NABI Muhammad (SAW) pernah bersabda bahawa seseorang itu dilahirkan dalam fitrahnya dan melalui ibu bapanya dia memperoleh identiti dirinya sama ada sebagai seorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi. Dalam pengertian yang sama, ia juga merujuk kepada yang beragama Buddha, Hindu, Sikh, dan sebagainya.

Tidak kira seseorang itu dilahirkan menganut apa jua agama, yang pasti, dia dilahirkan dalam satu ruang lingkup dan peraturan hidup yang membesarkan serta mendidiknya untuk menjadi seorang insan yang baik, cerdik, mulia, dan berguna.

Sehubungan itu, memilih Islam sebagai jalan hidup bukan bermaksud seseorang itu telah memutuskan hubungan dengan dirinya yang sebelumnya tetapi ia bermakna dia memilih untuk meletakkan jiwanya di atas landasan yang membolehkannya untuk menjelmakan erti kemanusiaan di dalam dirinya dengan lebih luhur dan berkesan.

Sebagai contoh, menyanjung ibu bapa dan moyang adalah suatu adat masyarakat Cina yang cukup mendalam ertinya kepada faham kemanusiaan orang Cina sehingga mereka disembah selepas meninggal dunia. Dalam rumah akan terdapat ruang untuk menyembah arwah mereka yang telah pergi dan saban tahun, masyarakat Cina akan menyambut kedatangan Qing Ming, sebuah hari dan upacara untuk memperingati ibu bapa dan moyang mereka.

Untuk sesetengah pihak, perkara sedemikian cepat dihukum sebagai syirik dan terkeluar dari akidah Islam. Namun, pengertian yang tersirat dan terkandung dalam amalan itu tidak diselami untuk memahami kenapa perkara sedemikian terjadi.

Mentaati ibu bapa, moyang dan mereka yang lebih tua daripada kita adalah fitrah kita sebagai manusia. Cuma sejauh mana kita meluahkan ketaatan ini dan apa cara yang kita gunakan untuk melafazkannya, ini yang menjadi perbezaan dari satu adat kepada adat yang lain, dari satu agama kepada agama yang lain.

Memilih jalan Islam dalam hal ini ialah memilih untuk mentaati orang tua kita dengan menekankan peri pentingnya kita melayan mereka dengan penuh hormat, kasih sayang, dan prihatin semasa mereka masih hidup di muka bumi ini. Selagi hayat dikandung badan inilah masanya untuk berbakti kepada mereka.

Selepas mereka sudah tiada, yang tinggal hanyalah kenangan lama. Sekalipun kita mengidam untuk membuat bakti kepada mereka seandainya kita belum berbuat demikian, hasrat berkenaan sudah tidak berguna.

Justeru, apabila seorang Cina atau Tionghoa memilih jalan Islam, dia memilih untuk mempersembahkan dirinya sebagai seorang yang senantiasa menjaga kemaslahatan ibu bapanya selagi hayat mereka masih ada.

Dia tidak memilih untuk menyembah orang tuanya selepas pemergian mereka kerana dia ingin menabur bakti kepada mereka semasa mereka bersama dengannya, dapat berasa kehadirannya, mencium dan memeluknya, serta melihat dengan mata kasar mereka yang dia akan menjadi insan yang baik dan berguna yang menyalakan kebanggaan ke dalam jiwa mereka.

Dan seperti kata Roger Garaudy, "To be faithful to our ancestors is not to preserve the ashes of their fire but to transit its flame." Bermaksud "Mentaati moyang kita bukan sekadar menyimpan abu mereka tetapi menyalakan api keriangan ke dalam kehidupan mereka."

Memilih jalan Islam dan menjadi Muslim bukan bermulanya suatu episod hidup yang baharu, tetapi ia adalah rentetan perjalanan hidup dari yang sebelumnya. Seorang yang memilih Islam bukanlah seorang yang sekadar bergelar convert, revert atau cross over. Dia adalah seorang yang awakened, yang kasyaf, terjaga, dan sedar bahawa dia adalah seorang Muslim selama ini.

Justeru, mengajak kepada Islam bukanlah mengajak kepada sesuatu yang baru, asing, dan terpisah daripada naluri dan fitrah kita. Sebaliknya, ia adalah mengajak kepada apa yang telah sedia ada di dalam diri tetapi dengan meletakkannya di atas landasan yang akan mendatangkan natijah yang lebih murni kepada erti diri kita sebagai seorang manusia.


Dr Yamin Cheng mantan pensyarah, Jabatan Pengajian Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESAR sungguh dosa kita kepada lebih 200,000 pesawah di Malaysia. Beras yang kita makan (secara purata setiap rakyat Malaysia makan 120 gram nasi sehari) datang dari titik peluh mereka.
  • SEJAK meletusnya peristiwa Arab Spring di Timur Tengah pada awal 2011, Syria merupakan salah sebuah negara yang menerima kesan terburuk selain Libya dan Yaman.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.