ULANG tahun kemerdekaan negara tahun ini tentunya berasa sebuah kelainan. Bermulanya konstruk dan naratif baharu bertemakan ‘merdeka rakyat’ dan ‘Malaysia baharu’ yang dianggap simbol kepada kemenangan PH dalam PRU14.

Urutan sejarah Malaysia memaparkan perubahan rejim politik secara toleransi dan bukan revolusi kekerasan selepas negara merdeka. Penulis membahagikan politik moden Malaysia sebagai dua ‘titik pemisah’ antara keruntuhan orde Umno/BN dan kemunculan orde PH.

Pun begitu, peralihan tidak memberikan pengertian kepada pemahaman sejarah sekiranya gagal mengubah cara berfikir masyarakat terus diabaikan.

Pada satu segi, kemerdekaan negara dikatakan hanya dari sudut fizikal apabila British pada 1957 memindahkan kuasa politik pentadbiran kepada anak watan dan golongan kanan Umno. Kemudian kuasa rakyat telah menukarkannya pula kepada rejim PH pada 9 Mei 2018.

Kronologi sejarah ini boleh dikaitkan dengan keramatnya ‘kuasa rakyat’ dalam percubaan membentuk sebuah falsafah “government of the people, by the people, for the people” yang pernah diungkapkan Abraham Lincoln.

Walaupun membina institusi negara, membentuk sebuah kerajaan dan mendapatkan kemerdekaan merupakan perjuangan yang telah lama selesai, tetapi mengisi kemerdekaan rakyat dengan memajukan demokrasi tentunya projek tidak berkesudahan.

Oleh itu, kerajaan perlu bersedia membuka perdebatan sejarah politik yang lebih neutral. Meletakkan naratif bahawa legasi kerajaan terdahulu ‘tidak baik’, ‘semuanya kesilapan dari parti pemerintah terdahulu’ dan parti yang memerintah kini adalah ‘baik’ dilihat langkah yang simplistik dan terlalu establish.

Perlu diingatkan, kekuatan dan kelemahan mereka yang mengisi sejarah pembinaan negara bangsa telah dirakam dari era Perdana Menteri pertama, ke empat hinggalah ketujuh – semuanya dari susur galur Umno. Bahkan, pemimpin yang berada dalam jalur kerajaan kini sebahagian besarnya bermula dengan Umno.

Oleh itu, sejarah perjuangan parti politik sebelum ini harus diberikan penilaian seimbang agar tidak memadam dan menafikan sumbangan mereka yang kecundang.

Jika hanya memusatkan naratif ‘baik’ dan ‘tidak baik’ terhadap parti itu dan ini ia sekali lagi mengulangi kesilapan sejarah. Misalnya apabila kesemua aliran kiri dahulu dikaitkan sebagai komunis dan pengganas. Hakikatnya, komunis dan golongan kiri adalah golongan yang berbeza pada aspek tertentu, walaupun mereka berkongsi beberapa ciri ideologi yang sama. Parti politik yang menjadi kerajaan juga adalah lahir daripada ideologi kiri, contohnya PKR sebahagian kelompoknya berasal dari Parti Rakyat Malaysia.

Demikian juga rakyat perlu memahami tentang perbezaan sejarah antara pendirian tokoh dan perjuangan parti yang diwakili pada satu aspek berbeza mengikut situasi. Kedua-dua ini berubah mengikut peredaran zaman kerana peristiwa politik yang mencabar.

Sebagai contoh, semasa Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Umno (1982-1998) dan semasa Anwar mencetuskan gerakan reformasi dan PKR (1998–hingga kini) menggambarkan perjuangan ‘revolusi pemikiran’ yang mengembangkan nilai kemelayuan kemudiannya nilai sejagat.

Reformasi itu lahir dari Deklarasi Permatang Pauh, tetapi ia bukan milik eksklusif Parti Keadilan, tetapi semua golongan tanpa mengira ideologi yang percaya kepada perubahan sejarah menyumbang kepada  pengukuhan demokrasi. 

Lebih lebih lagi sejarah negara yang dikonstruk selama ini lebih menekankan peranan parti-politik melindungi kepentingan serta keistimewaan kaum. Tembok ini telah dipecahkan kerajaan baru dengan falsafah politik yang dianjurkan menumpukan ‘keadilan dan kesamarataan’ kepada individu.

Namun perubahan sejarah ini tetap memerlukan suara-suara konservatif untuk menjadi pengimbang kepada orde baru agar kelompok status quo tidak rasa dipinggirkan dari sejarah nasional dengan penyerapan agenda baharu.

Hal ini tentu berbeza dengan sejarah pembinaan negara bangsa dan Deklarasi Kemerdekaan AS yang diasaskan Madison dan Jefferson lebih menumpukan kepada individu, namun berbeza dengan realiti sejarah Malaysia terbina atas konsensus kaum, centric kepada kepentingan Melayu sebagai kaum majoriti dan memberikan sebahagian hak pengiktirafan kepada kaum lain.

Oleh yang demikian, pembikinan sejarah Malaysia mempunyai dua dimensi berbeza yang memerlukan keseimbangan antara kepercayaan politik lama (era BN) dan kepercayaan politik baharu (era PH). Dalam konteks ini pentingnya identiti politik yang mengekalkan sebahagian tradisi dan cuba mengukuhkan nilai kesejagatan yang sesuai dengan cita rasa kemajmukan Malaysia.

Memetik kata Edmud Burke “manusia ibarat layang-layang yang memerlukan tali untuk mengikatnya agar tidak tersasar dari tujuan.” Hakikat bagi seorang warganegara harus menghormati asas sejarah Melayu, institusi, agama dan kebudayaan yang berputar dalam lingkungan sosial alam Melayu dan bukannya mengambil secara ‘bulat bulat’ dari Barat!

Menjadi individu dan rakyat yang merdeka bukan hanya laungan keras yang menggemakan suara di khalayak, bukan sekadar mengangkat dan memacakkan bendera di tiang pejabat, kediaman dan kereta, tetapi merdeka itu ialah hak mutlak warganegara berfikir secara adil kepada semua pihak, selagi tidak memusnahkan struktur asas negara yang dibina berpuluh tahun.

Inilah maksud merdeka bagi seorang rakyat yang bertanggungjawab terhadap sebuah negara bangsanya. Selamat Hari Kemerdekaan 61 Malaysia.

* Penulis pelajar PhD Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia