TEWASNYA parti anti-Islam iaitu PVV pimpinan Geert Wilders dalam pilihan raya Belanda yang berakhir semalam seolah-olah menandakan gelombang anti-Islam di Eropah bakal berakhir.  

Namun kerajaan Belanda yang berkuasa selama ini juga dikatakan tidak mesra Islam. Benarkah Belanda boleh dikatakan sebagai ‘anti-Islam’ sejak dahulu hingga kini?  

1. Dari sudut sejarah, Belanda sememangnya pernah terlibat dalam Perang Salib, seperti sekitar 1215 sewaktu Perang Salib Kelima di mana di bawah pimpinan William I, mereka yang ketika itu lebih dikenali sebagai Frisian melancarkan Kepungan Damietta di Mesir namun pulang awal kerana tewas. 

Namun menariknya, pada era Khilafah Uthmaniyyah, Belanda pernah sebenarnya bekerjasama dengan Empayar Islam tersebut dalam memerangi Sepanyol pada tahun 1574 apabila Sultan Selim II menyerang Tunis yang dikuasai Sepanyol dalam masa yang sama sewaktu Belanda menyerang Leiden yang dikuasai Sepanyol pada waktu itu. Malah, kapal Belanda mengibarkan bendera Uthmaniyyah dan membawa medal yang tertulis dalam Bahasa Belanda “Liever Turks dan Paaps” yang bermaksud lebih baik Turki berbanding Pope.

2. Di Nusantara juga Belanda terkenal dengan penaklukannya ke atas Melaka selama 183 tahun (1641-1824) dan juga ke atas Indonesia. Menariknya Belanda (Syarikat Hindia Timur Belanda) pernah bekerjasama dengan Kesultanan Johor dalam memerangi Portugis untuk merampas Melaka. Di Indonesia pula antara yang paling sengit ialah Perang Aceh (1873-1904) di mana Belanda melawan Aceh yang pernah dibantu Khilafah Turki Uthmaniyyah.  Namun kemerosotan Khilafah Uthmaniyyah di pentas geopolitik global mengakibatkan mereka tidak berupaya untuk melindungi Aceh daripada dikalahkan Belanda.

3. Pada era moden kini tentera Belanda aktif dalam kempen Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak menganggotainya pada 1949.  Pada 1983 pindaan perlembagaan telah mengalihkan kuasa pembuatan keputusan ketenteraan daripada Raja Belanda kepada Kerajaan Belanda yang dipilih rakyat. Tentera Belanda terlibat dalam kempen ketenteraan di Bosnia, Kosovo, Afghanistan, Iraq, Libya, dan Syria.

4. Tentera Pengaman Belanda pernah dilanda kontroversi dalam krisis Serbia-Bosnia (1993-1995), yang selesai pada 16 Julai 2014 apabila Mahkamah Belanda di The Hague memerintahkan kerajaan Belanda membayar pampasan kepada keluarga lebih daripada 300 orang lelaki Bosnia yang dibunuh Serbia pada 13 Julai 1995. Tentera Belanda (Dutchbat) dipersalahkan kerana memberi kesempatan kepada tentera Serbia untuk membunuh para lelaki Bosnia terbabit dengan mengeluarkan mereka dari kawasan yang sepatutnya dilindungi oleh tentera Belanda.  

5. Berkenaan isu Palestin-Israel, Belanda diakui sendiri oleh Presiden Palestin Mahmoud Abbas sebagai watak penting dalam merundingkan hubungan antara kedua-dua negara berkonflik berkenaan. Meskipun demikian Belanda tidak mengadakan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Palestin dan hanya memiliki hubungan dengan Israel seperti kewujudan kedutaan kedua-dua negara di negara masing-masing.  Akan tetapi sewaktu Resolusi 67/19 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk menaiktaraf status Palestin menjadi ‘negara pemerhati bukan anggota’ pada 29 November 2012, Belanda mengambil pendirian untuk berkecuali, tidak membantah dan tidak juga menyokong.  

6. Dari perspektif Malaysia pula, hubungan diplomatik kedua-dua negara sememangnya erat sejak 1957 lagi, dan pada 2015 sahaja nilai eksport Malaysia ke Belanda mencecah RM23.3 juta, manakala nilai import dari Belanda ialah RM9 juta.  Keakraban kedua-dua negara turut dibuktikan susulan peristiwa pesawat MH17 pada 2014 yang ditimpa tragedi dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.  Malah jumlah pelajar Malaysia yang menuntut di Belanda juga agak signifikan meskipun tidak terlalu besar, antaranya termasuklah penulis sendiri yang memperoleh Sarjana Penyelidikan dari Utrecht University pada 2014.

7. Dasar Belanda terhadap umat Islam di negara mereka juga tidaklah seburuk di negara-negara Eropah lain yang diklasifikasikan sebagai ‘militan sekular’. Malah Belanda cukup bertoleransi dan terbuka meskipun berlaku insiden-insiden tidak diingini hasil daripada provokasi pihak-pihak berkepentingan tertentu seperti isu karikatur Nabi Muhammad S.A.W., filem menghina Islam, serangan ke atas masjid dan gereja, dan isu-isu lain.  

Malah, ramai tidak mengetahui bahawa Datuk Bandar Rotterdam kini, iaitu Ahmed Aboutalib ialah seorang Muslim berketurunan Maghribi. Umat Islam di Belanda juga bebas mendirikan masjid dan para Muslimah bebas memakai tudung termasuklah bagi mereka yang bekerja dengan agensi awam dan kerajaan. 

Namun demikian pemakaian burqa yang menutup muka telah diharamkan Belanda pada 2012, manakala persepsi umum terhadap pemakaian hijab dan Islam masih negatif seperti mana yang dibuktikan kejayaan Parti anti-Islam PVV yang masih memperoleh sebahagian sokongan.  Sekali gus, kekalahan parti anti-Islam di Belanda ini masih belum pasti akan berulang dalam pilihan raya di Jerman dan Perancis kelak.

Abdul Muein Abadi, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kitab suci Al-Quran dilengkapi dengan terjemahan kini boleh didapati dalam bentuk satu buku setiap juzuk (perjuzuk) terbitan Kumpulan Media Karangkraf memudahkan para pengguna memilih mana-mana juzuk yang dikehendaki untuk dibaca.
  • KUALA LUMPUR - Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan produk-produk tempatan berkualiti.
  • SUDAH menjadi lumrah, setiap pembaharuan yang dilaksanakan, tidak mudah diterima dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi melibatkan sektor pengangkutan awam yang moden seperti MRT.
  • UKHIYA - Sebanyak 120 tempat perlindungan atau shelter berjumlah RM80,000 yang diperoleh dari dana SINAR4ROHINGYA dibina di Kem Pelarian Balukhali, di sini.
  • PASIR PUTEH - Walaupun kelompok pembeli belalang tidak besar, peniaga Pasar Besar Pasir Puteh di sini, tetap menjualnya bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.