SETELAH lima bulan menjejaki dan melawati pondok-pondok seluruh Malaysia, kerja pembancian yang dijalankan petugas Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) akhirnya terlaksana.

Projek nasional yang bermula November 2016 memerlukan para petugas bertemu dan mewawancara pengurusan pondok serta mengisi soal selidik meliputi aspek penubuhan dan sejarah pondok, pentadbiran dan operasinya, latar belakang dan perkhidmatan mudir dan kewangan.

Daripada soal selidik ini juga, maklumat asas mengenai bilangan pelajar dan alumni, syarat kemasukan dan peraturan, aktiviti pelajar dan jadual pengajian, jaringan organisasi dan kurikulum diperoleh. Para pembanci juga membuat penilaian lahiriah berkaitan prasarana dan kemudahan yang terdapat di setiap pondok.

Untuk melancarkan tugas, sistem zon digunakan: Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak), Selatan (Johor, Melaka), Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang), Tengah (Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) serta Sabah dan Sarawak. Bilangan pondok yang dilawati dan dibanci sehingga Mac 2017 adalah 247, berbanding 112 pada 2012.

Perbezaan yang nyata antara dua bancian yang dijalankan YPPM ini, selain bilangan pondok terbabit, ialah penggunaan kriteria yang lebih jelas dan akademik yang disarankan oleh kumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia ketika menjalankan kajian sama ke atas pondok-pondok Kedah pada 2014 lalu, yakni: pengajian kitab lama, kitab kuning atau kitab turath, pengajian secara bertalaqi, tiada ujian atau peperiksaan, tiada pemberian sijil, tiada had umur pelajar, tiada had tempoh belajar, dan adanya elemen pemondokan (tinggal di pondok).

Berdasarkan kriteria yang digariskan ini, pondok-pondok yang dibanci dikategorikan kepada empat: tradisi, moden, warga emas atau kombinasi daripadanya. Ini bermakna institusi seperti sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama, sekolah agama negeri, sekolah Arab, maahad dan pusat tahfiz, serta pusat pengajian Islam swasta atau tajaan kerajaan yang tidak memenuhi kriteria tidak disenaraikan dalam direktori. Yang diambil kira ialah kriteria, bukan institusi. Justeru, jika ada madrasah atau maahad tahfiz yang menggunakan sistem pondok dalam kaedah pengajiannya, ia disenaraikan dalam direktori.

Menggunakan senarai asal diperoleh daripada majlis-majlis agama negeri, didapati tiga negeri paling banyak pondok ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ini sudah dijangka kerana ketiga-tiga negeri Melayu ini paling awal menerima Islam serta di mana tertubuhnya pondok-pondok terawal dan paling berpengaruh di Malaysia.

Majoriti ulama pondok yang belajar di Makkah dan Timur Tengah, Patani dan Indonesia berasal daripada negeri-negeri ini. Mengikut negeri, bilangan pondok yang dilawati di Kedah adalah 63 buah, Kelantan 54, Terengganu 36, Negeri Sembilan 20, Pahang 12, Perak 10, Selangor 9, Pulau Pinang 7, Johor 7, Melaka 7, KL 4, Sabah 2, Sarawak 2 dan Perlis 1.

Kerja memproses data akan mengambil masa 4 hingga 6 minggu. Dijangka ada perubahan bilangan mutakhir pondok yang akan tersenarai dalam direktori kerana ada yang sudah tutup, tidak beroperasi kerani kematian mudir atau kekangan kewangan, ataupun sudah bertukar status (menjadi sekolah, pusat tahfiz, kelas agama atau surau biasa) atau diambil alih institusi lain untuk dijadikan cawangan atau pusat anak-anak yatim dan sebagainya.

Dalam pada itu, kajian awal menunjukkan beberapa pondok baharu dibuka sejak 2012. Kesediaan individu mewakafkan tanah, kehadiran pewaris atau ustaz baharu mengganti mudir, kedapatan dana berterusan serta sokongan komuniti setempat adalah antara faktornya.

Menjalankan projek sebesar ini pasti berserta dugaan. Ada mudir atau pengelola pondok yang enggan memberi maklumat atau kerjasama (malah ada yang bersikap kasar menghalau petugas YPPM), kesukaran mengesan lokasi pondok kerana tiada alamat atau terlalu jauh di pedalaman atau kebetulan pondok tutup bercuti sewaktu lawatan dibuat.

Keadaan seperti ini tidak dapat dielakkan dan kita terima dengan hati terbuka kerana meyakini bahawa direktori yang bakal dicetak dan diedarkan nanti bukan sahaja akan membantu ibu bapa, pelajar, masyarakat awam, agensi agama dan pengurusan pondok sendiri, malah akan menjadi sumbangan YPPM kepada khazanah maklumat mengenai pondok di Malaysia.

Kepada semua mudir, pengelola dan pihak yang  telah membantu dan memberi kerjasama, YPPM mengucapkan terima kasih. Kita sangat menghargai masa, layanan dan maklumat yang diberikan. Pembinaan dan pembangunan pangkalan data berkaitan pondok oleh YPPM adalah satu proses yang berterusan.

Justeru, jika ada mudir atau pengelola yang mana pondok mereka tidak dilawati atau dibanci, dan mahu dimasukkan dalam direktori bolehlah hubungi YPPM atau penulis di talian 017-3179042 atau e-mel: juhaidiy@gmail.com.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PILIHAN Raya Umum ke-14 pasti sahaja semakin hampir. Debarannya kian terasa. Ia sememangnya menjadi detik yang dinanti saban 5 tahun sekali bagi rakyat melakukan perubahan secara total.
  • SEMALAM Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menulis satu tweet berkenaan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump, untuk mengalih kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang akan diiktiraf sebagai ibu negara Israel.
  • SEKARANG ini berlangsung Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 5 hingga 9 Disember ini. Asasnya, Umno bukanlah sekadar parti biasa. Perjuangan Umno adalah perjuangan kepada rakyat. Umno bertahan sehingga 71 tahun di persada politik Malaysia kerana bertindak sebagai penjaga dan pelindung kepada bangsa Melayu. Ideologi yang mendasari kepentingan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu yang konsisten serta tidak berubah semenjak awal penubuhan.
  • KECELAKAAN besar menimpa seluruh umat Islam apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal mengumumkan peralihan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
  • PERNAHKAH anda mendapat jemputan rakan (friend request) di media sosial, sedangkan anda tidak kenal individu tersebut? Atau mungkin anda pernah menerima emel daripada individu tidak dikenali yang menyatakan hasrat untuk bersahabat, atau berkolaborasi bagi sebarang urusan, sedangkan anda tidak kenal individu tersebut?
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.