SETIAP manusia yang diciptakan ALLAH sudah pasti mempunyai kecenderungan masing-masing. Malah di antara kita semua, kita punya cita rasa yang berbeza dalam berbagai aspek dan perkara. Namun begitu, perbezaan antara kita semua sudah pasti harus ditangani dengan akal yang waras dan melalui prinsip yang digariskan oleh agama, dalam masa sama, setiap perbezaan itu sudah pasti hendaklah jauh dari kepalsuan nas-nas agama dan fitnah terhadap apa yang kita berbeza.

Islam bawa prinsip keadilan

Keadilan ini merangkumi semua perkara, baik dalam urusan agama, urusan yang melibatkan antara manusia sesama manusia, begitu juga dengan urusan orang Islam dalam berinteraksi dengan bukan Islam, hatta dalam musuh sekalipun, prinsip keadilan tetap harus juga kita tekankan, jangan kerana ketaksuban kita, dendam dan kebencian yang mendalam, membuatkan kita keluar dari neraca pertimbangan dalam berlaku adil.

Berlaku adil itu lebih dekat dengan takwa sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 8, (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi di kalangan mereka yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, dan (ingatlah) jangan sekali-kali kebencian kamu ke atas sesuatu kaum itu lantas membuatkan kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa dan apa jua urusan) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Jelas ayat di atas membawa mesej yang jelas kepada kita bahawa prinsip keadilan amat ditekankan dalam Islam. Ia perlu kita mengawal segala bentuk emosi yang membuatkan kadang kala ucapan atau tulisan kita kepada sesuatu perkara membawa kepada permusuhan yang kadang kala dilakukan tanpa penilaian yang teliti. Lebih malang, keluar dari manhaj dalam “tabayun” atau “tathabbut” iaitu dalam erti kata lain memastikan setiap berita yang ingin disampaikan, dituturkan, dikongsi dan disebarkan sejalan dengan manhaj yang betul dan sahih, apatah lagi jika kita merupakan individu yang dikenali ramai, perkataan dan ucapan kita sering dipetik oleh orang awam, lalu kekadang kita lupa, setiap apa yang kita perkatakan akan dipertanggungjawabkan kelak.

Ini sesuai dengan firman ALLAH Surah al-Hujurat ayat 6: Wahai orang-orang yang beriman! Jikalau datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Pintu fitnah

Kadang kala hanya kerana kebencian dan ketaksuban membuat manusia cenderung untuk memilih berita yang sesuai dengan “musuh”nya. Lalu dia memetik apa jua rujukan, mahupun pandangan atau coretan yang “sesuai” dengan keburukan manusia yang dia sendiri benci atau punya sejarah silam yang melukakan, dengan itu prinsip keadilan digadaikan, prinsip nafsu diutamakan dan seterusnya pintu fitnah terbuka hanya kerana sangkaan tanpa penelitian ilmiah dan adil.

Baru-baru ini, muncul seorang tokoh yang dikenali sebagai ilmuwan Nusantara yang begitu berpengaruh telah membawa ucapan dan penyampaian penuh dengan unsur emosi dan permusuhan. Tokoh ini amat dikenali oleh mereka yang belajar di pondok, namun ia bukan alasan untuk kita mengkultuskan beliau apatah lagi jika ucapan beliau sama sekali tidak membawa bukti yang jelas dan samar-samar disusuli dengan bibit-bibit emosi dek kerana perbezaan pendapat.

Tuduhan yang dibuat kepada mujaddid yang hebat Syeikh Muhammad Abdul Wahhab adalah cukup berat. Lalu dihubung kaitkan dengan Wahabi dan isu–isu perbezaan mazhab dalam Fiqh. Seolah-olah beliau tidak belajar sejarah perkembangan mazhab fiqh. Adakah beliau lupa sejarah Islam, bagaimana manusia sanggup melakukan fitnah hanya kerana dendam dan kebencian? Adakah dia ingin mencontohi akhlaq Syiah dalam menaqalkan berita?

