BERSEMPENA dengan ketibaan 1 Muharram 1439H ini maka saya dan seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh negara ini.

Bersesuaian dengan tahun baru Hijrah ini maka kita perlulah mengambil iktibar dan merenung kembali peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Peristiwa hijrah ini adalah merupakan suatu peristiwa yang cukup bersejarah di dalam sirah Islam yang membawa kepada perubahan lanskap terhadap akidah, akhlak, ibadah, gaya hidup serta pentadbiran kerajaan Islam itu sendiri.

Detik tersebut menjadi titik tolak kepada berlakunya penghijrahan hati, minda dan jihad kepada acuan hidup yang lebih diredai Allah SWT berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Jesteru itu, bersempena dengan ketibaan detik 1 Hijrah ini juga maka saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada diri sendiri serta seluruh umat Islam di negara ini, untuk menanam keazaman dan komitmen bagi melakukan perubahan minda, jiwa dan roh untuk berhijrah ke arah memperbaiki peribadi diri dalam segenap lapangan kehidupan, khususnya di dalam soal memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Buat para ayahanda dan bonda ketua dan pendidik keluarga – Resapilah semangat Tahun Baru Hijrah ini sebagai satu kesempatan buat kita merenung kembali tanggungjawab kita selaku ketua keluarga, agar dapat kita memperbaiki urusan kekeluargaan khususnya dalam memastikan anak-anak yang diamanahkan kepada kita dibimbing dan dipelihara dengan penuh kasih sayang, memastikan sumber yang halal sebagai rezeki serta memberikan didikan agama yang secukupnya kepada mereka.

Buat guru-guru dan ahli akademik insan pendidik – Jadikanlah Tahun Baru Hijrah ini sebagai satu detik perubahan bagi mempertingkat usaha penyebaran ilmu seluas-luasnya dalam mendidik kesedaran jiwa anak-anak didik dan masyarakat, agar mereka terus dibajai dengan keimanan, ketaqwaan dan ilmu yang bermanfaat. Hanya dengan ilmu dan iman mereka mampu membina peribadi tinggi agar terhindar daripada pedayaan rasuah dan salah guna kuasa.

Buat anak muda harapan nusa dan bangsa – Dalam menyambut detik Tahun Baru Hijrah ini, tekadkanlah keazaman untuk bangkit dengan penuh jujur dan matang untuk melaksanakan perubahan demi membina masa hadapan yang lebih gemilang dan penuh harapan, berpaksikan ilmu dan keimanan.

Jangan biarkan diri disesatkan dan diseleweng dengan cita-cita yang bersifat sementara, tetapi sebaliknya isilah agenda dan erti perjuangan kalian dengan penuh bijaksana, bagi menggempur dan melenyapkan kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa dari tanah air ini.

Buat para kakitangan awam dan anggota penguatkuasa undang-undang pengkhidmat rakyat – Laksanakanlah tugas sebagai pengkhidmat rakyat dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah.

Janganlah mengkhianati amanah rakyat dengan menodai harta negara dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Permulaan Tahun Baru Hijrah ini adalah peluang dan ruang bagi kita menganjak perubahan yang lebih bermakna untuk berkhidmat dengan amanah, bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Buat ahli korporat dan pengkhidmat swasta – Biarlah Tahun Baru Hijrah ini menjadi titik mula kepada keterlibatan kalian dalam perubahan dan kebangkitan untuk jujur memerangi kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa. Biarlah kejujuran dan ketelusan menjadi amalan yang membenteng harga diri daripada berjual beli dan bertransaksi dengan rasuah dan korupsi.

Buat Yang Berhormat ahli politik dan pemimpin masyarakat – Tiada lagi masa untuk bermain kata-kata dan mengkhianati kepercayaan rakyat.

Ambillah semangat hijrah yang membawa perubahan dan sinarilah harapan rakyat dengan berpegang kepada janji yang diberikan.

Biarlah perjuangan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa menjadi tema perjuangan sebenar Tahun hijrah ini yang diterjemah dengan sebenar-benar perbuatan.

Buat para hakim yang arif lagi bijaksana – Biarlah Tahun Baru Hijrah ini menjelmakan pintu kehakiman yang lebih ampuh dengan ketegasan dan kebenaran buat menjadi teduhan tempat rakyat mencari keadilan.

Hakimilah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa agar menjadi teladan dan amaran keras kepada rakyat yang terus memerhati di luar sana.

Buat Muslimin dan Muslimat - Semoga di Tahun Baru Hijrah ini Allah SWT akan terus memberkati, melimpahkan rahmat dan hidayahNya buat kita semua, agar diberi kekuatan untuk membenci rasuah, kemampuan menyatakan tidak kepada rasuah dan seterusnya punyai keberanian untuk bangkit memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara Malaysia yang tercinta ini.

TAN SRI DZULKIFLI AHMAD, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAHASA Melayu sudah terjamin kedudukannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara.
  • TAHUKAH anda, setiap rakyat Malaysia membuang sampah secara puratanya sebanyak 0.8kg setiap hari? Negara kita menghasilkan lebih kurang 15,000 tan sampah setiap hari. Jika kesemua sampah ini dikumpulkan, sampah-sampah ini cukup untuk memenuhi Menara Berkembar Kuala Lumpur dalam jangka masa 9.5 hari!
  • PILIHAN Raya Umum ke-14 pasti sahaja semakin hampir. Debarannya kian terasa. Ia sememangnya menjadi detik yang dinanti saban 5 tahun sekali bagi rakyat melakukan perubahan secara total.
  • SEMALAM Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menulis satu tweet berkenaan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump, untuk mengalih kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang akan diiktiraf sebagai ibu negara Israel.
  • SEKARANG ini berlangsung Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 5 hingga 9 Disember ini. Asasnya, Umno bukanlah sekadar parti biasa. Perjuangan Umno adalah perjuangan kepada rakyat. Umno bertahan sehingga 71 tahun di persada politik Malaysia kerana bertindak sebagai penjaga dan pelindung kepada bangsa Melayu. Ideologi yang mendasari kepentingan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu yang konsisten serta tidak berubah semenjak awal penubuhan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.