LOMBOK dalam bahasa jawanya bermaksud lada, ia juga dikenali sebagai ‘pulau seribu masjid’ kerana majoriti penduduknya yang kuat beragama.

Kehadiran Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI) dalam misi kemanusiaan ini memberi peluang untuk aku melihat sendiri bagaimana manusia yang kelam kabut lari mencari keamanan dan keselamatan diri. Nilai keinsanan bagai tercas selama berada di sini.

Kejadian gempa bumi kuat 7 SR yang menggegar bumi Lombok pada 5 Ogos lalu masih dirasai dengan susulan gempa yang berlaku hampir setiap hari.

Aku masih bias menghidu bau mayat yang bertimbunan di sebalik runtuhan.

Di kiri kanan sepanjang 75 kilometer perjalanan dari lapangan terbang Lombok ke kaki Gunung Rinjani, Dusun Lenggorong Desa Sambielen memaparkan runtuhan demi runtuhan, meruntun jiwa, akibat malapetaka itu.

Kalau perjalanan biasa mengambil masa kurang lebih 3 jam sahaja akan tetapi dengan keadaan jalan yang rosak di perbatasan pusat gempa menyebabkan ia memakan masa selama 7 jam.

Di sebalik kecantikan dan keindahan laut yang memukau, wujudnya kegiatan ‘persundalan’ dan di sana ada lorong-lorong maksiat yang menjamukan ‘penarian bebas’.

Nah! Malapetaka yang dahsyat ini sebenarnya merupakan sebuah inzar, 'suara dari pada Sang Pencipta’ yang murka buat mereka dan juga kepada kita sekalian alam. Ia suatu peringatan, iktibar dan juga ujian bagi hamba yang mahu berfikir.

Dalam kekalutan amarah gempa ini, aku melihat masih ramai manusia yang mempunyai rasa ‘kemanusiaan’, mereka bagai serumpun dalam menghulurkan bantuan.

Hari minggu menjadi sibuk dengan berlumbanya mereka membuat kebajikan dan menolong mangsa gempa.

Iya, Lombok sedang bersedih dan yang lebih tepat sebenarnya seluruh Lombok sedang berduka.

Di manakah peranan kita untuk menolong mereka?

Apa yang sangat diperlukan di sini adalah khemah dan selimut kerana rumah-rumah mereka semua hancur musnah, mereka bertempiaran sehelai sepinggang. Bahkan binaan masjid juga turut terkesan.

Mereka keluar hidup di lapangan mencari ruang yang difikirkan selamat, membina khemah kehidupan, tetapi masih belum mencukupi.

Di malam hari pula cuaca amat dingin hingga mengigit ke tulang dewasa, bayangkan pula bagaimana anak² kecil yang lemah mengharungi keadaan demikian.

Selain itu, terapi pasca trauma amat perlu terutama kepada kanak-kanak dan warga emas. Fikiran dan emosi mereka dihantui dengan gempa, runtuhan, serta huru hara yang menakutkan itu.

Justeru, KAMI dengan berlutut sembah kepada Tuhan yang maha Pemurah memohon agar dilemparkan rasa belas ihsan kepada rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya untuk menghulurkan sumbangan.

Secara spiritualnya, apa yang berlaku ini merupakan peringatan kepada semua kita bahawa apabila datangnya peringatan daripada Allah, tiada yang berkecuali dengan kehendak-Nya. Dari itu sedarlah, diamnya ahli agama dari lapangan dakwah, apabila tiada lagi amar maaruf nahi mungkar, itulah tandanya kemurkaan kian menghampir dan semakin menghampir.

Apabila kuasa pemerintahan dalam genggaman, gunakanlah ia sebaiknya untuk mendidik anak bangsa ke arah membudayakan nilai tauhidik yang menjadi fitrah insani.