SAYA ada membaca laporan mengenai protes oleh pemandu teksi di Bukit Bintang baru-baru ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu teksi mogok, KL sesak]

Pertama sekali, syabas dan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang bertindak pantas dan profesional dengan mengawal keadaan trafik di sana serta memberi peluang kepada pemandu teksi untuk bersurai terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Saya faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.

Keduanya, isu ini bukanlah eksklusif di Malaysia malah dihadapi dan sedang diteliti di banyak negara.

Sepertimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menangani dua isu pokok di sini iaitu pertamanya pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dan keduanya isu kereta sewa seperti Uber dan Grabcar yang menggunakan aplikasi telefon pintar.

Terdapat pelbagai faktor yang Kerajaan perlu pertimbangkan dan mengimbangi dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan sebagainya.

Dalam era serba canggih dan berinovasi ini, kita perlu bersedia untuk menerima dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

Persaingan mesti juga dilihat sebagai batu loncatan dan bukan halangan agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.

Biarpun begitu, Kerajaan tidak mengambil mana-mana pihak dalam hal ini. Kepentingan kedua-dua pihak pengguna dan penyedia perkhidmatan sedia ada tetap menjadi pertimbangan utama Kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincangkan dan disediakan.

Saya berharap tidak ada pihak yang bertindak mengikut emosi dan mengambil langkah drastik lagi seperti protes di jalanan yang hanya akan memudaratkan keadaan serta imej pihak tertentu dan tidak membawa apa-apa kebaikan langsung, terutamanya bagi pengguna perkhidmatan teksi.

Satu penyelesaian dan dasar yang adil dan saksama kepada semua pihak akan diumumkan dalam masa terdekat.

**Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri