun siapakah yang akan menjadi ‘juara atau hero’ bagi mewakili usul ini?

 

* Penulis seorang pendidik di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur