SEMESTER ini saya diminta mengajar pelajar program Pensiswazahan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP). Ini bermaksud saya mengajar pelajar yang berusia belasan tahun dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Saya diarah untuk mengajar mata pelajaran Pengantar Pengajian Profesional yang merangkumi subjek falsafah, sosiologi, psikologi, politik dan pendidikan asas.

Ketika menyoal pelajar, semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan (1995-1999), berapakah usia mereka?

Jawapannya: “Satu tahun, encik”, “Satu tahun setengah, cikgu”, atau “Baru nak celik”. Saya tersenyum sendirian. Ternyata mereka rata-rata dilahirkan pada tahun 1996-1997.

Dalam tahun tersebut, saya sudah pun hampir 20 tahun berkhidmat dan mempunyai empat anak. Terus terfikir saya sudah berusia dan kini menghampiri usia perkhidmatan saya sebagai penjawat awam.

Dan apabila anda mencapai usia ini... anda cenderung untuk berfikir banyak hal. Anda sentiasa mencari makna yang lebih mendalam dalam hubungan anda, interaksi yang mudah dengan orang yang tidak dikenali, dan di dunia di sekeliling anda.

Anda menikmati suasana bersendirian dan menggunakannya untuk merenung kehidupan dan segala yang berlaku di dalam kehidupan anda. Anda akan cuba memahami dan mendalami pengertian kehidupan sebaik-baiknya.

Anda akan kelihatan jauh lebih matang daripada usia anda. Ketika masih kanak-kanak, anda biasanya dikagumi orang sekeliling dan akan kelihatan bersama dengan kumpulan dewasa.

Dan bukanlah anda tidak gemar bersama kanak-kanak seusia dengan anda tetapi anda beranggapan perbualan orang dewasa adalah jauh lebih menarik.

Anda akan lebih selesa dalam perkara mudah seperti menikmati minuman kopi atau teh dan membaca majalah yang anda minati, berkumpul dan bersarapan dengan rakan, memasak hidangan hebat, atau membaca buku yang baik.

Anda mempunyai falsafah hidup dan melihat dunia pada skala yang lebih besar berbanding orang lain. Apabila anda berhadapan dengan masalah,  anda akan melihat ia sebagai satu pengalaman pembelajaran dan mempertimbangkan masalah anda sebagai sebahagian daripada keseluruhan perjalanan kehidupan anda.

Anda tidak mementingkan untuk memiliki barangan yang mahal. Anda akan banyak memperolehnya melalui hubungan peribadi dan pengalaman daripada apa-apa yang dapat anda miliki.

Anda memberi tumpuan kepada kepuasan diri dan mencari keseronokan daripada ekspresi diri melalui penulisan, seni, muzik, atau saluran lain.

Anda akan berasa berada dalam era tertentu dan mendapati diri anda lebih berminat dalam seni, sejarah, atau budaya era tersebut. Anda akan lebih sensitif dan mencintai alam semula jadi. Anda lebih cenderung mempercayai  naluri anda kerana ia jarang salah. Anda akan terus dapat 'merasai' perkara dan boleh membaca dan mengetahui mengenai orang yang bersama anda.

Walaupun anda berada di dalam lingkungan sosial yang besar, dipenuhi rakan dan kenalan, anda akan sentiasa berasa berbeza daripada orang lain. Anda mungkin tidak memanggil diri anda sebagai ‘penyendiri’ tetapi anda pasti selesa dengan bersendirian dan memahami perbezaan antara bersendirian atau menyepi.

Tidak kira di mana anda pergi, anda seolah-olah menjadi tumpuan ramai walaupun dengan orang yang tidak dikenali. Sesuatu tentang anda membuat orang lain mahu berkongsi kisah mereka walaupun dalam masa hanya beberapa ketika bertemu anda.

Anda mempunyai tahap empati, kesediaan menerima orang lain dan memahami kepentingan memaafkan yang tinggi. Oleh kerana itu rakan anda akan pergi mendapatkan nasihat atau untuk memberitahu anda masalah mereka. Mereka tahu anda akan sedia mendengar.

Anda menikmati saat-saat yang tenang dalam kehidupan anda, yang mungkin kelihatan kuno kepada orang lain. Mungkin anda akan memandu, bersiar-siar, menziarahi atau menulis surat (surat sebenar, bukan e-mel) kepada rakan di seluruh negara.

* Penulis dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI yang kurang tahu mengenai pempolitikan komuniti Cina di negara ini. Saya terpanggil untuk menghuraikan politik Cina di Malaysia atau Politik Buluh.
  • SAYA telah menulis mengenai kegiatan perniagaan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam ruangan ini.
  • DI negara-negara maju, sukan adalah sesuatu yang penting biarpun di peringkat pemimpin negara dan kerajaan. Sesiapa yang menawarkan diri untuk dipilih dalam pilihan raya, prestasinya dalam mana-mana sukan di sekolah, maktab dan universiti diambil kira.
  • KONSEP dakwah santai melalui program “Street Dakwah: Islam is Peace” dapat menarik minat warga ibu kota di Jalan Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.
  • TIDAK memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.