BANYAK sudah ulasan diberikan mengenai kemasukan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu, selepas keluar dari Umno pada 18 September lalu.

Langkah Mustapa ini akan mendorong ramai lagi ahli Parlimen Umno untuk menyertai Bersatu. Menurut Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin, kira-kira 40 ahli Parlimen daripada Umno dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Katanya mereka sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.

Jika wujudlah jumlah ahli Parlimen parti pembangkang Umno yang hendak memasuki Bersatu ini, bermakna suatu penghijrahan besaran atau 'exodus' akan berlaku.

Biasanya kecenderungan ini dinamakan nomadisme politik. Nomadisme politik bukanlah seperti maksud biasa nomad iaitu banyak pindah-randah. Ia bermaksud perpindahan elit politik dari satu parti ke parti lainnya dengan tujuan memperoleh suasana lain dan menjanjikan masa depan politik mereka lebih terjamin.

Normadisme politik juga berlaku apabila upaya mempertahankan kekuasaan yang dipegang tidak dapat bertahan dan khuatir jika kekuasaan tersebut akan hilang dalam genggaman.

Nomadisme politik juga terjadi jika seseorang ahli politik tidak lagi memiliki peluang untuk menjadi ahli Parlimen, Adun atau mengekalkan kuasanya pada masa hadapan jika kedudukannya semakin terancam.

Terdapat beberapa perkara harus diwaspadai dengan nomadisme politik seperti motif melakukan penghijrahan kerana parti mereka tidak lagi harmoni dan tiada solidariti akibat konflik dalaman, contohnya berhubung kedudukan kepimpinan yang menerima pertuduhan rasuah.

Walau apa pun alasan yang diberikan, nomadisme politik tidak mencerminkan etika dan pendidikan politik yang baik.

Sejak kemenangan Kerajaan PH dalam PRU14, selain Mustapa, antara anggota Parlimen yang telah keluar Umno ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Rosman Isli (Labuan), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai). Rosman telah menyertai Parti Warisan Sabah. Mereka yang berempat masih anggota bebas.

Negara demokrasi seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, kemungkinan berlakunya nomadisme politik adalah 1000:1, iaitu sekiranya terdapat elit politik yang hijrah ke parti lainnya, mungkin hanya satu orang daripada 1,000 ahli politik dan amalan ini jarang, bahkan tidak pernah terjadi dalam dunia politik di negara mereka. Apatah lagi di Jepun yang maruah politik begitu dipertahankan.

Kita juga risau nomadisme dan petualangan politik akan menciptakan wajah politik negara yang lebih mengedepankan hasrat dan kehendak kuasa yang bersifat jangka pendek, tanpa pernah mempedulikan penciptaan ruang politik berkualiti, cerdas dan mencerahkan dalam jangka panjang.

Dalam hal ini, Dr Mahathir menjelaskan, Bersatu mengalu-alukan seberapa ramai pun ahli Umno yang telah ‘menyampah’ dengan parti itu untuk menyertai Bersatu, tetapi mereka dilarang daripada bertanding sebarang jawatan parti sekurang-kurangnya untuk satu tempoh tertentu. Ini kerana menurut Dr Mahathir parti itu ditubuhkan untuk membasmi rasuah dan berhasrat untuk kekal bebas rasuah selamanya.

Kita tahu terdapat mereka yang terjun ke dunia politik untuk menjadi kaya, membina empayar harta melalui kuasa politik dan pengaruh tertentu. Politik era lama menentukan siapa memperoleh apa, bila mana, dan bagaimana dan bahawa dasar politik ialah persaingan untuk memiliki kekuasaan. 

Dalam hal ini ketika ia melihat pintu tertutup baginya untuk meraih kekayaan atau mengekalkan kekuasaan itu, akibat dominasi pihak yang menang, katakan parti lawan menjadi kerajaan maka babak-babak penghijrahan akan berlaku.

Maka mereka yang ingin masuk menjadi ahli mana-mana parti PH haruslah diselidiki terlebih dahulu kerana kita tidak mahu masuk kerana diberikan ganjaran, tawaran atau habuan. Ia tidak harus dibudayakan dalam PH. Mereka harus bekerja keras seperti ahli-ahli lain dalam parti PH.     

Pemandangan seperti ini menjelaskan ahli parti sebagai seorang yang tidak lagi 'gentleman' bukan lagi budiman atau kekecualian jika terdapat rundingan terlebih dahulu.

Oleh itu Dr Mahathir berkata: “Kita beri masa untuknya menjadi anggota Parlimen bebas. Setelah kita melihat pendiriannya (dalam isu-isu), kita setuju bahawa dia layak menjadi anggota Bersatu.”

Adakah kemungkinan 'exodus' ini akan berlaku?

* Penulis ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)