MEMBELI-belah dalam talian merupakan kaedah paling senang untuk golongan yang suka membeli-belah mendapatkan barangan diinginkan, tanpa perlu ke pasar raya. Bagaimanapun tanpa disedari, ia sebenarnya turut menjejaskan alam sekitar.

Terkini, Menteri Alam Sekitar Jerman, Barbara Hendricks mengeluarkan kenyataan di media bahawa beliau tidak mahu membeli apa-apa di internet kerana ini akan menyebabkan sisa pembungkusan menjadi terlalu banyak.

Memesan barangan melalui internet menyumbang kepada masalah besar berkaitan sampah.

Semakin banyak makanan disampaikan dengan memesan secara dalan talian, makanan siap dan bahagian yang lebih kecil dibeli, semakin banyak pembungkusan bahan buangan dihasilkan.

Ini berlaku apabila pengguna ingin barang yang mereka terima melalui pembelian dalam talian dalam keadaan cantik dan selamat. Maka pembungkusan secara berlebihan  dilakukan oleh pihak peniaga.

Selain itu, jejak karbon juga mengalami peningkatan apabila peniaga mengambil kembali item selepas penghantaran dilakukan gagal atau pengguna mengembalikannya.

Tambahan pula, peniaga yang memilih untuk penghantaran cepat juga menimbulkan masalah kepada alam sekitar apabila berlaku penghantaran pada hari  sama dengan permintaan pengguna kerana sukar bagi pejabat pos menggabungkan penghantaran ke kawasan sama.

Ini bermakna jarak yang lebih besar didorong bagi setiap item dan secara langsung, jejak karbon akan mengalami peningkatan.

Seperti yang kita tahu, pengguna dan peniaga dalam talian ini adalah terdiri dari kita sendiri. Maka, kita sebagai salah satu elemen alam sekitar harus menjaga alam sekitar selain melihat kepada keuntungan semata-mata.Sebagai pengguna, antara cara yang boleh dipraktikkan bermula dari rumah ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Amalan memasak sendiri dan menanam sayuran sendiri dapat membantu pengguna mengurangkan pembelian dalam talian.

Ini juga dapat mengelakkan pengguna membeli makanan sejuk beku yang menggunakan 10 kali ganda tenaga untuk dihasilkan.

Sekiranya pengguna ingin membeli di dalam talian, barangan buatan Malaysia perlu diutamakan kerana mampu menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang keluar semasa proses penghantaran.

Sebagai peniaga pula, kita boleh menggunakan bahan kitar semula atau guna semula dalam pembungkusan produk yang dipasarkan. Ini dapat membantu meminimumkan jejak alam sekitar apabila pembungkusan secara berlebihan dapat dikurangkan.

Adalah lebih baik peniaga menyediakan pilihan kepada pengguna dalam membuat pembelian barang secara pukal. Pembungkusan secara pukal dapat mengurangkan sisa pepejal.

Oleh itu, penjagaan alam sekitar yang lestari memerlukan kesedaran daripada pelbagai pihak. Dan pihak tersebut adalah diri kita sendiri.

Tidak perlu menunding jari mencari kesalahan pihak lain sekiranya diri sendiri tidak mampu mempraktikkan amalan mudah dalam penjagaan alam sekitar.

Sudah tiba masanya bagi kita sebagai penghuni bumi mengubah sikap yang tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar supaya alam yang dinikmati masyarakat sekarang ini dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

Nurnazurah Nazaraly, Pelajar Sarjana Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.