PEMBENTANGAN Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu dikatakan oleh sesetengah pihak kurang mengutamakan kebajikan rakyat. Ramai mempertikaikan bahawa bajet tersebut tiada arah fokus yang jelas.

Malahan ada mempertikaikan terlalu sedikit diberikan oleh kerajaan berbanding apa mereka berikan kepada kerajaan. Mungkin ada yang terlepas pandang inti pati keseluruhan Bajet 2017, dan tidak dapat dinafikan dengan ekonomi global yang semakin mencabar kini.

IMF meletakkan pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar 3.4 peratus pada 2016 dan 3.6 peratus tahun 2017 disebabkan kejatuhan komoditi minyak dan gas yang menjadi nadi pendapatan sesebuah negara.

Tetapi kerajaan masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi 2016 antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus jika dibandingkan dengan Indonesia antara 4.1 peratus hingga 5.1 peratus, Thailand antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus, dan Singapura 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.

Pandangan saya, Bajet 2017 adalah meliputi nadi kehidupan rakyat khususnya wanita. Buat pertama kali, bajet dibentangkan oleh kerajaan serius mengambil berat mengenai hal ehwal kehidupan wanita.

Pelepasan cukai RM1,000 diberikan untuk pembelian peralatan penyusuan ibu. Wanita hari ini berkerjaya dan pada masa sama ingin kehidupan berkeluarga. Maka tindakan membantu meringankan bebanan wanita berkerjaya mempunyai anak sangat dipuji.

Wanita adalah tulang belakang kepada suami untuk menambah pendapatan keluarga. Di Malaysia, statistik dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan peratusan wanita bekerja dari 44.7 peratus tahun 1995 kepada lebih 55 peratus tahun 2016.

Malahan 30 peratus daripada 55 peratus wanita yang bekerja, terlibat sebagai penggerak dan pembuat dasar di posisi penting dalam sesebuah organisasi, sama ada sektor awam mahupun swasta.

Ini bermakna tiada halangan budaya atau agama kepada kemajuan wanita kerana Islam membenarkan wanita keluar bekerja dan membina karier selagi tanggungjawab hakiki kepada keluarga tidak terabai.

Malahan pelepasan cukai RM1,000 diberikan bagi wanita berkerjaya menghantar anak usia enam tahun ke bawah ke taman asuhan dan prasekolah berdaftar. Pelepasan ini sebenarnya membantu wanita berkerjaya yang terpaksa menghantar anak kecil mereka demi mendapatkan rezeki.

Umum tahu peratusan wanita yang berjaya mendapat tempat di universiti awam atau swasta iaitu hampir 70 peratus. Golongan ini yang akan mengisi kekosongan kerjaya dan pada waktu sama menyumbang tenaga dan khidmat bakti untuk pembangunan negara.

Kerajaan turut menyumbangkan RM2 bilion untuk ehwal wanita dan mengarusperdanakan peranan mereka dalam pembangunan negara dengan program seperti I-KIT, I-KeuNita, program Women Career Comeback. Program I-KIT (Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal) adalah program yang memberikan kemahiran kepada ibu tunggal melalui keusahawanan.

Usaha ini dapat meringankan kehidupan ibu tunggal dan anaknya yang kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung. Manakala program I-KeuNita (Inkubator Keusahawanan Wanita) melatih wanita termasuk graduan lepasan universiti yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Ini berita gembira bagi graduan wanita yang masih menganggur. Lihatlah usaha Nasi Lemak Anak Dara dan beberapa usahawan wanita yang berjaya menaikkan nama wanita di arus perdana keusahawanan.

Program Women Career Comeback memberikan harapan kepada wanita yang sudah meninggalkan kerjaya demi keluarga kembali semula bekerja. Harapan ini amat penting dalam meningkatkan pembangunan kesejahteraan masyarakat.

Ada kalanya mereka ini mempunyai pendidikan tinggi berserta pengalaman yang berharga dalam membantu sesebuah organisasi, sama ada sektor awam mahupun swasta.

Bajet 2017 sebenarnya mengangkat martabat wanita dengan memberi harapan dan bantuan kepada mereka yang lemah. Masyarakat sering kali terlupa peranan wanita yang perlu diberikan perhatian dalam pembentangan bajet.

Sering kedengaran bahawa sesetengah pihak memperjuangkan hak asasi wanita tetapi terlupa pada kehidupan wanita. Apakah formula yang mereka gunakan dalam memperjuangkan kehidupan seharian wanita.

Apa yang diusahakan oleh kerajaan bukanlah permulaan cerita, tetapi pengakhiran usaha pembelaan kepentingan kehidupan wanita di Malaysia. 


* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HAJI Fadzilah Abdul Hamid merupakan seorang bekas pengusaha stesen minyak yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai pengusaha stesen minyak Caltex.
  • ADALAH penting untuk menjamin faktor nilai lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu dijadikan atau ditetapkan sebagai faktor keberhasilan. Ini sangat penting untuk mengelakkan walau proses ijtihad dan istinbat itu bebas dari kerencatan, maqasid syariah itu sendiri adalah menolak mafsadah atau kejahatan.
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • SAYA ingin mengulas mengenai langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.
  • ISLAM adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Ini adalah persepsi umum di Malaysia, baik oleh orang Melayu mahu pun yang berbangsa Tionghoa atau Cina.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.