Lihatlah bagaimana Syiah memfitnah Yazid bin Muawiyah membunuh cucu Rasulullah SAW. Lihat bagaimana Muawiyah bin Abi Sufyan difitnah hanya kerana masalah politik. Lihat bagaimana hadis-hadis palsu dicipta oleh Zindiq dan kelompok Sufi hanya kerana taksub mazhab dan kebencian mereka dalam gagal menangani isu perbezaan pendapat.

Tuduhan yang dibawa oleh beliau cukup berat malah boleh membawa kepada kekacauan dan kekeliruan umat Islam. Memang benar terlalu banyak tulisan yang menyerang Syeikh Muhammad bin Abd Wahhab, adakah ini menjadi ukuran yang mana haq yang mana batil? Sudahkah dia menyelusuri kitab-kitab Syeikh Muhammad ibn Wahhab sendiri lalu menerima langsung tuduhan mengatakan Syeikh Muhammad sebagai pembunuh? Di manakah nilai kitab-kitab tulisan Syeikh Muhammad Abd Wahab yang cukup tuntas karyanya yang diiktiraf oleh sarjana-sarjana Islam sebelum ini? Adakah kitab-kitab seperti Kitab Al-Tauhid, Kitab Al-Iman, Usul Al-Thalatha, Kasyf Al-Syubhat tidak punya nilai malah jauh dari petunjuk wahyu? Takutlah kita semua kepada ALLAH! Dan ingatlah adil itu lebih dekat kepada takwa.

Di mana pula nilai alim ulama Arab dalam menghukum Syeikh Muhammad Abd Wahhab? Kata Syeikh Sulaiman bin `Abdul Wahhab bin Muhammad bin `Abdul Wahhab-rahimahullah- (wafat 1233H) berkenaan Kitab Tauhid dalam ” Taysir Al-`Aziz Al-Hamid” hlm 24 : "Ia Kitab yang unik dalam bidangnya, tidak didahului oleh pendahulu, dan tidak akan disusuli dengan penyusul”. Syeikh `Abdul Rahman bin Hassan bin Muhammad bin `Abdul Wahhab-rahimahullah-( wafat 1285H):” Beliau telah mengumpul dengan ringkasnya dan mempunyai kebaikan yang sangat banyak, ia mengandungi dalil-dalil tauhid dan apa yang sudah mencukupi bagi sesiapa yang diberi taufik oleh ALLAH, dan menjelaskan dalamnya dalil-dalil pada menjelaskan syirik ia tidak akan diampunkan oleh Ilahi.”

Syeikh Al-`Allamah Al-Muarrikh Ibnu Basyar-rahimahullah- (wafat 1290H) dalam “Unwan Al-Majd”: ” Tidak ada penulis yang menulis dalam bidangnya lebih baik daripadanya, kerana sesungguhnya ia sangat baik padanya dan beliau telah menyusunnya dengan penuh teliti, dan telah mencapai tahap kemuncak dan objektif”.
 
Subhanallah, cukup dengan pengiktirafan ulama-ulama yang besar dan jauh lebih tinggi keilmuan, adalah mustahil kitab al-Tauhid yang diguna pakai oleh sarjana-sarjana Islam baik yang dahulu mahupun sekarang, sudah pasti ada manfaat besar yang ditinggalkan oleh Syeikh Muhammad Abd Wahhab. Jangan kita tertipu dengan kelompok yang hanya ingin membawa permusuhan dan fitnah.

Ingatlah firman ALLAH dalam Surah al-Nur, ayat 11-12  “Dan Sesungguhnya mereka yang membawa berita penuh dusta itu merupakan kelompok daripada kalangan kamu; oleh itu janganlah kamu menganggap (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan mendapat hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan mendapat seksa dan azab besar (di dunia dan akhirat).

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri (sesama mukmin) dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”
Ayuh kita katakan kepada tuduhan terhadap mujaddid Syeikh Muhammad Abd Wahhab “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” !!