SEPANJANG minggu ini, warga sukan seluruh tanah air tertumpu ke Pahang. Temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-15 dibuka dengan rasminya oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, minggu lalu.

Majlis pembukaan rasmi yang agak `luar biasa’ kerana tidak mengikut amalan biasa seperti Sukan Sea, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik. Mungkin ini kelainan yang cuba dilakukan, tetapi peminat sukan tidak begitu mengambil kisah sebaik penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza masuk mengelilingi stadium sambil menyanyi di atas Tok Gajah - gajah gergasi buatan - nyata memukau perhatian ribuan penonton di Stadium Darul Makmur dan yang  menonton melalui siaran langsung di TV2.

Sukma bermula pada 1986 diilhamkan untuk mewujudkan temasya ala mini olimpik bertujuan mencari bakat baru untuk dididik menjadi atlet negara. Setelah dua kali berlangsung di Kuala Lumpur, temasya dwi-tahunan ini dibawa keluar buat pertama kali dengan Sarawak menjadi tuan rumah sulung bagi temasya di luar Lembah Klang.

Selepas itu, setiap negeri menanti giliran menjadi tuan rumah sekali gus memberi peluang kepada pembinaan serta menaik taraf gelanggang sukan di peringkat negeri. Hanya dua negeri menolak menjadi tuan rumah, iaitu Kedah dan Perlis.

Kedah ditawarkan menjadi tuan rumah pada 1998 tetapi ditolak Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid kerana mahu memberi tumpuan kepada program dan impian tersendiri, termasuk Projek Satu Bulan Satu Masjid yang dirancangnya.

Selangor menjadi penyelamat menggantikan Kedah sebagai tuan rumah temasya 1998. Kedah hanya menjadi tuan rumah pada 2006. Perlis pula ditawarkan sebagai penganjur bagi edisi 2012, tetapi memberi laluan kepada Pahang kerana mereka hanya mampu menyediakan prasarana yang cukup pada 2014.

Perlis sudah memulakan langkah serius termasuk kedatangan Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bersama Exco Belia dan Sukan Negeri Perlis, Jamil Saad ke Sukma Pahang. Minat dan kesungguhan ini memberi isyarat awal  etapa Sukma 2014 di Perlis, pasti menarik dan meriah.

Kuota penggiliran untuk tuan rumah juga harus dikaji dan dibuat berdasarkan minat negeri menganjurkannya. Ia perlu diberikan kepada negeri yang benar-benar berminat menjadi tuan rumah, bukan sekadar melakukannya `kerana  terpaksa’.

Konsep bidaan seperti mendapatkan hak penganjuran Sukan Asia atau Sukan Olimpik perlu dipraktikkan. Ia boleh mewujudkan persaingan sihat dan negeri yang menjadi tuan rumah boleh menjana pendapatan daripada penajaan.

Kesanggupan Pahang menjadi tuan rumah kali kedua selepas 1996 harus dipuji. Tetapi, apa yang berlaku kali ini tidaklah semeriah temasya 16 tahun lalu.Temasya kali ini agak hambar. Suasana Sukma tidak begitu dirasai, mungkin tenggelam kerana dua minggu sebelum temasya berlangsung, seluruh negara tertumpuan kepada saingan bola sepak Euro 2012.

Bahkan, usaha promosi tidak begitu agresif. Iklan di papan iklan sekitar Kuala Lumpur hanya kelihatan seminggu sebelum temasya bermula. Jika anda ke Kuantan melalui lebuhraya Pantai Timur, anda tidak begitu merasai `demam’  Sukma di Pahang.

Sepatutnya, banyak kain rentang digantung di laluan masuk melalui tol Kuantan. Tetapi ia hanya kelihatan lebih tiga kilometer selepas pintu lebuh raya Kuantan.

Perubahan tarikh yang biasanya dilangsungkan ketika cuti sekolah mungkin antara punca Sukma agak muram. Jika dilangsungkan pada musim cuti sekolah, ia boleh memberi peluang kepada pelajar menonton temasya itu, sekali gus menanamkan minat untuk bersukan.

Siapa tahu pelajar yang menonton acara lumba basikal di Temerloh berjaya menjadi pelumba terbaik negara 10 atau 15 tahun akan datang. Segalanya bermula dengan minatnya. Jika `angan-angan Mat Jenin’ ini menjadi kenyataan, maka ia pasti menjadi kebanggaan negara dan masyarakat Temerloh.

Ia boleh menjadi ikon baru untuk Temerloh, bukan lagi ikan patin yang sangat enak...