KETIBAAN tahun baru 2017 adalah detik getir yang akan menduga ketahanan rakyat Malaysia untuk mendepani cabaran persekitaran.

Ini memandangkan perubahan-perubahan kritikal akan berlaku meliputi aspek politik, ekonomi, sosial dan geo-strategi semasa.  

Tahun 2017 bakal menyaksikan amalan demokrasi yang membentuk sistem politik sejagat akan diuji ketahanannya.

Kemenangan Donald Trump, peristiwa Brexit, adalah indikasi kritikal akan kemapanan sistem tersebut sebagai saluran politik sederhana untuk membentuk tata kelola rakyat yang baik.           

Partisipasi rakyat dalam ruang demokrasi perlu ditingkatkan. Rakyat perlu peka terhadap hak serta ruang untuk mereka bersuara serta melibatkan diri dalam lapangan aktivisme masyarakat madani.

Tahun 2016 telah mendedahkan kita dengan pelbagai kepincangan dan kebobrokan terutama seperti polemik 1MDB  yang kini menjerut kemapanan ekonomi rakyat.

Pendedahan skandal rasuah membabitkan beberapa orang pegawai Jabatan Air Sabah, seharusnya menyedarkan rakyat Malaysia betapa membarahnya gejala tersebut dan betapa pentingnya rakyat perlu terus bersuara untuk memperjuangkan karamah insaniyyah mereka.

Kejatuhan nilai ringgit serta menguncupnya ruang ekonomi untuk rakyat yang disaksikan sepanjang 2016, adalah indikasi jelas akan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi rakyat.

Gelombang Revolusi Industri Keempat mulai menampakkan kesan sedikit demi sedikit.

Gelombang ini menuntut kita membentuk ketahanan diri yang dinamik untuk mendepani.             

Atas semangat zaman yang serba mencabar ini; generasi muda harus berperanan untuk menghembuskan nafas baharu dalam bentuk "capital empowerment".

Gelombang kemandirian sosio-ekonomi yang bakal melatari tahun 2017 dan tahun-tahun mendatang; menggamit generasi muda untuk berperanan untuk mengetengahkan idea, melakar serta memeta jalan ke arah masa depan yang sangat bermakna untuk umat.

Krisis kemanusiaan sejagat semakin getir. Kemelut di Syria sudah melewati fasa baru yang menguji keprihatinan umat dan masyarakat sejagat.

Jumlah pelarian serta mangsa peperangan di Syria dan seluruh dunia dijangka akan terus meningkat. Begitu juga dengan tragedi kemanusiaan membabitkan umat Islam Rohingya di sebalik berkembangnya bibit-bibit demokrasi di Myanmar.                                                         

Advokasi serta tekanan masyarakat antarabangsa perlu ditingkatkan untuk membayangi keganasan serta jenayah kemanusiaan yang dilakukan di Syria, Rohingya, beberapa tempat lain.

Umat Islam perlu ambil iktibar keberkesanan advokasi isu Palestin yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat antarabangsa.                                                                                      

Di sebalik cabaran-cabaran yang menakutkan ini; umat Islam dan rakyat Malaysia tidak seharusnya berputus asa.

Cabaran-cabaran ini perlu disikapi secara positif dan proaktif selaras semangat perjuangan Nabi Muhammad SAW yang terus bangkit tanpa menoleh ke belakang (menerusi jalan dakwah) sepertimana seruan dalam Surah Al-Muzammil.

Insya-ALLAH harapan dan kejayaan akan terjelma dari segala usaha dan doa kita bersama!

Selamat Tahun Baru 2017!

*Mohamad Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Keramat Lab 2.0 dijangka lebih meriah dengan penganjuran program #QuranHour dan pasar percuma di Taman Tasik Datuk Keramat, Kuala Lumpur, dari jam 9 hingga 11 pagi pada 21 Januari ini.
  • 14 Januari 2018, genap 42 tahun seorang negarawan Malaysia telah meninggal dunia. Negarawan yang dimaksudkan ialah Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua.
  • DARI Kuala Lumpur, saya terbang ke New York melalui Jeddah. Sewaktu singgah di lapangan terbang Arab Saudi itu, saya perhatikan ramai jemaah umrah Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan tiga fenomena serentak yang akan berlaku ke atas bulan iaitu ‘Super Blue Blood-Moon’ pada 31 Januari ini, satu fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku kali terakhir 152 tahun lepas.
  • TULAR di media sosial baru-baru ini, apabila seorang pemilik akaun Facebook mendakwa, berlaku kebakaran di dalam keretanya yang diletakkan di dalam garaj.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.