SEJAK meletusnya peristiwa Arab Spring di Timur Tengah pada awal 2011, Syria merupakan salah sebuah negara yang menerima kesan terburuk selain Libya dan Yaman.

Sehingga hari ini, krisis kemanusiaan masih berlarutan ekoran perang saudara dan campur tangan kuasa-kuasa luar yang tidak sehaluan seperti Amerika dan Russia.

Beberapa pemerhati antarabangsa turut menggambarkan situasi di Syria adalah yang terburuk selepas peristiwa Perang Bosnia 1992-1995.

Sukar untuk meramalkan apakah yang bakal berlaku kepada negara bekas jajahan Perancis dan Great Britain ini untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Apa yang pasti, sejarah telah membuktikan kesan peperangan, sama ada bersifat konflik dalaman atau antarabangsa sememangnya memakan masa yang panjang untuk kembali pulih kepada keadaan asal yang mampu menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

Syria terus dibayangi kuasa luar

Umum sedia maklum bahawa konflik di Syria turut melibatkan aktor-aktor luar yang bertindak menerobos secara langsung kedaulatan negara tersebut menerusi perang proksi dan aktiviti ketenteraan.

Regim Bashar Al-Assad menerima sokongan kuat dari Moscow, Tehran, Beijing dan Hezbollah manakala kumpulan penentang dibantu secara tidak langsung oleh Amerika Syarikat, Turki dan beberapa negara-negara jiran Arab.

Kehadiran Daesh sebagai aktor bukan negara turut merumitkan lagi situasi di Syria di mana ratusan siri serangan dilancarkan ke atas penduduk awam dan kumpulan penentang regim.

Dalam masa yang sama, Daesh turut menjalankan operasi di negara-negara lain menerusi serangan berbentuk terroris yang dilaporkan berlaku di Paris, London, Mosul, Kabul dan Berlin.

Assad terus berkuasa

Ironinya, di sebalik konflik yang berlaku, Assad masih terus berkuasa di Istana Presiden di Damsyik di mana wilayah tersebut menempatkan majoriti penyokong regim dengan kawalan ketenteraan yang sangat ketat.

Konflik yang berlaku memungkinkan Assad untuk terus berkuasa memandangkan sehingga kini tiada sebarang usaha peralihan kuasa diusulkan oleh Damsyik.

Kali terakhir rakyat Syria memilih adalah pada  3 Jun 2014 menerusi pilihanraya presiden yang menyaksikan Parti Baath pimpinan Assad memenangi majoriti besar sekitar 88.7 peratus undi menewaskan pencabarnya Hasan al Nouri dari Parti berhaluan Liberal-Sosialis.

Badan-badan pemerhati antarabangsa seperti The Carter Center menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai tidak absah dan merupakan sandiwara berterusan pihak regim untuk mengaburi mata masyarakat antarabangsa berhubung realiti pemerintahan autokrasi di Syria sejak era pemerintahan Hafez al Assad beberapa dekad yang lalu.

Isu pelarian Syria

Konflik berterusan di Syria sejak lima tahun yang lepas menyebabkan rakyat di negara tersebut berhijrah mencari perlindungan di negara-negara jiran dan beberapa destinasi lain di Asia dan Eropah.

Turki dilaporkan merupakan penerima terbesar pelarian Syria menerusi kem-kem pelarian di beberapa kawasan sempadan Turki-Syria.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dianggarkan sekitar 13.5 juta rakyat Syria menjadi mangsa peperangan dengan 4.8 juta dikategorikan sebagai pelarian perang yang kritikal pada tahun 2016. Dengan ancaman Daesh yang sukar dikawal di samping serangan udara yang dilancarkan regim Assad, angka ini dijangka terus meningkat.

Tekanan masyarakat antarabangsa

Krisis kemanusiaan di Syria sememangnya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Di bandar-bandar besar seperti London, New York City, Brussels dan Paris, demonstrasi aman dilancarkan berhampiran dengan kedutaan Syria untuk menyuarakan bantahan terhadap regim Assad selain bertujuan menunjukkan solidariti untuk rakyat Syria.

Hashtag di media sosial seperti “Aleppo sedang terbakar” dan “Doakan Syria” turut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sekali gus menggambarkan bahawa masyarakat antarabangsa khususnya di alam maya turut bersama-sama menyokong mangsa konflik di Syria.

Solusi yang wajar diberi perhatian

Buat masa sekarang, sebarang usaha pelan damai daripada organisasi antarabangsa khususnya PBB dan Liga Arab seakan tidak membuahkan hasil.

Beberapa resolusi pernah diusulkan oleh Majlis Keselamatan PBB namun di veto oleh Russia dan China.

Hal ini menjelaskan mengapa Syria masih tidak menerima kehadiran pasukan pengaman PBB walaupun berlakunya krisis kemanusiaan berskala besar.

Penganalisis politik antarabangsa seperti Bassma Kodmani bersetuju bahawa situasi semasa di Syria masih tidak kondusif untuk penyelesaian bersifat politik.

Beliau turut menambah langkah pertama yang wajar dimulakan adalah menghapuskan ancaman Daesh di seluruh Syria terlebih dahulu selain mewujudkan kawasan selamat (safe zone) atau zon hijau yang bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan sama ada dari pihak regim atau kumpulan penentang.

Sebagaimana yang disarankan oleh UNHCR, solusi jangka pendek, khususnya bagi membantu rakyat Syria yang terkesan dengan konflik yang berlaku boleh dilaksanakan dengan memberi bantuan kemanusiaan berupa masa, tenaga dan wang ringgit menerusi NGO-NGO berdaftar di seluruh dunia dengan harapan ia sekurang-kurangnya membantu survival harian mereka.

 **Mohd Irwan Syazli Saidin, Penulis ialah Penuntut di Institute of Arab and Islamic Studies, The University of Exeter, United Kingdom.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HAJI Fadzilah Abdul Hamid merupakan seorang bekas pengusaha stesen minyak yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai pengusaha stesen minyak Caltex.
  • ADALAH penting untuk menjamin faktor nilai lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu dijadikan atau ditetapkan sebagai faktor keberhasilan. Ini sangat penting untuk mengelakkan walau proses ijtihad dan istinbat itu bebas dari kerencatan, maqasid syariah itu sendiri adalah menolak mafsadah atau kejahatan.
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • SAYA ingin mengulas mengenai langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.
  • ISLAM adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Ini adalah persepsi umum di Malaysia, baik oleh orang Melayu mahu pun yang berbangsa Tionghoa atau Cina.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.