HUJUNG minggu yang lalu, panggung wayang kelihatan penuh dengan anak-anak muda dan kanak-kanak yang datang untuk menonton filem komedi tempatan ‘Hantu Kak Limah’.

Ramai juga yang datang bersama keluarga untuk berhibur menikmati lakonan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida. Memang hebat filem Hantu Kak Limah yang berjaya mencatat sejarah selepas meraih kutipan tertinggi berjumlah RM1.8 juta pada hari pembukaannya pada 9 Ogos lalu.

Filem ini dikategorikan sebagai P13 (Penjaga 13) dimana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan menonton tanpa ditemani seorang dewasa. Saya pergi menonton filem ini minggu lepas untuk berhibur tetapi amat kecewa dengan penampilan pelakon Rab Khalid yang berulang kali merokok dalam filem ini.

Dalam adegan pertama terus kita dapat dilihat watak Rab Khalid merokok di dalam bot dan juga dapat dilihat watak berkenaan menyalakan rokok di dalam filem ini. Tabiat yang membunuh jutaan rakyat Malaysia ini dipertontonkan di dalam panggung wayang yang penuh dengan anak-anak muda dan kanak-kanak.

Terdapat lebih daripada 6 adegan di dalam filem ini yang ada adegan merokok. Perkara ini amat membimbangkan kerana terdapat bukti saintifik bahawa remaja dan kanak-kanak yang pernah menonton adegan merokok dalam filem adalah lebih cenderung untuk cuba merokok.

Pada tahun 1999, satu kajian telah dijalankan dalam kalangan 4,919 remaja di Amerika Syarikat yang berumur 9-15 tahun. Para akademik yang menjalankan kajian ini menemui bukti bahawa seseorang remaja yang menonton adegan merokok di dalam filem adalah lebih cenderung untuk cuba merokok. Kecenderungan ini meningkat dengan bilangan pendedahan remaja kepada adegan merokok di dalam filem.

Jika dilihat di dalam Garis Panduan Penapisan Filem (cetakan kedua, 2011), hanya adegan kanak-kanak merokok dan pengiklanan jenama rokok sahaja yang ditapis dan tidak dibenarkan. Polisi ini perlu dinilai semula dan diperbaiki selaras dengan bukti-bukti saintifik terkini. Adegan merokok itu sendiri sepatutnya dielakkan dalam mana-mana filem.

Walaupun kanak-kanak dibawah 13 tahun perlu ditemani oleh seorang yang dewasa, pada realitinya, panggung yang menayangkan sesebuah filem P13 boleh dipenuhi dengan kanak-kanak 18 tahun ke bawah. Golongan ini mudah terpengaruh dengan tabiat yang tidak sihat ini. Pendedahan aksi sebegini oleh pelakon idola mereka boleh memberi tanggapan bahawa tabiat merokok itu adalah norma masyarakat dan diterima umum. Walhal merokok adalah satu tabiat yang membahayakan kesihatan dan juga menyebabkan kerugian berjuta ringgit kepada negara dari segi pembiayaan kesihatan bagi pelbagai penyakit tidak berjangkit.

Perlaksanaan tayangan filem kategori P13 (Penjaga 13) ini juga harus dinilai semula. Berapakah nisbah kanak-kanak kepada dewasa yang diperlukan? Semasa saya pergi menonton filem ini, ada keluarga dengan dua dewasa membawa 6 orang kanak-kanak.

Adakah seorang dewasa boleh membawa 1 bas penuh kanak-kanak dan masih dibenarkan masuk? Perincian perlaksanaan P13 ini perlu dibuat dan dilaksanakan dengan baik supaya ia mencapai objektifnya untuk melindungi kanak-kanak. Kesedaran juga perlu diberikan kepada ibu-bapa dan penjaga mengenai bimbingan yang perlu mereka berikan jika mereka membawa kanak-kanak menonton sesebuah filem P13. Jika tidak, kategori P13 ini tidak membawa apa-apa erti.

Memandang kepada betapa pentingya isu ini diketengahkan, adalah disarankan bahawa tayangan adegan merokok dalam filem-filem tempatan ini diberhentikan secepat mungkin. Jikapun adegen merokok ini masih mahu ditayangkan, imej rokok itu perlu dipudarkan serta satu notis amaran kesihatan perlu ditayangkan semasa adegan merokok berkenaan. Langkah-langkah ini perlu diambil segera demi kesihatan, kesejahteraan dan masa depan anak-anak kita.

Dr. Siti Nurbaya Shahrir
Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH)
juga Ahli Lembaga, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC)