TARIKH 19 November lalu adalah sejarah buat rakyat Malaysia. Sebelah pihak yang berpakaian kuning keluar berdemonstrasi beramai-ramai membuat desakan pilihan raya yang bersih dan adil.

Bermula dari Bersih 1 hinggalah Bersih 5, matlamat mereka bukan menyasarkan pilihan raya yang adil tetapi lebih kepada menjatuhkan kerajaan melalui revolusi rakyat. Pada masa sama demonstrasi Baju Merah menghangatkan situasi di Kuala Lumpur yang bagaikan pesta baju berwarna-warni.

Namun, pada hemat penulis sama ada Bersih 5 atau Baju Merah, adalah lebih molek sekiranya demonstrasi tersebut diadakan untuk membantah kekejaman dan penganiayaan rakyat Rohingya di bawah pemerintahan kerajaan Aung Su Kyi di Myanmar.

Pada 15 November, askar-askar Myanmar Tatmadaw telah mengepung dan memusnahkan perkampungan etnik Rohingya dengan membedil menggunakan roket dan meriam sehingga membunuh puluhan wanita, kanak-kanak dan bayi. Malahan tentera Tatmadaw turut meniupkan api perkauman antara penganut Buddha dan penduduk minoriti Islam di wilayah Rakhine. Puluhan wanita Rohingya turut menjadi mangsa serangan seksual dalam insiden keganasan tersebut. Etnik Rohingya turut dinafikan hak untuk mendapatkan kewarganegaraan dan juga mengundi memilih kerajaan.

Inilah yang dinamakan ketidakadilan dan penindasan. Bukan seperti di Malaysia, setiap rakyat menikmati keadilan dari segi hak dan undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kecuali melanggar perintah undang-undang.

Sepatutnya kita lebih prihatin membantu etnik Rohingya yang menjadi pelarian di Malaysia. Ramai daripada mereka menetap di kawasan-kawasan terpencil tanpa ada elektrik dan air bersih. Majoriti mereka sukar mendapat pekerjaan kerana status pelarian. Tetapi sebilangan kita lebih suka mengambil pekerja-pekerja Myanmar yang bukan Islam. Sebagai seorang Muslim, kita perlu mengambil mereka bekerja atas sifat kemanusiaan dan persaudaraan. Itulah yang lebih afdal.

Anak-anak mereka turut tidak mendapat pendidikan dan kesihatan. Kehidupan mereka agak sukar dan kadang kala terpaksa memohon bantuan daripada pertubuhan bukan Islam. Peralatan solat seperti telekung dan sejadah pun ramai yang masih tiada. Apatah lagi di masjid, ramai daripada mereka dihalau keluar kerana status sebagai pelarian.

Situasi lebih menyayat hati apabila tiada bantuan daripada rakyat Islam Malaysia kepada etnik Rohingya yang bergelar pelarian. Mereka terpaksa membina surau mereka sendiri untuk solat berjemaah dan berkongsi suka-duka tinggal di negara orang. Dalam hal ini, eloklah majlis agama Islam turun padang melihat apa yang berlaku.

Sudah tiba masanya rakyat kita sedar bahawa tujuan demonstrasi adalah untuk manfaat negara. Alangkah baik demonstrasi hari itu digunakan sebagai platform membantah kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Tatmadaw ke atas etnik Rohingya. Setiap hari ada saja di antara etnik Rohingya yang dibakar dan dibunuh tanpa mengira wanita, lelaki atau kanak-kanak. Mereka diseksa dan dirogol termasuklah dinafikan hak untuk hidup sebagai manusia. Masjid dan al-Quran dibakar dan dipijak.

Apakah tindakan kita selama ini?. Kita lebih mementingkan politik individu atau parti-parti tertentu daripada memikirkan apa yang telah berlaku di luar Malaysia. Adakah kejadian yang berlaku di negara orang boleh menimpa kita satu hari nanti. Apabila kita semakin alpa dengan permainan manusia, bertuhankan nafsu kuasa sehingga mengetepikan keperitan dan permasalahan rakyat.

Ingatlah, setiap manusia yang dijadikan pemimpin di negara ini ada kebaikan dan keburukan. Sesungguhnya sesuatu yang kamu (pemimpin) nampak cantik dan hebat belum tentu merupakan perkara terbaik untuk hidup kamu. Sebaliknya kekurangan dan kesusahan yang dirasakan itu mungkin menyimpan satu kelebihan tanpa kamu sedari. Hargailah dan syukur apa yang ada pada kita hari ini.

* Iskandar Hasan Tan Abdullah, penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan