SEORANG teman wartawan bangsa Sikh yang mengikuti kursus di Seattle menceritakan bagaimana beliau dioffload daripada satu penerbangan kerana serban dan janggutnya.

Penumpang kulit putih bersalah sangka bahawa beliau seorang Arab-Muslim, lalu minta kapten bertindak tidak membenarkannya menaiki pesawat. Beliau cukup malu dan marah, tapi tidak boleh berbuat apa.

Majoriti warga Amerika Syarikat tidak dapat membezakan orang Sikh dengan Muslim. Bagi mereka, sesiapa yang berserban, berjambang dan berkulit gelap pasti Arab dan beragama Islam.

Kerana prejudis tebal, Arab-Muslim disamakan dengan bahaya, keganasan dan perlu dijauhi. Kumpulan radikal Amerika sering menyasarkan orang memakai serban yang mereka gelar towel heads. Mangsa pertama yang dibunuh selepas peristiwa 9/11 bukannya Muslim tapi pengurus stesen minyak bangsa Sikh di Arizona, Balbir Singh Sodhi.

Lima belas tahun selepas 9/11, masyarakat Sikh yang berjumlah 500,000 di AS masih menjadi mangsa. Ribuan kes serangan, pukul dan jenayah kebencian terhadap orang Sikh dilaporkan kerana memakai serban dan berjanggut panjang.

 Dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum, mungkin ada juga yang masih kurang jelas tentang perbezaan serban Sikh (atau dastar dalam bahasa Punjabi) dengan serban yang dipakai Muslimin.

Mengikut ahli sejarah, serban adalah pakaian tradisi orang Arab Jahiliah, yang kemudiannya diadaptasi dan diterima sebagai pakaian Muslim, malah dianggap mahkota orang Arab dan raja-raja. Pada orang Arab, serbanlah yang membezakan mereka daripada bangsa lain di dunia. 

Nabi Muhammad juga memakai serban yang dipanggil al-Sahab ketika hidupnya. Malah para muhaddithin meletakkan satu bab khusus mengenai pemakaian serban oleh Rasulullah SAW dalam kitab-kitab hadis.

Antaranya ialah memakai serban bersama kopiah (Ibn Qayyim 2002), sederhana saiznya, panjang tujuh hasta (Sulaiman bin Samhan 2001), berwarna hitam atau putih (Abu Dawud 1994, al-Mundhiri 1993), dan melepaskan ekor serban di antara dua bahu Baginda (riwayat Ja’afar bin Amir bin Umayyah daripada bapanya dalam al-Nasa’i 1930).

Dari segi hukum, al-Shawkani berpendapat memakai serban adalah sunnah yang sunat dan digalakkan, tapi Abdul Aziz Baz (bekas Mufti Arab Saudi) dan Muhammad Rasyid Rida anggap ia adat orang Arab sahaja. Manakala Dr Yusof al-Qaradhawi berpendapat apa sahaja yang dilakukan Rasulullah SAW adalah baik dan patut diikuti oleh lelaki Muslim.

Dastar yang dipakai orang Sikh juga adalah adaptasi serban Arab. Menurut H.O.K Rahmat, pengasas agama Sikh, Guru Nanak, adalah penganut Hindu yang menerima pengaruh Islam dan pernah ke Makkah.

Dalam pengembaraannya dan semasa mengembangkan agama Sikh, beliau pakai serban dan bawa tasbih. Kemungkinan besar Guru Nanak cenderung terhadap Islam dan Hindu, dan gabungkan unsur-unsur dua agama terbesar di India ketika itu, dalam mengasas agama Sikh. (Buku Dari Adam ke Muhammad, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1979)

Bagi orang Sikh, pemakaian dastar mempunyai tujuan dan falsafah tersendiri. Ia adalah identiti yang diasaskan guru Sikh terakhir, Guru Gobind Singh, sempena Hari Vaisaki pada 1699. Anak-anak kecil diberi kefahaman dan dipakaikan dastar sejak umur lima tahun. 

Pemakaiannya berhubung erat dengan lima lambang utama dalam agama Sikh dipanggil panch kekaar: kes (rambut), kara (gelang), kachera (seluar), kirpan (pedang) dan kangha (sikat). Penganut Sikh percaya tenaga kerohanian dan kebijaksanaan guru berpusat di atas kepala, serta disimpan pada rambut panjang, justeru dibaluti dastar. 

Berkaitan warna dastar, orang Sikh pilih putih untuk meningkatkan aura, dan sebagai pendinding diri, manakala biru melambangkan kepahlawanan dan dalam upacara keagamaan. Dastar oren adalah paling popular, yakni melambangkan kebijaksanaan dan sering juga dipakai semasa perayaan.

Pada waktu kematian, biasanya dastar putih dan hitam dipakai manakala untuk majlis istimewa seperti pertunangan dan perkahwinan, dastar merah jambu jadi pilihan.

 Walau apa pun warna dastar yang orang Sikh pakai, satu yang pasti ialah: Polis tidak menahan atau menyaman bila mereka menunggang motosikal atas jalan raya. Ini lesen besar untuk orang Sikh di negara kita dan kelebihan untuk etnik minoriti ini. 

 

* Penulis ialah CEO dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AGAKNYA berapa jumlah graduan Pengajian Islam (PI) dari universiti di seluruh dunia, pemegang ijazah dalam pelbagai peringkat dalam bidang Usuluddin, Syariah atau lain-lain disiplin Pengajian Islam?
  • HUBUNGAN manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.
  • PERTUBUHAN kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.
  • TAHUN 1989 menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin dan faham komunis yang dilambangkannya. Ini disusuli dengan kemunculan satu orde dunia baharu yang disebut sebagai market-place society atau masyarakat pepasar.
  • DALAM tahun 2013, bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Zaman Khan pernah menyatakan kegusarannya kepada pihak media bahawa rasuah terbesar negara adalah melibatkan kebanjiran pendatang asing yang masuk ke Malaysia secara haram.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.