MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pagawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala telah menghabiskan masa sepanjang Julai mempertikaikan kenyataan kami bahawa kadar jenayah telah meningkat di Malaysia.

Mereka sebaliknya yakin jenayah adalah di bawah kawalan dan menurun kerana mereka masih menunjukkan statistik jenayah yang disediakan oleh Pemandu.

Tetapi, pada masa yang sama, mereka telah mengumumkan beberapa inisiatif baru untuk memerangi jenayah, seperti MyDistress, Semakan Jenayah Online, meningkatkan pengambilan Rakan Cop dan pembiayaan serta jawatankuasa khas mengenai mangsa jenayah.Semua ini masih lagi dalam perancangan.

Apakah ini reaksi mereka terhadap kenyataan kami bahawa jenayah di Malaysia telah meningkat? Ini menunjukkan bahawa apa yang telah kami kemukakan adalah benar.

Ini meningkatkan rasa bimbang akan keselamatan ahli keluarga, rakan-rakan saya dan orang awam.

Jadi, hari ini saya melancarkan satu kempen untuk membanteras jenayah sebagai satu agenda nasional.

Sebagai seorang ibu dan nenek, saya menjemput semua ibu untuk turut serta berkempen di halaman Facebook saya "Ibu-ibu Malaysia Menentang Jenayah" - (https://www.facebook.com/mumsXcrime).

Laman Facebook ini terbuka kepada semua terutamanya wanita untuk memberikan sokongan terhadap kempen kami membanteras jenayah dan berkongsi idea bagaimana untuk menangani kadar jenayah di Malaysia.

Maklumat terkini seperti gambar, video tentang kegiatan jenayah bolehlah dikongsi bersama di halaman ini. Inilah peluang kita sebagai rakyat Malaysia untuk terlibat sama dan bekerjasama dalam menyedarkan rakyat tentang keselamatan di dalam negara kita.

Marilah kaum ibu semua, kita bersatu dalam menyuarakan perpaduan untuk memerangi jenayah. Kita mesti buktikan bahawa kita bukan kelompok minoriti. Ayuh kita bersatu dengan menyebarkan kempen ini agar suara rakyat akan menjadi lebih kuat demi keselamatan negara.


* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.