DUNIA penyiaran dan kewartawanan negara bagaikan mendapat anekdot yang baharu. Anekdot asal dalam bidang ini dalam menentukan keutamaan sesuatu peristiwa yang mesti mendapat tumpuan atau nilai berita tinggi ialah mengenai kisah manusia dan anjing.

Jika seekor anjing menggigit manusia, ya, itu memang punya nilai berita dan ada ‘human interest’ walaupun ia agak lumrah. Bagaimanapun nilai berita akan menjadi lebih tinggi jika berlaku sebaliknya – seekor anjing cedera digigit oleh manusia. Wah! Ini amat jarang berlaku dan lebih menarik minat untuk diketahui.

Anekdot baharu yang penulis maksudkan ialah mengenai pertikaman lidah yang tular di antara seorang wakil rakyat di Melaka yang juga Exco kerajaan negeri dengan sekumpulan penduduk kampung disebabkan isu penutupan jalan pintas di sebuah taman perumahan di situ.

Selama ini apa yang kita dengar ialah perbalahan dan bertegang urat berlaku di antara ahli Parlimen atau Adun di Dewan Rakyat ataupun di Dewan Undangan Negeri. Ia mendapat liputan dan ulasan namun bagi kita itu suatu perkara biasa, sudah menjadi lumrah.

Ada pihak mendakwa sikap kasar dan pergeseran seseorang ahli Parlimen ataupun ahli Dun bukan perkara baharu. Tokoh politik kerajaan lama juga ada yang bersikap kasar dan tidak berakhlak melayani rakyat atau penentangnya.

Dari pengamatan penulis insiden dimaksudkan itu hanyalah jawapan kasar dan bahasa tubuh yang sekali lalu. Insiden di Melaka tetap unik dan ‘pecah rekod’ kerana melibatkan berbalas-balas cakap, mimik, kerut muka ‘gesture’ serta bahasa tubuh yang menampakkan pertikaian secara berdepan, bersemuka. Perkataan, intonasi suara yang digunakan juga didapati amat tidak wajar terlalu beremosi dan tidak profesional.

Ada pihak mendakwa YB berkenaan pernah melalui detik pahit dilayani dengan kasar oleh penduduk kampung berkenaan sewaktu kempen PRU lalu. Atas alasan apa sekalipun beliau tidak wajar bertindak sebegitu rupa di atas kapasitinya sekarang. Setiap rakyat walau apa anutan ideologinya, mereka mesti dilayan dengan adil dan saksama oleh seseorang wakil rakyat. Berlebih lagi bila berurusan dengan orang yang lebih berusia.

Catatan lebih 17,000 tontonan di Youtube dan 4,000 komen (ketika artikel ini ditulis) oleh netizen dapat menggambarkan betapa hangatnya isu tersebut.

Namun pengakhirannya boleh dianggap melegakan kerana tuan punya diri telah pun memohon maaf. Ketua Menteri juga melalui satu kenyataan terbuka turut memohon maaf bagi pihak kerajaan negeri. Apa yang berlaku diharap akan jadi pengajaran berguna pada masa hadapan.

Dipilih sebagai wakil rakyat seseorang itu menggalas amanah yang besar, mesti dilaksanakan dengan jujur dan bijaksana demi kepentingan rakyat yang diwakilinya. Sentiasalah beri ruang kepada rakyat berhubung isu-isu setempat dan responsif secara berhemah untuk menyelesaikannya.

Surah Al Anfaal [27]: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu  mengkhianati amanah ALLAH SWT dan rasulnya, janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan ke atas kamu sedangkan kamu mengetahui."

Mengenai menghormati orang yang lebih tua pula ada satu kisah pada zaman Rasulullah untuk kita jadikan iktibar. Kisah tiga sahabat Nabi bernama Abdul Rahman bin Sahl, Huwaishah bin Masud dan Muhaishah bin Masud mendatangi nabi mengadu satu permasalahan.

Abdul Rahman telah memulakan bicara sedangkan dia yang paling muda. Lalu Nabi menegur: "Hormatilah yang lebih tua, hendaklah yang mulakan bicara ialah yang lebih tua." [Hadis riwayat Bukhari].

Dari riwayat Tarmizi pula nabi ada menyebut: "Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak hormati yang tua dan tidak menyayangi yang muda. Berbicara dengan baik dan sopan itu termasuk akhlak, dahulukan orang lebih tua sewaktu berbicara juga memberikan tempat kepadanya di dalam majlis."

Dalam penjelasan Ketua Menteri mengatakan beliau (Exco tersebut) merupakan yang paling aktif dan hampir setiap hari turun padang mendampingi isu rakyat. Maka apa yang perlu ditumpukan kini ialah pendekatan beliau yang perlu diperbaiki. Sudah pasti jabatan berkenaan akan menggilap dan sudah mengenal pasti kursus-kursus bersesuaian bagi membentuk ciri-ciri wakil rakyat lebih berwibawa.

Tumpu aspek soft skill termasuk pengurusan stres dan teknik penyelesaian masalah. Untuk meningkatkan perhubungan kemanusiaan dan bagaimana untuk memenangi hati kawan, lawan, rakyat, kursus Dale Carnegie dirasakan amat sesuai. Memperkenal atau memperkemas kod etika wakil rakyat juga langkah yang baik.

* Penulis memiliki latar belakang dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd