PH turun mengadap rakyat dengan  membawa berbagai janji. Dan datang ke pangkuan pengundi pada PRU14 dengan satu manifesto yang agak padu. Di dalamnya disebut jelas bahawa ada 10 perkara yang akan dilaksanakan PH dalam tempoh 100 hari pertama mereka memerintah negara dan 60 perkara lagi yang akan disempurnakan dalam tempoh 5 tahun pemerintahan sehingga PRU15.

PH telah berjaya meraih kemenangan bersejarah pada PRU14. Adakah rakyat telah memilih mereka kerana janji-janji tersebut atau kerana mereka terlalu benci dan marah kepada rejim kleptokrasi Najib Razak?

100 hari pertama sudah pun tamat   beberapa hari lepas. Apakah keberhasilan yang telah dicapai atau sebaliknya oleh PH dalam tempoh tersebut?

Ulasan dan reaksi

Pengulas politik berbelah bagi dalam penilaian mereka tentang tahap pengcapaian PH dalam hal ini. Ada yang mengalu-alukan kejayaan PH, ada pula yang mengata PH hanya separuh berjaya; separuh gagal dan ada juga yang berkata PH telah langsung gagal.

Tun M menegaskan bahawa kerajaan PH telah berjaya menunaikan sebahagian besar janji-janji tersebut, sementara yang lain-lain sedang dalam proses pelaksanaan. Tun mendakwa hutang 1 trillion yang ditinggalkan oleh Najib adalah jauh lebih besar daripada 600 billion yang telah dilaporkan oleh beliau. Di samping itu gejala rasuah telah menyerapi sistem pentadbiran dengan berleluasa dan serius sekali. Ini semua telah membantut usahanya untuk menunaikan janji-janji tersebut.

Umno pula yakin bahawa PH telah gagal sama sekali sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawap. Sementara Pas hanya memberi Gred D kepada PH kerana mampu melaksanakan 2 sahaja daripada 10 janji tersebut.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pas, Mustapha Ali dalam program wawancara dengan Malaysiakini mempertahankan PH. Beliau akui tentang kesungguhan kerajaan PH dalam usaha untuk menunaikan janji-janji tersebut. Seterusnya beliau berkata dia boleh faham dan menerima alasan mengapa sebahagian dari janji-janji tersebut masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Katanya PH perlu diberi masa yang munasabah untuk mengotakan janji-janji mereka.

KJ, mantan Ketua Pemuda Umno memberi komen dalam tweetnya bahawa rakyat tidak kisah pun tentang Manifesto PH termasuklah 10 janji dalam 100 hari tersebut kerana benda utama yang mereka mahu ialah untuk menjatuhkan Umno/BN. Dan rakyat terima penjelasan Tun M mengapa sebahagian dari janji-janji tersebut belum lagi dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Dr Chandra Muzafar, intellektual tersohor dan komentator politik yang dianggap rasional juga ikut berkata bahawa sakatan 100 hari pertama tidak begitu penting dan signifikan untuk menilai pencapaian PH. Malah beliau turut memperakui bahawa pada keseluruhannya PH dilihat sebagai bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam usaha membawa perubahan.

Pemimpin-pemimpin dunia lain juga ikut mengagumi Tun M dan pencapaiannya. Antaranya ialah Presiden Erdogan dari Turkey, PM Imran Khan dari Pakistan dan ramai lagi yang menyuara rasa keyakinan mereka ke atas  Tun M sebagai pemimpin yang  mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia dan membawanya ke tahap yang lebih gemilang lagi.

Rumusan

Apapun penilaian dan gred yang diberi oleh pengulas politik, pihak kerajaan dan pembangkang tentang pencapaian PH dalam 100 hari mereka memerintah, yang lebih utama dan pentingnya ialah penilaian yang dibuat dan dirumuskan oleh rakyat jelata. Merekalah yang paling berkepentingan dan berhak untuk membuat penilaian tersebut. Kerana semua itu adalah berkaitan dengan kehidupan harian dan masa depan mereka. Oleh kerana mereka yang telah memilih PH untuk memerintah negara, maka mereka jua yang berhak memberi kata penyudahnya.

Mengikut bancian Merdeka Centre,”approval rating” rakyat ke atas Tun M dan kerajaannya mencecah 71%. Bermakna majoriti rakyat berpuas hati dengan usaha dan pencapaian kerajaan PH setakat ini.

Mereka dapat mengukur kesungguhan dan keikhlasan Tun M untuk menyelesai masalah negara khususnya dalam usaha memerangi gejala rasuah.  Mereka juga menerima baik penjelasan yang diberikan oleh kerajaan mengapa sebahagian dari janji-janji tersebut masih belum dapat dilaksanakan ketika ini. Apapun ianya sedang dalam proses pelaksanaan dan dikira sebagai “work-in-progress”.

Ramai juga rakyat mengambil pendirian bahawa manifesto PH bukanlah perkara utama mengapa mereka memilih PH tetapi mereka lebih didorong oleh hasrat untuk menumbangkan rejim kleptokrasi Najib. Sepertimana yang dibayangkan oleh KJ dan ramai lagi pihak-pihak lain.

Sementara itu pula, bancian yang dibuat oleh Sinar Harian dan Malaysian Insight bersama 5 kumpulan FB menghasilkan rumusan yang berbeza. Dari lebih 26,000 responden yang ditanya Sinar Harian, 78 % darinya menyuara rasa hampa dan kecewa mereka di atas kegagalan PH menunaikan janji mereka. Dan dari lebih 53,000 yang dibanci Malaysian Insight, 67% mengambil pendirian yang sama.

Tanpa mempertikaikan asas dan kredibiliti kedua-dua bancian tersebut untuk masa ini, kita rasa hairan dan pelik dengan dua rumusan yang jauh berbeza di antara satu sama lain. Membuat ianya tidak konklusif. Mungkin natijah yang kita boleh ambil darinya ialah rakyat agak berbelah bagi dalam pendirian mereka. Maka dalam keadaan sedemikian, PH tidak boleh mendabik dada. Pembangkang juga tidak boleh bersorak gembira.

Ramai penganalis termasuk juga penulis berpendapat bahawa memang wujud rasa tidak puas hati di kalangan rakyat jelata tentang kegagalan PH tersebut.  Sebahagian masyarakat Melayu pula nampak bimbang dan resah tentang hak istemewa mereka, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu yang dicanang pihak lawan sudah mula terhakis dan dikompromikan oleh PH. Masalah ini sama ada ianya hanya satu persepsi atau realiti semasa perlulah ditangani dengan penuh bijaksana, termasuklah oleh yang bukan bangsa Melayu demi untuk mengelak tercetus atau terjadinya ketegangan dan sengketa ala Mei 13 yang pernah kita alami satu masa dulu.

Tetapi buat masa ini, umumnya majoriti rakyat jelata masih boleh menerima PH sebagai sebuah kerajaan yang jauh lebih baik dari rejim yang lepas. Dan mereka masih menaruh harapan yang tinggi kepada Tun M untuk membawa perubahan dan transformasi yang dijanjikan.

Keputusan PRK Sungai Kandis baru-baru ini di mana PH menang dengan selesa dan peratusan undi yang lebih besar dari apa yang mereka peroleh pada PRU14 adalah dalil yang jelas dan nyata tentang keyakinan rakyat kepada Tun M dan PH. PRK Balakong dan Sri Setia pada 8 September 2018 dan keputusannya nanti akan memberi gambaran yang lebih jelas lagi tentang sentimen rakyat pasca PRU14 dan penghakiman rakyat selepas 100 hari pertama PH memerintah.

Hala tuju dan masa depan PH

Kesimpulan yang kita boleh buat darinya ialah Tun M masih unggul dan utuh sebagai PM sementara PH tetap kuat dan kukuh sebagai sebuah kerajaan. Pihak pembangkang dan pengkritik nampaknya masih belum berjaya untuk menggugat kedudukan Tun M dan kekuatan kerajaan PH.

Pun begitu PH tidak boleh leka dan alpa. Mereka tidak boleh semata-mata bergantung harap kepada sikap toleransi dan tolak ansur rakyat ataupun dengan alasan demi alasan untuk memperjelaskan kegagagalan mereka.  Untuk jangka masa yang panjang, PH perlu membawa perubahan dan pembaharuan yang diharap-harapkan rakyat. Mereka berkewajipan untuk terus mengurus tadbir negara dengan sebaik mungkin termasuk meningkatkan usaha untuk menunaikan janji-janji pilihanraya mereka. Khususnya dalam penyelesaian skandal-skandal peninggalan rejim kleptokrasi Najib seperti 1MDB, menangani kos sara hidup rakyat yang meruncing, masalah berkaitan dengan perkauman dan agama, ketelusan dalam urus tadbir negara, amalan demokrasi yang lebih liberal, mengimbangi hak untuk bersuara dengan tanggungjawap kepada negara dan kepentingan awam dan lain-lain lagi.

Umno/BN dan Pas juga perlu memperkasakan diri mereka untuk menjadi parti pembangkang yang lebih berwibawa dengan kredibliti yang tinggi, termasuklah menjalinkan kerjasama di antara mereka, jika dikira perlu dan wajar, dengan cara dan kaedah yang mudah difahami orang ramai. Tak perlu berbelit-belit dan tak usah berputar-putar dengan berbagai alasan serta takliq. Agar mereka mampu menjadi satu gagasan pembangkang yang kuat dan memainkan peranan mereka sebagai “check and balance” kepada kerajaan PH.