LAMA kita tidak mendengar dan membaca mengenai kes kematian beramai-ramai akibat arak. Kalau ada pun, ia barangkali pernah dilaporkan berlaku di kawasan pedalaman di negara-negara kurang maju.

Maka tidaklah hairan, kes kematian akibat keracunan metanol yang berlaku sejak tiga hari lalu menarik perhatian banyak pihak.

Setakat ini, jumlah kematian akibat bahan yang memabuk dan membahayakan itu meningkat kepada 29 orang dan 19 kritikal.

Itu yang dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan. Yang belum diketahui lagi oleh kementerian hanya ALLAH yang tahu.

Kes keracunan ini melibatkan warga Nepal, Myanmar dan India. Warga Malaysia tidak ketinggalan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, jenama minuman beralkohol yang disyaki mengandungi racun metanol ialah Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan bir berjenama King Fisher.

Hasil siasatan mengesahkan minuman berjenama Grand Royal Whisky mengandungi metanol yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Susulan itu, beliau memberi jaminan kementerian sedang mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol jenama itu dan yang berjenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan.

Adalah melegakan mendapat tahu kementerian akan bekerjasama dengan polis, kastam, pihak berkuasa tempatan, Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, majikan terlibat dan agensi berkaitan bagi mengawal serta memantau perkembangan keadaan kes keracunan itu.

Terlanjur menyentuh isu arak, saya teringat  kes-kes bantahan jualan dan sajian arak dalam kapal terbang dan di pasaraya di pusat-pusat bandar.

Berikutan kes kematian 29 orang akibat keracunan alkohol itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan segera henti dan haramkan jualan arak jenama terbabit.

Presidennya, SM Mohamed Idris tidak mahu kerajaan mendengar sebarang alasan pembekal. Beliau juga mencadangkan menjual arak tidak dibenarkan berada dalam radius 500 meter  dari kawasan perumahan, kedai runcit, hospital dan rumah ibadat.

Kerajaan juga patut mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang menyeludup arak dan menghalang jualan arak di zon bebas cukai.

"Kajian yang kita jalankan sejak 40 tahun lalu mendapati minum alkohol lebih banyak datangkan mudarat kepada kehidupan,  kesihatan, (timbulkan) gejala sosial dan (akibatkan) kemalangan," beliau disebut sebagai berkata.

Ia juga dikaitkan dengan pemborosan dan keganasan rumah tangga, antara lain.

Al-Quran menyebut lebih 1,400 tahun lalu: "Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu bahagia. Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian di antara kamu disebabkan khamar dan judi, serta menghalang kamu ingat kepada ALLAH dan sembahyang. Apakah kamu tidak mahu berhenti? (al-maidah ayat 90 - 91).

Begitu jelas sekali apa yang difirman ALLAH tentang keburukan khamar, dan telah banyak ditulis tentang perlunya menghentikan meminum, menjual dan menyajikan arak, termasuk di dalam pesawat, namun mereka yang degil dan buta hati tidak endahkannya, sedangkan ia hanya memudaratkan diri sendiri dan masyarakat.

Macam-macam keburukan dan kemungkinan yang telah diperkatakan tentang sajian arak dalam pesawat. Teringat saya tentang sebuah pesta bir terbesar yang dirancangkan untuk diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas yang dijangkakan menarik 6,000 peserta. Ia pernah diadakan pada tahun sebelumnya dengan 150 jenama arak disediakan dan kehadiran 3,500 ­peserta.

Pendedahan demi pendedahan oleh pelbagai pihak tentang kemungkaran boleh membawa kepincangan di negara ini, tapi masih ada yang tidak peduli. Masih ada pihak yang mempertahankan gejala buruk seperti itu dengan alasan negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan.

Saya juga pernah beberapa kali menulis mengenai keburukan pengaruh arak dan betapa beberapa tempat di negara bukan Islam bertindak mengharamkan atau mengawal jualan arak disebabkan kesan buruknya. Bukan sahaja Islam, agama lain juga tidak menggalakkan minuman arak kerana kesan buruknya.

Maka apakah tidak boleh jualan dan sajian arak dihentikan di negara kita yang dikenali sebagai negara yang menyerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat?12Sabtu 22 September 2018