Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih, “Sesungguhnya orang yang mula-mula akan dinyalakan baginya api neraka adalah orang yang alim menyuruh manusia tetapi dia tidak melaksanakan dan melarang manusia tetapi dia sendiri yang melakukannya.” (Al-Syaukani).

Asalnya, tanggungjawab orang-orang yang dikurniakan ilmu oleh ALLAH SWT dan juga orang yang tidak dikurniakan dengan ilmu dari sudut taklif (tanggungjawab yang ALLAH berikan) adalah sama kesemuanya.

Kedua-duanya bertanggungjawab dari sudut kewajipan melaksanakan perintah dan syariat ALLAH; sama ada orang itu diberikan ilmu atau tidak.. Ini kerana secara asalnya semua manusia adalah mukallaf.

Ini seperti mana yang ALLAH SWT nyatakan dalam al-Quran,“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”
(Surah Adz-Dzaariyaat, 51: 56)

Ini menunjukkan bahawa asalnya seluruh jin dan manusia adalah mukallaf. Semua manusia, muslim atau kafir, tinggal di mana-mana, dia adalah mukallaf yang dipertanggungjawabkan dan tujuan mereka diciptakan adalah untuk beribadah kepada ALLAH SWT.

Cuma, setelah itu barulah datang perincian-perincian, iaitu seorang Muslim, baligh, berakal, sudah semestinya mereka ini berkewajipan melakukan ibadah-ibadah khusus yang disyariatkan seperti solat, puasa dan seterusnya.

Orang yang tidak menerima Islam, tidak diberikan petunjuk dan ilmu untuk menerima Islam, sudah tentu mereka tidak boleh dipaksa melakukan ibadah-ibadah tersebut.

Maka sekiranya seseorang itu diberikan ilmu, sudah semestinya tanggungjawabnya lebih. Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, malah darjat orang berilmu ditinggikan oleh ALLAH SWT berbanding mereka yang tidak berilmu sepertimana dalam firmanNya,“ALLAH mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.”
(Surah Al-Mujaadilah: 11)

Antara tanggungjawab orang yang berilmu adalah beramal dengan ilmunya, dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Berbeza dengan orang yang jahil dan tidak memiliki ilmu.

Mereka tetap wajib beramal sekadar apa yang mereka tahu. dan tidak wajib menyampaikan kerana mereka tidak memiliki ilmu. Dalilnya adalah firman ALLAH dalam al-Quran, “Tidak sepatutnya orang-orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang).

Mengapa tidak pergi dari setiap kelompok di antara mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali kepadanya.” (Surah At Taubah, 9: 122)

Ini adalah metodologi dalam kita beragama, biar kita berprinsip dan mengaplikasikan prinsip ini dalam semua masalah dan isu yang kita hadapi. Jika tidak, sampai bila pun masalah itu tidak akan selesai, malah percanggahan demi percanggahan akan terus berlaku.

Menurut Imam Al-Syaukani “Maka barang siapa yang dalil al-Quran dan al-Sunnah bersama dengannya maka dia di atas kebenaran dan dia lebih utama dengan kebenaran. Dan siapa yang dalil al-Quran dan al-Sunnah menyelisihinya, bukan bersamanya, maka dia orang yang salah.”

Walau bagaimanapun, orang yang salah itu sekiranya dia adalah mujtahid (memenuhi syarat untuk berijtihad), dia tidak berdosa. Ijtihad yang dia lakukan itu salah dan tidak boleh diikuti, tetapi dia (orang yang berijtihad itu) tidak berdosa bahkan mendapat satu ganjaran kerana telah bersungguh-sungguh.

Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Apabila berijtihad seorang hakim dan dia benar maka baginya dua ganjaran, dan jika dia berijtihad dan tersalah maka baginya satu ganjaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jangan kita lupa bukan semua ijtihad itu betul, kerana kebenaran itu cuma satu. Dan hanya kebenaran yang satu itu sahajalah yang boleh diikuti dan diamalkan.

Jadi perbezaan ijtihad ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak kebenaran setelah terbentang di depan mata kita hujah yang berdalilkan al-Quran dan al-Sunnah demi untuk mengikuti ijtihad yang menyelisihinya.