TINGGAL di bandar besar ketika penduduk tidak ramai sangat melegakan. Ketika saya baru beli rumah di Shah Alam pada 1993 umpamanya, saya rasa diri macam raja; jalan tidak sesak, malah tiada lampu isyarat pun.

Pejabat pos dan bank besar-besar belaka dengan kakitangan yang ramai, tetapi pelanggan boleh dikira. Belum sempat anda mela­buh­kan punggung di kerusi, nombor anda sudah dipanggil.

Tapi anda pun tahu hakikat bahawa pembangunan dan kema­juan mengorbankan keselesaan. Hospital turut menjadi sesak dengan pesakit luar dan yang dimasukkan ke wad. Hospital di Klang dan Kuala Lumpur tidak perlu cakap lagilah.

Yang sakit terpaksa bersesak-sesak di kaunter ambil nombor, di depan pintu rawatan dan kaunter farmasi. Tambahan pula dengan kebanjiran rakyat asing; walaupun mereka kena bayar, kadarnya masih sangat rendah dibandingkan de­ngan kadar yang perlu mereka bayar di klinik dan pusat kesihatan swasta.

Tidak lama dahulu, seorang kawan mendapatkan rawatan di hospital Klang. Dia menempah kelas 1 tetapi kerana tiada katil kosong, dia, walaupun dia seorang Datuk, diminta duduk sekejap di kelas 3. Kerana menyangka ia hanya untuk sementara, dia pun setujulah masuk kelas 3.

Rupa-rupanya, bukan sahaja dia terus berada dalam wad kelas 3, malah ditempatkan di laluan pelawat.

Namun, dia tidak mengadu ke­rana memahami keadaan, malah puas hati dengan layanan doktor, jururawat dan staf hospital walaupun dalam keadaan sesak. Itu hanya satu kes. Banyak lagi berlaku di tempat lain.

Dengan bertambahnya pen­duduk, kesesakan di hospital di banyak tempat semakin bertambah.

Tidak dinafikan usaha memper­tingkatkan khidmat dan kemudahan tidak diketepikan kerajaan, tetapi masih ada yang perlu dilakukan.

Apa yang berlaku sekarang disebabkan kesesakan, pesakit terpaksa ditempatkan di koridor wad dan kalau sudah tiada ruang, me­reka dipindahkan ke hospital lain.

Bukan sahaja kesesakan berlaku di dalam wad, malah di bahagian kecemasan, farmasi, klinik dan ICU. Tindakan begini bukan sahaja menyusahkan keluarga mereka, malah merumitkan juga urusan staf menyediakan kemudahan dan sebagainya.

Kesesakan menjadi lebih kritikal apabila sesetengah hospital menge­cilkan ruang wad untuk menem­patkan katil dalam usaha mempel­bagaikan kemudahan rawatan. Perlu disebut di sini, usaha begini dibuat tentunya dengan niat baik tetapi mengakibatkan kesesa­kan kerana mereka terpaksa mene­rima pesakit yang menghidap pel­bagai jenis penyakit tertentu dari kawasan lain.

Kes-kes kemalangan jalan raya, kemalangan perusahaan dan kes mereka yang tiba-tiba dikejarkan ke bahagian kecemasan menambah­kan lagi kesesakan di hospital dan kesibukan kakitangan.

Masalah kesesakan menimbul­kan kemungkinan pesakit terpaksa ditahan berjam-jam di bahagian kecemasan sebelum ditempatkan dalam wad. Adalah sesuatu yang malang sekiranya kesesakan yang kritikal terpaksa melewat, apa lagi menafikan pesakit yang benar-benar perlu dimasukkan ke wad mendapat rawatan sewajarnya.

Kerajaan baharu yang nampak begitu komited ini perlu tingkatkan usaha untuk mengatasi masalah kesesakan di hospital. Lebih banyak ruang dan bangunan perlu diwujud­kan di banyak hospital di seluruh negara untuk pesakit.

Lupakan projek-projek yang boleh ditangguh atau dibatalkan, apa lagi yang mega, mewah dan membazirkan. Sediakan peruntukan yang lebih untuk kemudahan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat.