DALAM konteks ini, penulis mahu mengajak Faisal mengambil pendekatan yang lebih prag­matik dan tidak terlalu menjadi idealis.

Kita wajar akur dengan keadaan umat Islam dalam negara kita ini.

Perubahan minda dan anja­kan paradigma yang Faisal harap­kan itu perlu dilakukan secara berperingkat agar tidak menjadi satu kejutan, sehingga membuat mereka marah dan dirasuk emosi yang berlebihan.

Akhirnya segala usaha terkandas sebelum kita berpeluang untuk membuka minda mereka.

Ibarat getah gelang (rubber band), jika kita tarik dengan berlebihan pasti akan putus dan terkena ke muka kita sendiri. Jadi kita perlu tarik dengan sekadar yang munasabah dan berpada-pada.

Al-Quran ada menyebut yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Nahl: Ayat 125)

Dalam konteks seruan Faisal kepada Tun M, yang disebutnya berulang kali, agar berhati-hati bila ‘merintih dan menangis’ kepada agamawan-agamawan tersebut, penulis merasakan adalah lebih baik dan wajar untuk Faisal untuk memilih untuk memberi sokongan yang bulat dan padu kepada Tun M dalam usaha-usahanya tersebut.

Mencari titik-titik persamaan dalam perkara-perkara dasar sebagai asas kerjasama daripada mencari perbezaan cara dan kaedah. Yang tidak seberapa pun.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jawapan kepada Faisal Tehrani]

Islam sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’

Kita juga perlu bersyukur de­ngan kehadiran Tun M sebagai PM untuk kali keduanya. Berbekalkan pengalaman, penge­tahuan agama dan duniawi untuk meningkatkan pemahaman, kematangan dan kebijaksanaan yang membentuk kepimpinan, kesedian untuk berbincang dan merujuk kepada para agamawan, Tun M berada pada satu kedudukan yang paling baik untuk memainkan peranannya dalam agenda memperkasakan agama Islam di negara kita ini.

Kita sebagai orang Islam yang peka dan sedar tentang tanggung-jawap kita terhadap agama kita, adalah lebih wajar dan wajib untuk kita memberi sokongan padu kepadanya untuk menjadi tokoh yang mampu untuk mencetus dan mengepalai ‘Renaissance of Islam’ dalam negara kita ini.

Perjuangan Tun M dan kita semua ialah untuk mengangkat syiar Islam sebagai rahmah bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan beragama Islam.

Islam yang sering disebut sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’, agama yang membawa rahmat dan kese­jahteraan bagi semua seluruh alam semesta, termasuk haiwan, tumbuhan dan jin, apalagi sesama manusia.

Sepertimana yang difirman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melain­kan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya: Ayat 107)

Penulis sebagai insan yang kerdil, menyeru kepada Faisal dan yang lain-lain lagi yang mahu mendaulatkan Islam sebagai agama yang syumul yang perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan harian kita agar bersama-sama Tun M dalam usaha yang mengikut hemat Faisal adalah sungguh ‘mulia dan murni’.

In sha ALLAH.

Wan Haron Wan Hassan

Penulis Kanan Sinar Harian