PADA 29 September lalu, sebuah mahkamah di Singapura telah menjatuhkan hukuman penjara enam minggu ke atas seorang penulis blog, Amos Yee kerana disabit kesalahan “melukakan sensitiviti agama” atau “wounding religious feelings”.

Walaupun berusia 17 tahun, Yee kini berdepan dengan hukuman penjara buat kali kedua dalam tempoh satu tahun dan ini menunjukkan kepada kita bahawa dia telah bertindak dengan penuh angkuh, jahil dan bersifat memberontak.

Pada tahun lalu, Yee juga disabitkan kesalahan yang sama di mana Amnesty International ketika itu mengatakan bahawa hukuman terhadap Amos Yee tersebut menandakan “hari yang kelam bagi kebebasan bersuara” atau “a dark day for freedom of expression”.

Tanpa mengakui bahawa tindakan Amos Yee dilakukan tanpa rasa hormat dan peka terhadap sensitiviti bangsa dan agama, gerakan antarabangsa tersebut juga menyatakan bahawa “Amos Yee bukanlah seorang penjenayah. Dia tidak sepatutnya didakwa, apatah lagi disabitkan kesalahan. Dia dihukum hanya kerana menggunakan haknya untuk bebas bersuara”.

Reaksi ini tidaklah berbeza dengan apa yang berlaku di negara kita, terutamanya dalam kalangan kumpulan liberal. Seorang kolumnis portal online turut mendakwa bahawa “Being insensitive isn’t a crime” dan ada di antara kolumnis portal liberal menuduh bahawa pihak berkuasa yang menguatkuasakan undang-undang bertindak secara “police bullying” dan seperti samseng atau “thugs”.

Terkini, Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih 2.0 dilaporkan media online membuat kenyataan bahawa: “It is not about keeping silent. People do all sorts of things, but it is not harmful. It does not bring physical violence to anybody. For me it is not about remaining silent, it is about allowing the space for people to express their anger. That is more important rather than criminalising it”

Kenyataan ini menjawab persoalan yang dilontarkan mengenai sikap berdiam diri atau tidak peduli terhadap tindakan melampau dan biadab penyokong Bersih 4.0 yang membuat kubur tiruan dan melakukan ritual pengebumian tradisional kaum Cina untuk Perdana Menteri Najib dan isterinya.

Selain itu, Maria dan kumpulan serta pelopor liberal juga tidak pernah menyatakan kecaman terhadap sikap penyokong Bersih 4.0 yang memijak gambar PM Najib dan Tuan Guru Abdul Hadi.

Bagi Maria, selagi ia tidak menyebabkan kecederaan fizikal maka sesiapa sahaja boleh bertindak menghina, bersikap biadab dan kurang ajar terhadap sesiapa sahaja sebagai ruang untuk melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati.

Berdasarkan premis berbahaya dan angkuh inilah umat Islam diuji pada September lalu dengan insiden melibatkan Twitter yang menghina Allahyarham Tuan Guru Haron Din oleh Sidek Kamiso dan Ahli Parlimen Bukit Jelutong DAP Jeff Ooi.

Baru-baru ini, Siti Kassim, seorang peguam dan aktivis juga berbuat perkara yang sama iaitu menunjukkan jari tengah ketika forum RUU355 di hadapan hadirin dengan penuh emosi dan rasa tidak hormat. Mariam Mokhtar dari Sisters in Islam turut bersungguh-sungguh mempertahankan jari tengah Siti Kassim.

Undang-undang negara kita dengan jelas memperuntukkan seperti berikut: Seksyen 509 memperuntukkan kesalahan bagi seseorang yang melalui perkataan atau perbuatan bermaksud untuk mengaibkan kehormatan seseorang seperti yang dilakukan oleh Siti Kassim.

Seksyen 298A pula memperuntukkan kesalahan bagi mengucapkan kata-kata atau perbuatan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atas dasar agama seperti yang dilakukan oleh Sidek Kamiso, Jeff Ooi dan juga Nawamee.

Sudah tentu kumpulan liberal ini mencadangkan agar peruntukan tersebut dimansuhkan namun umat Islam harus sedar akan implikasi serta normalisasi yang akan berlaku sekiranya tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap mereka yang biadab dengan kata-kata mahupun tindakan, apatah lagi sekiranya penghinaan tersebut dibuat atas dasar bangsa dan agama.

Islam mengajar umatnya untuk mempamerkan akhlak yang baik tercetus dari hati yang sentiasa mengamalkan dan menjiwai nilai-nilai murni, bersopan santun dan menghormati orang lain.

Sudah tentu, ruang atau hak untuk melepaskan kemarahan bahkan menghina dengan kata-kata mahupun perbuatan, dalam apa situasi sekalipun, tidak ada di dalam al-Quran dan tidak dianjurkan oleh Islam.

* Penulis ialah aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENGEJUTKAN sekali tidak sampai tiga hari Arab Saudi mengisytiharkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang turut dipimpin Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pertubuhan pengganas, serangan bom berskala besar telah meledak di bumi Mesir.
  • MEMBELI-belah dalam talian merupakan kaedah paling senang untuk golongan yang suka membeli-belah mendapatkan barangan diinginkan, tanpa perlu ke pasar raya. Bagaimanapun tanpa disedari, ia sebenarnya turut menjejaskan alam sekitar.
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • PEMBENTANGAN Bajet 2018 sudah pasti menggembirakan dan melegakan hati wanita muda di negara ini apabila kerajaan mengambil kira keperitan hidup mereka sekeluarga, sekali gus mengurangkan stres dan bebanan hidup mereka seharian.
  • WILAYAH, rakyat, kerajaan dan kedaulatan merupakan empat elemen penting yang perlu wujud dalam sebuah negara merdeka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.